Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Keunikan Teater Tradisional Terengganu, Saba Nong Sakti




KEMENTERIAN Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah mementaskan Teater Tradisional Saba 'Nong Sakti' sempena program Panggung Seni Tradisional (PST2023) pada 4-5 Ogos lalu di MaTIC, Kuala Lumpur.

Program pentas anjuran JKKN yang mula diadakan sejak 2005 itu bertujuan untuk mengembangkan kesenian tempatan negeri dengan mewujudkan program perantisan sebagai pelapis kepada perkembangan industri seni tradisional tempatan.

Pelaksanaan PST siri terakhir kali ini mengangkat kesenian dari Terengganu iaitu kesenian Saba menerusi pementasan Teater Tradisional Saba 'Nong Sakti'. Naskhah arahan Mohd Khairudin Hanippah itu merupakan karya daripada produksi  Persatuan Selampit Seni Negeri Terengganu.

Kesenian Saba mungkin tidak begitu diketahui ramai, malah jarang mendapat pendedahan sebagaimana kesenian lain. Situasi itu menyebabkan kesenian ini hampir pupus dan hanya terdapat di negeri Terengganu.

Justeru pementasan Saba 'Nong Sakti' di pentas PST2023 diharapkan dapat memberi perkongsian dan impak kepada khalayak penonton.

Menariknya, naskhah ini menampilkan satu-satunya pewaris kesenian Saba yang juga merupakan Tokoh Seni Negeri Terengganu iaitu Che Wan Noorsaidi atau lebih dikenali dengan panggilan Mok Zah. Beliau memainkan alat muzik utama dalam persembahan Saba iaitu Anak Umbang, selain bertindak sebagai pembimbing program Perantisan Teater Saba 'Nong Sakti'.

Keunikan kesenian Saba juga adalah keindahan bunyi alat muzik yang dimainkan dalam setiap persembahan.

Apa itu Saba? Saba pada asalnya merupakan satu upacara perubatan bertujuan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Pokok Saba merupakan satu keperluan dalam persembahan ini sebagai perlambangan lokasi Dewa Kayangan turun mengubati penyakit.

Digambarkan sebagai sepohon pokok yang rimbun dan rendang seperti sekebun bunga, yang mencerminkan keindahan suasana di alam kayangan. Elemen-elemen seperti nyanyian, tarian dan pengucapan dialog antara 'Peduang' (perantara di bumi) dan 'Muda di Awan' (perantara di kayangan) menjadikan persembahan Saba ini begitu menarik.

Mengikut kaedah perubatan Saba, terdapat seorang perantara antara manusia di bumi dan kayangan berdialog untuk menjual beli pokok Saba tersebut bagi tujuan perubatan.

Ceritera 'Nong Sakti' pula bermula dengan suatu kisah di kayangan apabila tiga puteri bersaudara iaitu Puteri Sulong, Puteri Tengah dan Puteri Bongsu berhajat turun ke bumi nyata untuk berhibur dan bermain.

Maka berlaku pelbagai kejadian menimpa ketiga-tiga puteri tersebut sehinggalah salah seorang daripada mereka dipanggil sebagai Nong Sakti.

Dalam persembahan teater Saba ini, terdapat 16 babak yang mengandungi elemen-elemen nyanyian, tarian dan dialog antara 'Peduang' dan 'Muda Di Awan'. Sebanyak 36 lagu dengan pelbagai cerita yang setiap satunya bertujuan untuk mengubati pesakit.

Bagi mengekalkan dan membuka mentaliti orang ramai tentang kesenian Saba ini, 'Nong Sakti' diolah serta diterjemahkan ke dalam bentuk teater agar relevan dengan masyarakat Islam dan mengikut kesesuaian peredaran masa untuk dipertontonkan kepada semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, JKKN sentiasa berusaha bagi memastikan kelestarian seni persembahan tradisional seperti kesenian Saba ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Malah JKKN juga sentiasa memperlihatkan keindahan kebudayaan dan kesenian tradisional masyarakat majmuk di Malaysia dalam setiap siri persembahan dalam PST.

Program ini bukan sekadar persembahan sehala tetapi merupakan serampang dua mata kepada kumpulan atau persatuan seni budaya untuk mempelajari pelaksanaan sesebuah produksi bagi sesuatu persembahan.

la juga sebagai langkah pemeliharaan dan pengekalan seni warisan negara itu sendiri yang berupaya menjadi serampang dua mata dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab persembahan tradisional dan salah satu produk pelancongan negara.

Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan https://www.facebook com/PancidungSeniTradisionalTraditionalArtsShowcase?mibextid=ZbWKwL atau www.facebook.com/mysenibudaya .










































Petikan menarik daripada persembahan Teater Tradisional Saba Nong Sakti yang berlangsung pada 4 Ogos.

Post a Comment

0 Comments