7 Sep 2021

FAZLI ZAINAL, MANTAN YANG TERLUKA



PERJALANAN anak seni di waktu musim pandemik ini begitu terasa getirnya.  Ramai yang masih cuba bertahan dan ramai juga yang terkandas dalam menerajui kesinambungan hidup.

Musim pandemik banyak mengubah cara kita untuk terus berjuang. Begitu juga yang dialami oleh seorang penyanyi yang telah bertapak di industri ini selama hampir 16 tahun menerusi program realiti Malaysian Idol dan lagu debut Harapan.

Fazli Zainal tidak pernah menduga wabak yang sangat digeruni Covid-19 akan menduga kehidupannya.

"Saya membuat ujian swab pada 25 Julai 2021 dan disahkan positif Covid 19,".


Berita dan fakta ini menjadi igauan ngeri dan Fazli terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Ampang pada 30 Julai 2021 dan disahkan bebas daripada Covid19 serta telah dibenarkan pulang pada 28 Ogos 2021.

Tempoh hampir sebulan menerima rawatan memberikan Fazli ruang untuk berfikir dan mencari kekuatan. Pada awalnya, Fazli pasrah dan hampir putus asa tapi sokongan keluarga, sahabat, para petugas barisan hadapan dan peminat, dia temui harapan untuk terus berjuang.

"Saya harus terus berjuang.  Virus ini tidak akan menyekat hidup yang telah saya bina dan cinta saya terhadap nyanyian," ujar Fazli. 



Mengumpul segala kudrat dan semangat, Fazli terpanggil untuk melahirkan lagu terbaharunya pada peminat.

Lagu Mantan Yang Terluka hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh Fedtri Yahya ini merupakan satu projek di bawah ISK Muzik (Inisiatif Seni Kreatif). Rakaman lagu telah dijalankan sekitar Julai, tahun lalu dan klip videonya pula dirakamkan pada bulan Oktober tahun yang sama di sebuah studio di Petaling Jaya.

"Ini merupakan julung kalinya saya berkerjasama dengan Abang Ajai. Sememangnya hajat mendapatkan khidmat komposer ini telah saya tersimpan dan rezeki itu sampai jua," katanya.



Sementara itu, Ajak mengakui mencipta lagu Mantan Yang Terluka khas untuk Fazli dengan mengambil kira kekuatan vokal dan tone yang ada padanya. 

"Kekuatan ini saya hadirkan dalam melodi lagu Mantan Yang Terluka dan Fazli menyempurnakan sesi rakaman dengan baik sekali. Ini juga merupakan kolaborasi pertama saya dengan saudara Fedtri. Lirik beliau memang indah," ujar Ajai.



Penulis liriknya, Fedtri Yahya pula berkata, lirik tersebut diilhamkan daripada kisah cinta manusia. 

"Terluka adalah lumrah dalam cinta. Jangan membohongi diri andai tidak bahagia. Semua orang berhak menyuarakan rasa itu jika tidak mampu lagi menanggung beban luka dalam jiwa. 

"Sewaktu mendengar melodi ini yang saya terima daripada Ajai, emosi saya terbuai dan apabila mendengar hasilnya pula, gabungan melodi indah Ajai dan suara mantap Fazli membawa saya terbang dalam mood khayalan," katanya.



Fazli meluahkan nikmat syukur terhadap-Nya kerana masih berpeluang melahirkan single terbaru ini. Apatah lagi setelah hampir lima tahun menyepi dengan lagu baharu, kini rezeki  itu datang dalam bentuk yang berlainan.

"Walaupun dilanda ujiana Covid-19, tapi Allah SWT memberikan saya rezeki lagu baharu sebagai pengubat di kala saya masih berusaha melawan virus ini," ujarnya.


Fazli juga melahirkan rasa gembira dan teruja dapat berkerjasama dengan pihak Wake The Baby Records, ISK Muzik dan juga Universal Music Malaysia.

"Ucapan terima kasih ditujukan pada Abang Ajai selaku komposer dan penerbit lagu dan saudara Fedtri Yahya selaku penulis lirik.  Insya-Allah saya percaya dan berdoa lagu ini akan menjadi satu lagi hasil sentuhan emas.

"Ucapan terima kasih juga kepada para peminat yang tidak putus mendoakan saya.  Hanya Allah saja yang mampu membalas budi dan doa anda semua sepanjang hampir sebulan saya di wad kuarantin," tambah Fazli lagi.


ISK Muzik (Inisiatif Seni Kreatif Muzik) dengan kerjasama Universal Music Malaysia (selaku pengedar digital) bakal mengedarkan lagu dan klip video rasmi Mantan Yang Terluka ini pada 10 September depan di seluruh digital platform termasuk YouTube.


MANTAN YANG TERLUKA
by Fazli zainal

Luka perpisahan masih ada
Luka perpisahan masih pedih
Buntu  ke mana nak ku lari
Tiada sezarah pun simpatimu

Benar dendam itu angin durja
Benar dendam itu kian gila
Benar dendam itu membinasa
Tiada dayaku menghalanginya

Pejam mata dan terbayang kemungkinan akan disakiti lagi...
Tikaman kedua...

Maafkan aku, mantanmu yang terluka
Usah lontarkan bencimu terhadap hidupku...
Biarkan kita melepaskan semua penyesalan
Kembali ‘tuk tersenyum
Berlapang tuk berbeda
Melangkah tuk nikmati bahagia

Lupakan aku...

Benar dendam itu angin durja
Benar dendam itu kian gila
Benar dendam itu membinasa
Tiada dayaku menghalanginya

Pejam mata dan terbayang kemungkinan akan disakiti lagi...
Tikaman kedua...

Maafkan aku, mantanmu yang terluka
Usah lontarkan bencimu terhadap hidupku...
Biarkan kita melepaskan semua penyesalan
Kembali ‘tuk tersenyum
Berlapang tuk berbeda
Melangkah tuk nikmati bahagia

Kembali ‘tuk tersenyum
Berlapang ‘tuk berbeda
Melangkah ‘tuk nikmati bahagia


Lagu: Ajai /Universal Publishing
Lirik: Fedtri Yahya/Musicwerks Studio

Tiada ulasan:

Catat Ulasan