10 Sep 2021

TV ALHIJRAH JADI PERINTIS GUNA JURUBAHASA ISYARAT DALAM PROGRAM KEAGAMAAN




TV ALHIJRAH terus melaksanakan penambahbaikan dan pembaharuan demi memastikan rancangan keagamaan yang membangun jiwa dapat dinikmati semua segmen masyarakat Malaysia.

Baru-baru ini TV AlHijrah telah membuat eksperimentasi dengan meletakkan jurubahasa isyarat bagi menyantuni masyarakat Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.

Percubaan pertama telah dilaksanakan Julai lalu menerusi rancangan My #QuranTime. Program tadabbur Al-Quran ini disiarkan secara langsung selama satu jam iaitu bermula jam 12 tengahari hingga 1 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris memaklumkan bahawa TV AlHijrah adalah stesen televisyen pertama negara yang menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi rancangan agama.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dan Yayasan Pendidikan Al-Quran Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah menugaskan salah seorang Felo Daie Pekak USIM, Azlina Mohamed Isa sebagai penterjemah bahasa isyarat.

“Beliau bukan sahaja menterjemah apa yang sedang dibincangkan olah panel rancangan My #QuranTime seperti kebiasaan yang dilakukan oleh penterjemah bahasa isyarat di stesen lain, tetapi beliau turut menterjemah ayat-ayat suci Al-Quran yang dilantunkan qari iaitu Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Ahmad Termizi Haji Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman.

“Jadi di sinilah terletaknya keunikan stesen kami. Usaha ini memerlukan kepakaran, pemahaman serta penghayatan yang sangat tinggi.

“Tiada ruang untuk sebarang kesilapan kerana kita sedang menterjemahkan kalam Allah. Saya melihat penambahbaikan yang TV AlHijrah laksanakan ini sebagai hadiah istimewa buat rakan-rakan kurang upaya kategori pendengaran.



Tambah Namanzee, setelah kejayaan My #QuranTime, kesemua program musim baru di slot Deen yang dijadualkan siarannya Oktober depan adalah mesra OKU pendengaran.

Antara rancangan di slot Deen siaran 7.30 malam yang akan mempunyai jurubahasa isyarat adalah Cinta Ilmu dan Tawajjuh.

Kemudiannya akan diikuti oleh semua rancangan lain seperti Ngaji On The Go, Riwayat Akhir Zaman, Bila Hijab Terbuka, Kembara Masyar, Hakikat Takikat Makrifat dan E-Kaunter Netizen.

“Saya seru semua masyarakat OKU pendengaran untuk menonton TV AlHijrah. Kita sama-sama jadikan stesen ini sebagai ladang ilmu yang akan dituai hasilnya di akhirat nanti Insyaallah”, jelas Namanzee.



Penterjemah bahasa isyarat Azlina Mohamed Isa berkata, kemunculannya di TV AlHijrah sangat disenangi rakan-rakan Orang Kurang Upaya (OKU) terutama kategori Orang Pekak.

“Saya mengambil serius amanah yang diberikan TV AlHijrah ini kerana saya adalah suara rakan-rakan OKU pekak. Ini adalah jihad saya untuk menyebarkan dakwah melalui penterjemahan kandungan Islam di televisyen secara tepat, mudah difahami dan menarik.

“Pada waktu ini, isyarat berkaitan Al-Quran masih tidak banyak. Jadi saya perlu pantas berfikir dan memastikan apa yang saya terjemahkan tepat dengan bait-bait Al-Quran, kandungan rancangan serta apa yang diutarakan oleh para asatizah," katanya.



Selaku salah seorang Felo Daie Pekak USIM, beliau tidak melihat cabaran menterjemah bahasa Al-Quran sebagai limitasi untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat OKU.

Ini kerana beliau mengambil rujukan isyarat terjemahan Al-Quran dari pelbagai negara Arab sebagai panduan serta mengubahsuai mengikut konteks budaya komuniti OKU pendengaran di Malaysia.

“Menterjemah Al-Quran menggunakan bahasa isyarat adalah satu cabang ilmu yang harus diterokai demi pembangunan ummah. Semoga usaha TV AlHijrah meraikan komuniti orang kelainan upaya (OKU) pendengaran di Malaysia ini memanfaatkan mereka," jelasnya. 



[KREDIT: TV AlHijrah]

Rancangan MY #QuranTime (2)

Tulang Belakang Rancangan MYQT

Sesi LIve MYQT

Ustaz Tirmizi

Namanzee Harris Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah





Tiada ulasan:

Catat Ulasan