30 Jun 2021

,



DI BAWAH
norma baharu yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 pada masa ini, seluruh warganegara tidak berpeluang untuk meluangkan masa bersama rakan ataupun keluarga secara langsung. 

Oleh kerana itu, ramai orang mencari hiburan alternatif di rumah masing-masing. Untuk menambahkan interaksi sosial dan elemen yang lebih menyeronokkan ke dalam aktiviti di dalam talian, JOOX sebagai platform penstriman muzik dan hiburan yang paling berdedikasi di Asia, melancarkan JOOX ROOMS.

Fitur interaktif terkini yang pasti akan menarik perhatian pengguna JOOX kerana ianya membolehkan pengguna JOOX meluangkan masa lapang mereka dengan berbual dan berkongsi muzik yang mereka gemari dengan rakan dan keluarga mereka.

Fitur JOOX ROOMS yang interaktif dan inovatif ini membolehkan pengguna menikmati masa terluang dengan perbualan di ruang sembang melalui audio ataupun video secara langsung di dalam, yang membolehkan mereka berinteraksi dengan rakan, keluarga, ataupun pengguna JOOX yang lain.

Dengan wujudnya fitur ini, pengguna boleh memilih untuk menjadi tuan rumah atau masuk ke ruang sembang yang mereka minati dimana setiap ruang sembang boleh disertai sehingga 27 orang melalui audio ataupun video dalam satu masa yang sama.

Ingin menikmati pelbagai hiburan menarik? Anda boleh mengakses pustaka JOOX yang menyediakan lebih daripada 40 juta muzik dari seluruh dunia, dimana anda boleh memilih dan memainkan lagu kegemaran anda ataupun kongsikannya bersama pengguna lain JOOX di fitur ROOMS.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh berbual melalui ruangan Chat jika anda tidak mahu menggunakan audio atau video, ataupun anda boleh memulakan ruang sembang peribadi yang hanya boleh dimasuki oleh oleh pengguna yang dijemput oleh tuan rumah itu sendiri!

Mainkan permainan Truth or Dare atau bernyanyi karaoke untuk menciptakan lingkaran sosial anda yang lebih aktif - gunakan kreativiti anda untuk terokai lebih banyak lagi.

Senior Vice President of JOOX, Poshu Yeung,  menyatakan;

"JOOX menjunjung tinggi nilai-nilai yang menjaga hubungan erat dengan rakan atau keluarga terutamanya di masa norma baharu yang disebabkan oleh wabak covid-19. 

"Oleh kerana itu, kami di JOOX sangat teruja dengan pelancaran fitur terkini JOOX ROOMS, yang membolehkan pengguna berjumpa dan mengekalkan hubungan rapat mereka bersama rakan dan keluarga sambil menikmati muzik yang mereka gemari, di mana semuanya dapat dilakukan di platform JOOX. 

"Fitur terbaru ini sudah sepastinya akan sangat mengujakan pengguna JOOX," ujarnya.



Nikmati fitur terkini JOOX ROOMS yang inovatif dan interaktif sekarang. Anda bukan sahaja dapat berinteraksi dan bersosial dengan rakan sambil menikmati lagu-lagu artis kegemaran pada bila-bila masa dan di mana sahaja, tetapi anda juga dapat mengakses lebih banyak lagi fitur dan tawaran menarik JOOX yang tiada tandingan.

Muat turun aplikasi mudah alih atau desktop JOOX di Apple App Store dan Google Play Store, atau layari laman sesawang JOOX website.


[KREDIT: JOOX]

29 Jun 2021

,



PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin semalam berkenaan dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), dengan peruntukkan sebanyak RM100 Juta untuk industri seni dan kreatif negara.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan rintihan orang-orang seni yang amat terkesan dalam tempoh Perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mempunyai empat fasa keseluruhannya.

"Seniman akan memantau pelaksanaan agihan peruntukkan RM100 juta untuk penggiat seni tanah air supaya ia sampai kepada mereka yang memerlukan dan secara tidak langsung dapat meringankan beban penggiat seni yang masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga hari ini.

"Jika dilihat semula Pelan Pemulihan Negara ini, maka industri kreatif akan kembali beroperasi pada fasa ketiga nanti setelah kes-kes jangkitan Covid-19 berkurangan bawah nilai ambang 500 kes sehari. Pada jangkaan dalam Pelan Pemulihan Negara ia sekitar bulan Oktober 2021 nanti.

