DUA dekad dalam industri muzik menjadi pencapaian penting buat kumpulan asal Indonesia, for Revenge, yang bakal membawa sambutan ulang tahun ke-20 mereka ke Kuala Lumpur menerusi konsert Titik Sadrah pada 15 November ini.
Persembahan tersebut merupakan sebahagian daripada siri jelajah antarabangsa mereka, sekali gus memberi peluang kepada peminat tempatan menyaksikan sendiri persembahan kumpulan berkenaan.
Ditubuhkan di Bandung, Indonesia, for Revenge mula membina nama sejak 2006 menerusi karya yang banyak mengangkat pengalaman emosi manusia, khususnya tentang cinta, kehilangan dan perpisahan. Identiti muzik tersebut diteruskan menerusi lagu seperti Fireworks dan Second Chance, selain album Perayaan Patah Hati – Babak 1 yang dilancarkan pada 2022.
Kumpulan yang dianggotai Boniex Noer (vokal), Arief Ismail (gitar), Izha Muhammad (bass) dan Archims Pribadi (dram) itu turut menghasilkan album Perayaan Patah Hati – Babak 2, meneruskan eksplorasi tema yang dekat dengan pengalaman pendengar serta memperlihatkan perkembangan muzik mereka.
Selepas dua dekad berkarya, for Revenge kini membawa konsert Titik Sadrah ke Zepp Kuala Lumpur. Konsert anjuran Neptunes Presents dengan kerjasama Antara Suara dan Sony Music itu turut menjadi pertemuan secara langsung antara kumpulan berkenaan dengan peminat Malaysia.
Kisah Dan Emosi Peminat
Konsep Titik Sadrah akan memberi tumpuan kepada hubungan antara lagu dan pengalaman peribadi pendengar. Setiap karya mempunyai makna tersendiri, sama ada berkait dengan saat jatuh cinta, melalui perpisahan mahupun proses menerima sesuatu yang telah berlalu.
Menurut jurucakap Neptunes Presents, Muhamad Hadi Johari, perkembangan for Revenge sejak mula bertapak di Bandung sehingga mendapat perhatian peminat di luar Indonesia mencerminkan perjalanan muzik yang dibina selama ini.
“Daripada Fireworks dan Second Chance, hinggalah Perayaan Patah Hati – Babak 1 dan Babak 2, setiap karya membawa kisah tersendiri dan mencerminkan perkembangan muzik kumpulan terbabit.
“Kini, perjalanan muzik mereka diteruskan di Kuala Lumpur untuk bertemu secara langsung dengan peminat di Malaysia yang selama ini mengikuti karya mereka merentasi sempadan,” katanya.
Menariknya, peminat turut diberi peluang berkongsi lagu for Revenge yang paling dekat di hati berserta kisah di sebaliknya. Cerita dan foto terpilih daripada perkongsian tersebut akan menjadi sebahagian daripada pengalaman konsert di Kuala Lumpur.
Selain persembahan utama, acara itu turut menampilkan artis undangan seperti Cynantia Pratita, Dul Jaelani, Fiersa Besari, Rony Parulian, Sekumpulan Orang Gila dan Tepe.
Maklumat lanjut mengenai konsert dan jualan tiket boleh didapati menerusi laman rasmi forrevenge.id. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
.jpg)
.jpg)
0 Comments