12 Sep 2021

ASTRO TAYANG 33 BUAH FILEM MELAYU KLASIK TERBAIK CATHAY-KERIS FILMS



ASTRO bekerjasama dengan I.E. Entertainment yang berpengkalan di Singapura dalam membawakan 33 buah filem terbaik Melayu Klasik daripada penerbit filem-filem Melayu terkemuka era terdahulu iaitu Cathay-Keris Films.

Filem-filem ini akan ditayangkan di Astro Citra dan Astro Prima serta platform penstriman OTT, Astro Go dan On Demand bermula September 2021. Selepas lebih sedekad, ini merupakan kali pertama karya-karya tersebut akan ditayangkan di Astro.

Menurut Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata, pihaknya amat berbesar hati dan teruja dapat bekerjasama bersama Cathay-Keris Films menerusi syarikat pengedarnya di rantau Asia, I.E. Entertainment Pte. Ltd. dalam membawakan 33 filem melayu klasik terbaik untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia dan Brunei menerusi platform Astro.

"Kesemua filem tersebut akan ditayangkan semula setelah lebih 10 tahun tidak dipertontonkan di mana-mana platfrom televisyen berbayar Malaysia. Kami percaya nilai hiburan di dalam 33 filem ini pasti akan mengubati rindu penonton dengan karya-karya yang pernah mengecapi kegemilangan suatu ketika dahulu serta dalam pada yang sama memperkenalkan kepada generasi baru kepada filem melayu klasik.

"Lebih istimewa, filem-filem ini juga adalah sebagai tanda penghargaan buat barisan penerbit serta produksi gergasi, dan nama-nama besar yang pernah mewarnai industri perfileman melayu seperti Nordin Ahmad, Latifah Omar, Hajah Umi Kalsom, Mat Sentul dan ramai lagi.

"Kami harap initiatif ini mampu membuatkan karya-karya seni tempatan sentiasa dihargai dan tidak lapuk ditelan zaman,” katanya.



Sementara itu, Pengasas Bersama I.E. Entertainment, Indra Suharjono berkata;

"Saya rasa amat gembira dengan usaha Astro dalam mempersembahkan Filem Klasik Melayu di Malaysia dan Brunei menerusi platform Astro.

"Kami percaya Astro adalah rakan kerjasama terbaik dalam mengembalikan nostalgia filem klasik Melayu daripada arkib Cathay-Keris Films kepada penonton muda yang akan menontonnya buat pertama kali sekali gus melihat bagaimana pembikinan filem yang telah berkembang selama bertahun-tahun.

"Ini adalah cara yang baik untuk mengenali filem, era, dialek, trend fesyen, gaya, dan proses pembikinan karya Melayu," katanya.



Kesemua 33 buah filem tersebut adalah antara filem hebat yang pernah ditayangkan pada tahun 1950an sehingga 1960an. Antaranya adalah Pontianak Gua Musang, Sumpah Pontianak, Jula Juli Bintang Tiga, Tunang Pak Dukun, Dang Anom dan Chuchu Datuk Merah.

Filem-filem ini juga mengangkat kisah dan jalan cerita yang amat dekat dengan masyarakat Melayu Malaysia dan Singapura seperti mengetengahkan tradisi dan muzik, serta mencerminkan nilai sosial ketika di era itu.

Dengan mengembalikan filem-filem ini, sekali gus ia mampu mengekalkan nilai budaya dan seni masyarakat Melayu di rantau ini dan merangkumi warisan Malaysia dan Singapura.

Kerjasama dalam mendapatkan hak pelesenan eksklusif ini melibatkan pihak pengedar eksklusif Cathay Keris, I.E. Entertainment yang diterajui oleh pasangan adik beradik Indra Suharjono dan Erlina Suharjono yang berpengalaman luas dalam bidang media dan industri seni di peringkat Asia.


SENARAI 33 FILEM YANG AKAN DITAYANGKAN

1. Ayer Mata Duyong
2. Badang
3. Bawang Puteh Bawang Merah
4. Chelorong Cheloreng
5. Chuchu Datuk Merah
6. Dang Anom
7. Dosa Wanita
8. Dua Kali Lima
9. Gurindam Jiwa
10. Jalak Lenteng
11. Jula Juli Bintang Tiga
12. Jula Juli Bintang Tujuh
13. Kaseh Ibu
14. Keranda Berdarah
15. Korban Fitnah
16. Laila Majnun
17. Lela Satria
18. Masok Angin Keluar Asap
19. Mat Magic
20. Mat Bond
21. Pak Pandir Modern
22. Pontianak Gua Musang
23. Puteri Gunong Ledang
24. Satay
25. Selendang Delima
26. Siti Zubaidah
27. Sri Mersing
28. Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang
29. Sumpah Pontianak
30. Tunang Pak Dukun
31. Yatim Mustapha
32. Gila Talak
33. Ikan Emas


[KREDIT: Astro]











Tiada ulasan:

Catat Ulasan