"Untuk pengetahuan pihak Kerajaan, Industri kreatif sudah tidak mampu lagi bertahan sekiranya kami tidak dibenarkan beroperasi dalam bulan Julai 2021 ini, segala peruntukkan yang diberikan oleh Kerajaan dalam pakej-pakej sebelum ini tidak bermakna sekiranya kami masih tidak dibenarkan beroperasi," ujarnya.



Dalam masa sama, seniman juga menggesa agar aktiviti penggambaran dapat dibenarkan untuk kembali dijalankan.

"Seniman percaya Industri Kreatif juga adalah sektor yang penting di Malaysia, seperti mana yang umum ketahui sektor pengilangan dan pembinaan adalah penyumbang terbesar kepada kes harian Covid-19 di Malaysia setiap hari dan mereka masih dibenarkan untuk terus beroperasi.

"Jika sektor ini dibenarkan beroperasi mengapa industri kreatif tidak dibenarkan beroperasi, kami sedia mematuhi segala garis panduan dan SOP yang telah digunapakai pada PKP 2.0 yang lepas tanpa sebarang masalah.

"Untuk makluman juga, industri kreatif tidak pernah mencetuskan kluster-kluster yang melibatkan penggambaran setakat hari ini, penggiat seni sentiasa patuh kepada SOP serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

"Oleh yang demikian sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin Seniman sekali lagi mengesa agar industri kreatif dibenarkan beroperasi pada bulan Julai ini demi kelangsungan hidup warga kerja industri kreatif yang amat terkesan memandangkan 90% daripada kami adalah pekerja yang bekerja berdasarkan projek (job basis).



[KREDIT: Seniman]

28 Jun 2021

,


NAMA komposer Ajai bukanlah satu nama yang perlu diperkenalkan lagi, apatah lagi komposer tersohor ini memiliki hampir seribu lagu ciptaan dan lebih 100 daripadanya menjadi hits dan dinyanyikan oleh ramai artis-artis popular.

Begitu juga Ramlah Ram, penyanyi senior yang dikategorikan sebagai ‘legend’ ini juga memilih pencapaian dan perjalanan seni yang begitu menarik.

Selain memiliki rekod penjualan album terbanyak (500 ribu unit yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records menerusi album Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu), pemenang Anugerah Juara Lagu 1988 dan Penyanyi Wanita Popular edisi 1988 & 1989 ABPBH itu juga pernah merangkul gelaran Golden Voice di ASEAN Golden Vocalist Festival yang berlangsung di Vietnam pada tahun 1996.

Malah pencetus irama dangdut sehingga irama tersebut menguasai pasaran muzik tanah air bermula pada tahun 1994 itu kekal relevan walaupun selepas alaf baru dengan kemenangan lagu Ketentuan sebagai Lagu Terbaik di Hits 1 pada tahun 2008 sehinggalah fenomena lagu Sesaat Kau Datang, kolaborasinya bersama Sleeq pada tahun 2011 sehingga mempopularkan duo dari Singapura ini di Malaysia.

Begitu juga gandingan beliau bersama Caprice menerusi lagu 5 Minit berjaya mempopularkan rappers muda itu di arena muzik mainstream.

Jadi, apabila dua nama besar ini bergabung dan bekerjasama untuk menghasilkan sebuah karya terbaharu, sudah tentu ia amat dinantikan oleh para peminat muzik tanahair.

Walaupun mengenali Ajai yang ketika itu masih bersama kumpulan Exists ketika bernaung di bawah syarikat rakaman BMG Music, sehinggalah pada masa Ajai sudah dikenali sebagai komposer, Ramlah tidak pernah berkesempatan untuk merakamkan lagu ciptaan Ajai untuk dimuatkan dalam album-albumnya sebelum ini.

Akhirnya pada tahun 2020 telah menyaksikan bagaimana bermulanya projek khas Ajai bersama Inisiatif Seni Kreatif untuk menerbitkan sebuah single terbaru yang berkonsepkan pop balada untuk Ramlah berjudul Aku Ubatinya Lagi.

Lagu ini merupakan ciptaan penuh Ajai dan telah dirakamkan di Studio Wake The Baby Records sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 iaitu pada awal Mac 2020 yang lalu. Malah lagu itu juga telah disempurnakan susunan muziknya oleh komposer Sharon Paul.

Manakala, proses mastering nya pula dilakukan di Bechmark Studio, Australia oleh Don Bartley, seorang jurutera bunyi yang banyak terlibat dalam pembikinan album artis-artis antarabangsa antaranya untuk album kumpulan ABBA dan Scorpion.

Menyentuh mengenai pengalaman pertama kali bekerjasama dengan Ajai, Ramlah memberitahu;

“Ajai sangat teliti ketika menghasilkan lagu ini. Dia buat dengan bersungguh-sungguh, tidak hanya sekadar ‘asal siap saja’ dan saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja beliau yang dibuat kali pertama untuk saya ini.

“Saya juga bersyukur segalanya dipermudahkan dan akhirnya lagu ini dapat disiapkan sepenuhnya, cuma dengan pelaksanaan PKP yang masih berlangsung hingga sekarang, sedikit sebanyak membataskan persiapan kami untuk memperdengarkan lagu lebih awal ini kepada peminat.

“Memandangkan saya juga tampil dengan lagu Masar Cinta pada penghujung tahun 2019 dan juga lagu raya terbaru berjudul Kemenangan pada April lalu, sebagai strategi pemasaran, kami membuat keputusan untuk melancarkan lagu Aku Ubatinya Lagi pada bulan Jun tahun ini,” ujarnya.



Untuk tujuan itu, muzik video rasmi lagu Aku Ubatinya Lagi dilancarkan pada 25 Jun lalu di channel YouTube Universal Music Malaysia yang bertindak selaku pengedar dan pemegang hakcipta lagu itu.

Ramlah juga memberitahu yang beliau masih bernaung di bawah syarikat RRG Entertainment yang akan menguruskan semua jadual dan rangka promosi single terbaharunya ini.

“Saya masih bersama RRG Entertainment dan lagu ini sebenarnya adalah satu projek khas saya bersama Ajai, Universal Music dan Inisiatif Seni Kreatif.

"InsyaAllah, selepas ini akan ada single saya yang lain pula bersama RRG.” kata Ramlah Ram mengakhiri perbualan.



[KREDIT: RRG Entertainment]

27 Jun 2021

,


DRAMA bersiri Love, Elsa ialah sebuah karya adaptasi novel dengan judul sama nukilan Acik Lana mengangkat genre fantasi cinta terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn Bhd. 

Drama 24 episod itu diarahkan oleh pengarah Michael Ang serta turut menampilkan Nadia Khan dan Mamu Vies selaku penulis skrip.

Love, Elsa bakal menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam mulai 15 Jun lalu menerusi slot Megadrama secara secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal;

“Berbeza dengan drama cinta yang biasa disajikan kepada penonton sebelum ini, keunikan naskhah Love, Elsa terletak kepada konsep kisah cinta santai dengan suntikan elemen magis yang sering diketengahkan dalam drama Korea atau istilah lebih dekat, K-Drama.

"Penceritaan kisah cinta fantasi seperti ini pastinya memberi kelainan kepada para penonton yang pastinya tertunggu-tunggu buah tangan terbaharu daripada kami selepas berakhirnya drama sensasi Rindu Awak Separuh Nyawa.

"Kesemua barisan pelakon yang membintangi drama ini juga telah memainkan peranan yang cukup bermakna dengan lakonan mantap yang mampu mengagumi khalayak penonton melalui pembawaan watak yang cukup berkesan. Drama Love, Elsa juga menjanjikan paparan yang menarik dengan olahan plot penceritaan yang menyeronokkan.

"Tambah menarik lagi, single terbaharu ciptaan penyanyi dan pelakon terkenal Marsha Milan featuring Fanzi Ruji Khan berjudul Ika Noh juga turut diangkat menjadi lagu tema untuk drama bersiri ini.

"Kami berharap gabungan kesemua elemen-elemen ini mampu meletakkan Love, Elsa sebagai sebuah drama yang paling ditunggu sekaligus mencetuskan fenomena yang tersendiri dikalangan peminat drama Melayu. Semoga terhibur," katanya.



Sementara itu pengarahnya, Michael Ang, berkata, Keunikan drama Love, Elsa sebenarnya terletak kepada chemistry lakonan di antara Zul Ariffin dan Uyaina yang merupakan penggerak utama yang memberi warna kepada drama itu.

"Pada mulanya saya agak gementar kerana chemistry di antara mereka agak lambat untuk muncul. Namun perasaan tersebut tidak lama kerana kegusaran tersebut terus hilang apabila kedua-dua teraju utama saya saling ‘memberi’ dan memudahkan keseluruhan penggambaran.

"Begitu juga dengan barisan pelakon lain yang masing-masing memberikan kerjasama penuh untuk mendapatkan hasil lakonan yang mantap.

"Sepanjang penggambaran dijalankan, pelbagai cabaran pahit manis telah kami tempuhi bersama sebagai satu pasukan.

