6 Sep 2021

MAFE GESA PAWAGAM DIBUKA SEMULA UNTUK PENONTON LENGKAP DIVAKSIN


MEMANDANGKAN
aktiviti makan di kedai, sukan, rekreasi dan riadah yang tidak melibatkan kontak fizikal kini dibenarkan untuk individu yang telah divaksin sepenuhnya di kawasan-kawasan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) turut meminta kebenaran yang sama bagi membolehkan pawagam dibuka semula.

Selepas ditutup selama lebih setahun sejak Mac 2020 dengan kerugian melebihi RM600 juta, pengusaha pawagam kini berada dalam keadaan yang amat tenat, berbeza dengan perniagaan makanan dan minuman serta peruncitan yang lain di mana mereka boleh terus beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan terus ke rumah.

Penutupan pawagam turut menggugat kehidupan lebih daripada 20,000 rakyat Malaysia yang bekerja di dalam industri filem dan pawagam, kerana pemamer tidak mempunyai sumber pendapatan lain, atau menerima apa-apa bantuan kewangan atau pembelaan daripada kerajaan.

Selepas pembuangan pekerja, pemotongan gaji dan pengecilan operasi, pengunduran pemamer pawagam ketiga terbesar di Malaysia, MBO Cinemas pada 2020 memberikan satu petanda amaran bahawa pawagam tidak boleh terus ditutup sedangkan perniagaan lain telah pun dibenarkan beroperasi semula.

Lebih 25% panggung wayang di seluruh Malaysia terpaksa ditutup selama-lamanya selepas terlalu lama tidak dibuka dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat jika pawagam masih lagi tidak dibenarkan beroperasi semula.

Walaupun sentiasa mengamalkan SOP paling ketat di kalangan industri, termasuk menyediakan tempat duduk dengan penjarakan sosial di dalam panggung dan mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika tidak makan dan minum, pawagam sering menjadi antara perniagaan pertama yang diarah tutup dan yang terakhir dibenarkan dibuka semula, walaupun tiada kes jangkitan dikesan membabitkan pawagam.

Pawagam menyediakan satu tempat yang selamat, terapeutik dan mampu milik untuk rakyat Malaysia yang telah divaksin sepenuhnya menenangkan fikiran selepas lebih setahun terkurung dan mengalami tekanan emosi.

Menurut Setiausaha pihak MAFE, Sisubalan Ehambaram;

“Negara kita sedang berdepan dengan krisis ekonomi dan kesihatan mental kerana langkah penutupan yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan kehidupan dan perniagaan, tetapi juga kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

"Jika aktiviti rekreasi dan riadah dapat memberi ketenangan kepada individu yang telah divaksin sepenuhnya, pawagam juga boleh berbuat demikian dengan selamat kerana kami mengenakan SOP yang ketat seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka dan tidak membenarkan kontak fizikal dengan menjarakkan tempat duduk dan melarang daripada bergaul ketika semasa di dalam panggung.

"Dalam satu soal selidik yang dilakukan oleh Cinema Online baru-baru ini, lebih daripada 80% penonton menyatakan bahawa pawagam membantu mengurangkan tekanan dan keresahan.

"Kami yakin bahawa adalah selamat untuk membenarkan para penonton yang telah divaksin sepenuhnya kembali ke pawagam, supaya kita dapat memulihkan kembali tahap kesihatan mental rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya.



Untuk para penonton yang ingin kembali menonton filem di pawagam, MAFE akan melaksanakan SOP yang dipertingkatkan selaras dengan langkah-langkah yang diambil oleh pengusaha pawagam di luar negara.

Ini termasuk:

Kebenaran masuk untuk penonton yang telah divaksin sepenuhnya sahaja (14 hari selepas dos kedua sahaja) – dengan bukti sijil digital vaksinasi COVID-19

Pembelian tanpa kontak untuk tiket wayang serta makanan dan minuman

Hanya kakitangan yang telah divaksin sepenuhnya dibenarkan bertugas

Pemakaian PPE yang dipertingkatkan untuk kakitangan seperti pemakaian dua lapis pelitup muka dan pelindung muka



Dengan SOP yang dipertingkatkan ini, semua pawagam di Malaysia telah bersiap siaga dan bersedia untuk mengalu-alukan kedatangan semula para penonton yang mendambakan pengalaman menonton dalam suasana yang terlindung dan selamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan