Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Artis pertama ada saluran Pop-Up Eksklusif, Elly Mazlein terima anugerah Malaysia Book Of Records



SELEPAS hampir 17 tahun dalam industri seni, artis versatil, Elly Mazlein, mencipta sejarah apabila menampilkan video muzik single terbaharunya, Sayap menerusi saluran istimewa Elly Mazlein pada 25 Januari 2024 hingga 26 Januari lalu.

Pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu merupakan artis pertama naungan Rocketfuel Entertainment yang berjaya memecahkan rekod ‘Longest Non-Stop Music Video Launching on A Pop-Up TV Channel’ atau Pelancaran video muzik tanpa henti terpanjang di saluran TV Pop-Up.

“Saya sangat gembira dan berterima kasih atas pengiktirafan yang diberikan dan  turut bersyukur dan berbangga kerana dengan anugerah ini memberikan saya semangat yang lebih tinggi dalam menjayakan kelahiran Sayap sebagai buah tangan terbaru di permulaan tahun 2024 ini,” ujarnya teruja.

Selama tempoh bersiaran selama 48 jam baru-baru ini, peminat Elly Mazlein dapat meneroka dunia seni nyanyian Elly Mazlein dengan pelbagai pengisian menarik termasuk video muzik Sayap, temu bual eksklusif dan momen-momen di sebalik pembikinan muzik video.



Format unik itu ditampilkan untuk memberi pendekatan baharu yang lebih interaktif dan menggembirakan kepada peminat agar lebih mendekati dan meraikan kemunculan semula Elly Mazlein di pentas muzik tempatan.

Malaysia Book of Records turut mengucapkan tahniah kepada Rocketfuel Entertainment selaku pihak syarikat rakaman bagi Elly Mazlein atas pencapaian tersebut dan berharap untuk terus mengiktiraf lebih banyak pencipta rekod tempatan untuk sebarang pencapaian.

Lagu Sayap, yang merupakan karya ciptaan komposer dan penulis lirik popular iaitu  Omar K, Iqie Hugh dan Naim Daniel itu boleh dimuat turun di iTunes. Ia juga boleh dijadikan sebagai nada dering panggilan melalui kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Sementara video muzik pula boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network.  - 7KLIK



[FOTO: Rocketfuel Entertainment]

Post a Comment

0 Comments