"Cabaran paling getir adalah kekangan masa dan keselamatan. Pihak produksi juga harus mengejar masa yang terhad kerana kesibukan jadual kerja Zul dan Uyaina yang banyak terikat dengan komitmen kerja yang lain.

"Kekangan seperti ini memberi impak besar daripada segi jadual dan lokasi. Walau bagaimanapun, kami bersyukur kerana segala cabaran dapat diatasi dan penggambaran juga dapat diselesaikan seperti yang dirancang,” katanya.



TRIVIA LOVE, ELSA


  • Penggambaran drama Love, Elsa mengambil masa 65 hari untuk diselesaikan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Langkawi.
  • Drama Love, Elsa menyaksikan gandingan julung kali Zul Ariffin dan Uyaina Arshad selaku teraju utama. Watak Ammara yang digalasnya merupakan seorang yang introvert, sering berpakaian pelik dan sentiasa memakai sarung tangan. Untuk mendapatkan look yang dikehendaki untuk watak ini, styling Uyaina mendapat sentuhan tata rias oleh fashion stylist Abu Shaef Hamza. Abu juga turut menyediakan 18 jenis sarung tangan unik yang berbeza untuk mewarnai watak tersebut.
  • Sebelum ini, Uyaina Arshad sudahpun mempunyai pengalaman bekerja di bawah Michael Ang menerusi drama Perempuan Tanpa Dosa yang pernah ditayangkan menerusi slot Megadrama sekitar bulan Oktober tahun lalu. Menurut Uyaina, sepanjang bekerjasama dengan pengarah tersebut, Michael merupakan seorang yang amat mementingkan kualiti kerja dan banyak berkongsi ilmu mengenai teknik lakonan yang berkesan. Uyaina juga berasa cukup bertuah kerana mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada beliau.
  • Menurut Zul Ariffin yang melakonkan watak Ridza, antara pengalaman paling manis sewaktu menjayakan penggambaran drama Love, Elsa ialah sewaktu babak selam untuk montaj pembukaan yang dilakukan di Langkawi. 
  • Drama Love, Elsa ini turut menampilkan lagu istimewa berjudul Ika Noh, nyanyian Marsha Milan feat Fanzi Ruji sebagai lagu runut bunyi. Lebih istimewa lagi, lagu tersebut juga merupakan ciptaan Marsha sendiri.


BARISAN PELAKON

Zul Ariffin sebagai RIDZA
Uyaina Arshad sebagai AMMARA
Riz Amin sebagai KAMARUL
Ramona Zam Zam sebagai RAMONA
Badrul Muhayat sebagai ELYAS
Ku Faridah sebagai NENEK AMMARA
Zeera Azizi sebagai SOFEA
Ikhram Juhari sebagai IMRAN
Azhar Amir sebagai TUAN ZAMIR
Mona Allen sebagai MADAM QISTINA
Iman Suhana sebagai HAMIDAH
Nasz Sally sebagai HABSAH
Mustapha Kamal sebagai WAHID 


SINOPSIS

Alahan? Kedengarannya seperti keadaan biasa yang berlaku pada banyak orang tetapi tidak kepadanya kerana ‘alahan’ itu mengubah hidupnya. Ammara alahan terhadap sentuhan manusia, setiap kali dia bersentuhan dengan kulit manusia lain, dia akan melihat masa lalu seseorang itu.

Alahannya menjadi seperti musibah bagi Ammara, penyakit itu tidak ada penawar atau ubat. Ammar membesar menjadi seorang gadis yang mengalami masalah kemurungan. Keluarganya tidak dapat menerima keadaannya dan membiarkannya bersendirian untuk menghadapi dunia.

Ketika Ridza muncul, hidupnya mula berubah. Dia mula bercakap dengan orang dan merasa gembira buat pertama kalinya dalam hidupnya. Ridza adalah satu-satunya rakan yang pernah dia ada.

Ketidaksempurnaannya menjadi kekuatannya ketika dia menggunakan kelebihannya untuk menolong Ridza dalam menyelesaikan kes pembunuhan ayahnya. Satu demi satu misteri dapat diselesaikan olehnya.


[KREDIT: Astro]








26 Jun 2021

,


FILEM terbitan Astro Shaw dan HBO Asia dengan sokongan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan dengan Kerjasama dari CJ Entertainment, The Garden of Evening Mists (TGOEM) bakal ditayangkan di Shibuya Euro Space, Jepun bermula 24 Julai ini.

Penerbit Eksekutif TGOEM dan merangkap selaku Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan, berkata;

“Kami rasa amat teruja filem ini akan ditayangkan di Jepun. TGOEM mengangkat kisah yang berlatarkan Malaysia dan dijayakan oleh gabungan hebat oleh barisan pelakon serta tenaga kru profesional dari Malaysia dan luar negara seperti Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia, United Kingdom.

"Ia termasuklah pengarah berbakat besar dari Taiwan, Tom Lin, pemenang penulis skrip terbaik Scottish BAFTA, Richard Smith, pelakon filem wanita terbaik Hong Kong, Sinje Lee, pelakon lelaki terbaik Jepun, Hiroshi Abe, penyanyi dan pelakon lagenda Taiwan, Sylvia Chang, pelakon terkenal Britain David Oakes, Julian Sands dan pelakon Scotland, John Hannah.

"Kami harap filem yang membawa elemen cinta dan kemaafan yang berlatarkan pelbagai era ini, mampu menambat hati penonton di Jepun seperti mana filem ini telah meninggalkan kesan kepada penonton-penonton dari pelbagai negara sebelum ini.

"Filem Asia semakin mendapat perhatian antarabangsa, jadi Astro akan terus komited dalan mempersembahkan lebih banyak filem yang mengangkat Asia dan penceritaan oleh bakat-bakat kreatif dari Asia sendiri,” ujarnya.



Menurut Pengarah TGOEM, Tom Lin;

“Saya rasa sangat teruja apabila mendapat tahu filem TGOEM akan ditayangkan di negara Jepun. Meskipun terdahulu tiga buah filem yang diarahkan oleh saya pernah ditayangkan di negara tersebut, namun kali ini perasaannya berbeza dan sedikit gementar untuk melihat penerimaannya.

"Filem TGOEM mengangkat subjek yang berat, tetapi ia juga sarat dengan cinta, empati, pengorbanan dan penebusan kesilapan lalu. Saya berharap filem ini mampu meninggalkan kesan kepada penonton,” katanya.



Manakala, Pelakon Utama TGOEM, Hiroshi Abe menyatakan bahawa selepas membaca skrip filem, beliau sentiasa berhubung hampir setahu dengan pengarah Tom Lin dan kemudian barulah bersetuju untuk terlibat dalam filem tersebut.

"Saya banyak membuat rujukan mengenai latar belakang sejarah menerusi buku dan dokumentari. Watak Aritomo merupakan pekebun bagi taman Jepun dan juga pengukir.

"Bagi menyampaikan budaya Jepun menerusi watak ini, saya telah mendapat bimbingan daripada pihak yang pakar dalam perkebunan, pengukiran dan guru yang mahir dengan teknik dalam budaya upacara minum teh.

"Karakter Aritomo dilihat penuh misteri, tetapi watak tersebut mempunya estetika seperti ‘Bushido’ dan mempunyai sihat empati. Karakter itu amat dekat dengan diri saya sendiri jadi mudah untuk saya bawakan karakter tersebut.

“Pengarah Tom Lin ada memberitahu bahawa ini bukanlah filem perang yang secara terang tonjolkan siapa jahat dan siapa baik. Tetapi, ia adalah sebuah filem cinta yang mempamerkan insan yang lalui keperitan dan akhirnya memaafkan antara satu sama lain menerusi cinta. Saya ingin mengajak orang di luar sana untuk menonton filem ini,” kata Hiroshi Abe lagi.



Berlatar belakangkan sejarah Malaysia dalam Perang Dunia II, cinta menyayat hati ini bermula apabila Teoh Yun Ling bertemu dengan Nakamura Aritomo dan dia menerima sahutan Yun Ling untuk menghasilkan taman berinspirasikan taman Jepun bagi merealisasikan impian adik perempuan Yun Ling yang telah terkorban.

Mereka mula tertarik antara satu sama lain meskipun berbeza budaya. Tiga puluh tahun kemudian, Yun Ling menjadi hakim wanita di Malaysia dan mengendalikan kes persekutuan.

Apabila mendapat tahu lelaki yang pernah dia cintai, Nakamura Aritomo adalah salah seorang perisik khazanah, Yun Ling membuat keputusan untuk mencari bukti dan mengimbau memori lalu.

TGOEM menjalani sesi penggambaran di Malaysia seperti Cameron Highland, Sungai Lembing, Klang. Sementara itu, filem ini adalah adaptasi daripada novel yang juga menggunakan judul The Garden of Evening Mists.

Penulis novelnya, Tan Twan Eng pernah menerima anugerah 2013 Man Asian Literary Prize dan Walter Scott Prize bagi kategori fiksyen sejarah pada tahun 2013 serta pernah disenarai pendek dalam 2012 Man Booker Prize.

TGOEM menggabungkan tenaga-tenaga profesional dari Malaysia, Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia dan UK.

Pengarahnya, Tom Lin yang merupakan antara pengarah terbaik di Taiwan manakala skrip oleh Pemenang Penulis Skrip Terbaik Scottish BAFTA, Richard Smith.

Selain itu, turut membariskan pelakon handal seperti pelakon dari Malaysia, Lee Sinje yang pernah membintangi filem The Eye, Hiroshi Abe (After the Storm) dari Jepun, Sylvia Chang (Love Education) dari Taiwan, David Oakes (Cold Skin) dan Julian Sands (The Girl with the Dragon Tattoo) dari Britain dan John Hannah (The Mummy) dari Scotland.

Terdahulu, TGOEM telah berjaya merangkul anugerah Rekaan Kostum & Solekan Terbaik di anugerah berprestij, 56th Golden Horse Awards.

Lebih membanggakan, TGOEM adalah filem pertama Malaysia mendapat 9 pencalonan, Filem Terbaik (Astro Shaw Sdn. Bhd & HBO Asia), Pengarah Terbaik (Tom LIN Shu-yu), Pelakon Wanita Terbaik (Lee Sinje), Lakon Layar Adaptasi Terbaik (Richard SMITH), Sinematografi Terbaik (Kartik VIJAY), Arahan Seni Terbaik (Penny TSAI Pei-ling, LUM Heng-soon, CHEN Hsuan-shao), Rekaan Kostum & Solekan Terbaik (Nikki GOOLEY, Biby CHOW, Penny TSAI Pei-ling, Nina EDWARDS), Skor Muzik Asal Terbaik (Onn SAN), dan Penyunting Filem Terbaik (SOO Mun-thye).

TGOEM turut melakar sejarah yang tersendiri apabila membuat penampilan antarabangsa dengan mengadakan tayangan di 24th Busan International Film Festival (BIFF) dan tiket habis dijual.

Selain itu, turut dipertontonkan di 16th Hong Kong Asian Film Festival (HKAFF) dan mendapat pengiktirafan untuk dipertontonkan di Taipei Golden Horse Film Festival menerusi kategori ‘Closing Film’ pada tahun 2019.

Filem ini telah ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia pada Januari tahun 2020 dan mendapat reaksi positif daripada penonton.


[KREDIT: Astro Shaw]

































25 Jun 2021

,


J2: J RETRIBUSI  kini tembusi Brunei. Sejarah buat filem aksi pertama Malaysia tahun ini apabila berjaya menembusi pasaran Brunei. Filem yang telah ditayangkan di platform penstriman Disney+ Hotstar itu menemui peminat di pawagam Brunei mulai 24 Jun 2021. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh;

“Industri filem dan pawagam kini berhadapan dengan cabaran paling getir di kala pandemik Covid-19 masih berleluasa. 

"Ia penting untuk kami menyusun strategi dan mencari peluang untuk terus berhubung dengan penonton kami, sama ada di dalam mahu pun luar negara. 

"Tayangan J2: J Retribusi  dimulakan menerusi pelantar penstriman Disney+ Hotstar Malaysia pada 1 Jun 2021 lalu dan di Indonesia pada 2 Julai 2021. 

"Kini, Brunei merupakan negara pertama yang menayangkan J2: J Retribusi  di lapan buah pawagam di sana. Kami amat teruja dengan kolaborasi strategik ini dan mengharapkan sambutan yang positif daripada kalangan peminat filem aksi di situ,” katanya.



J2: J Retribusi merupakan sekuel kepada filem J Revolusi yang ditayangkan pada tahun 2017. Ia menampilkan dua pengarah berpengalaman dalam filem-filem aksi iaitu Nazrul Asraff Mahzan dan Nazim Shah dengan gandingan bersama penulis skrip hebat iaitu Alfie Palermo, Azhar Amirulhisyam dan Anwari Ashraf. 

Filem ini dibintangi Zul Ariffin, Amelia Henderson, Allahyarham Ashraf Sinclair, Datuk Rosyam Nor, Ainin Batrisya dan Chen YiMing (pelakon dari China). 

Sudah pasti gandingan mantap ini bakal mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan peminat filem aksi di Brunei.

Filem ini mengisahkan Jay Zulkarnain (Zul Ariffin), seorang bekas ketua pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) yang kini menjadi pengawal peribadi kepada usahawan terkenal Datuk Hashim (Rosyam Nor), melawan masa untuk menyelamatkan beliau dan anaknya Nadi (Ainin Batrisya), daripada sekumpulan penjenayah yang diketuai oleh Taufiq (Allahyarham Ashraf Sinclair). 

Jay, menjadi harapan mereka untuk menentang penjenayah bersama Chang (Chen YiMing) yang juga merupakan pengawal peribadi dengan pengurus hotel, Amy (Amelia Henderson) untuk memastikan semua tebusan dalam keadaan selamat.

Penggambaran J2: J Retribusi  telah dijalankan pada tahun 2019 di Johor Bahru, Johor. Ini merupakan gandingan pertama bagi Zul Ariffin dan Allahyarham Ashraf Sinclair, masing-masing memegang watak utama dan antagonis. 

Komitmen dan lakonan mantap Allahyarham dalam filem terakhirnya pasti tidak mengecewakan peminat. 

Menariknya filem ini menyaksikan Zul Ariffin dan Allahyarham Ashraf Sinclair telah melakukan sendiri aksi lagak ngeri seperti membawa sendiri bot untuk babak penting dalam filem ini. 

Komitmen dan fokus yang diberikan oleh kedua-dua pelakon hebat ini membuatkan filem ini lebih padat, seiring dengan filem antarabangsa. 

J2: J Retribusi merupakan arahan pertama bagi kedua-dua pengarah, Nasrul Ashraff Mahzan dan Nazim Shah yang sangat berpengalaman dalam industri produksi filem. 

Nasrul Ashraff Mahzan yang juga dikenali sebagai ‘Uncle’ mempunyai pengalaman yang luas dari segi penataan seni filem-filem blockbuster Malaysia. Antaranya adalah J2: J Retribusi, Sangkar, Polis Evo 1 & 2, Bikers Kental 2 dan Tombiruo. 

Nazim Shah penerima Anugerah Penyunting Terbaik Filem menerusi J Revolusi di Festival Filem Malaysia pada 2017 dan juga penyunting bagi filem J2: J Retribusi. Dia juga telah menyunting filem pecah panggung seperti Polis Evo, Polis Evo 2 dan Tombiruo.

Sejak ditayangkan di platform penstriman Disney+ Hotstar Malaysia, filem ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Menerusi tinjauan di media sosial, rata-ratanya menyukai jalan penceritaan dan juga koreografi pertarungan yang padat dapat ditonjolkan di dalam filem ini setanding dengan filem luar negara. 

Filem wajib tonton ini juga mendapat bimbingan dari (Caspar) Keung Kam-Kui yang merupakan pengarah aksi dan juga sebagai koreografer pertarungan dari negara Hong Kong. 

Dia terkenal dengan kerja-kerja koreografi yang sangat tajam dan ‘camerawork’ yang sangat mengagumkan. Antara filem luar negara yang mendapat sentuhan beliau adalah Coweb (2009), The Legend Is Born – Ip Man (2010) dan Trivisa (2016).

Peminat juga pastinya akan terhibur dengan runut bunyi yang bertajuk Ralit, sebuah lagu rap yang dinyanyikan oleh Tuju dan menampilkan Malik Abdullah yang disunting sebagai lagu tema filem aksi J2: J Retribusi

Bukan sekadar rap, Tuju memiliki vokal nyanyian yang cukup mengagumkan dengan tona suara serak Manakala, Malik dengan pesona tersendiri dalam menghidupkan sesebuah lagu. 

Ralit  mendapat sentuhan gubahan dari komposer muda Ming dan Wolfy, sebuah lagu sangat jelas dan memiliki kekuatan baik dari segi melodi dan juga liriknya di mana ianya sangat bertepatan dengan konsep filem yang padat dengan aksi. 

Video muzik Ralit boleh ditonton di YouTube TV3 Malaysia dan boleh didengarkan di Spotify, Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, YouTube Music dan iTunes.


J2: J RETRIBUSI akan ditayangkan di pawagam-pawagam Brunei seperti berikut:

  • The Mall Cineplex, Gadong
  • Times Cineplex, Times Square
  • Times Cineplex, Tutong
  • Times Cineplex, Kuala Belait
  • Times Cineplex, Empire
  • One Cineplex
  • Aman Hills
  • The Grandstand Cinema


[KREDIT: Primeworks Studios]

24 Jun 2021

,


BERTINDAK SEGERA! Itulah kata semangat yang sering dilaungkan oleh Ejen Ali ketika menjalani misi baharu. 

Dalam situasi pandemik sebegini, laungan ini menjadi ikutan di kalangan anak-anak kita dalam menjalani kehidupan norma baharu.

Lebih menarik, kini Ejen Ali berpeluang melengkapi ejen-ejen cilik dengan produk-produk istimewa yang sudah menjadi resam situasi norma baharu mereka seperti pelitup muka, sabun mandian dan cecair pembasmi kuman.

Bagi Ejen Ali, sesiapa sahaja boleh menjadi wira dan tidak ada misi yang terlalu kecil! Dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu yang memasuki tahun kedua ini, pelbagai usaha dilakukan oleh Ejen Ali untuk memastikan ejen-ejen cilik tidak berasa resah dan tertekan di rumah.

Pesanan khas dari Ejen Ali - sentiasa fokus dalam pembelajaran atas talian, terus kekal berada di rumah agar kekal selamat dan jikalau rasa kesunyian kerana tidak dapat bertemu rakan-rakan seperti biasa, bolehlah bertemu di atas talian dan sama-sama mencuba misi permainan mudah alih khas iaitu Ejen Ali: Agents Arena, Ejen Ali: Emergency dan Ejen Ali: MATA Training Academy yang tersedia untuk muat turun di Google Play and Apple App Store.  

Selain itu, ejen-ejen cilik juga boleh terus kekal di rumah dan bermain permainan papan Ejen Ali Misi Boot Camp dan permainan kad Ejen Ali Misi Alliance bersama keluarga tersayang.

Sepanjang lima tahun perjalanannya, Ejen Ali telah berkolaborasi dengan pelbagai jenama tersohor seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mydin, PediaSure, Mamee Monster Biskidz, and Airasia.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran kesihatan dan kebersihan di kalangan penonton cilik, Ejen Ali kini menjalinkan kerjasama dengan pengeluar produk kebersihan diri berjenama Dr. Mama, Carrie BacBuster and Durio untuk menyediakan rangkaian produk yang bersesuaian dengan kanak-kanak ketika pandemik Covid-19 sedang melanda.

Disember lalu, Ejen Ali bersama Dr. Mama telah mengeluarkan pelitup muka tiga lapisan fabrik antimikroba yang sedia dalam empat rekaan menarik yang diinspirasikan dari animasi pendek Ejen Ali berjudul Misi: Juang yang boleh didapati di YouTube.

Rangkaian pelitup muka dari Dr. Mama ini tersedia dalam saiz kanak-kanak dan juga dewasa, termasuk edisi khas yang sesuai dipakai wanita berhijab, boleh didapati secara atas talian menerusi http://ejenaligears.avana.asia/.

Ejen Ali dengan kerjasama Carrie BacBuster juga telah melancarkan pembungkusan baharu untuk sabun mandian yang dilengkapkan bersama cecair pembasmi kuman.

Produk sebegini pastinya membuatkan ejen-ejen cilik lebih seronok dalam menjaga kebersihan diri, apatah lagi dengan nama-nama bauan wangi seperti Smashing Strawberry dan Blasting Blueberry. Produk penjagaan peribadi ini boleh didapati di kedai-kedai utama sekeliling anda.

Sementara itu, kepada mereka yang lebih gemar mengenakan pelitup muka jenis pakai buang, Durio akan melancarkan pelitup muka empat lapisan dalam dua rekaan menarik yang menampilkan logo dan gambar karakter Ejen Ali.

Produk baharu ini dijangka mendapat sambutan hangat ramai kerana rekaannya yang menarik apabila dilancarkan pada bulan Ogos nanti.

Produk-produk menarik yang ditawarkan ini pastinya membuatkan ibu bapa lebih senang mendidik anak-anak mereka mengamalkan kebersihan kendiri, menggunakan pelitup muka dengan cara yang betul dan kekal selamat dari Covid-19.

Atas permintaan ramai juga, siri animasi popular Ejen Ali (musim 1) turut disiarkan kembali pada setiap Sabtu, pukul 11 pagi di TV3.

Kesemua episod Ejen Ali ini juga boleh didapati secara Video-on-Demand (VOD) menerusi pelantar penstriman video Disney+ Hotstar serta saluran YouTube rasmi Ejen Ali. 


[KREDIT: Media Prima Berhad]

20 Jun 2021

,



BERMULA 21 Jun hingga 25 Jun ini, pendengar akan melayari memori tahun 90an menerusi lagu-lagu popular dan kegemaran ramai tahun 90an di dalam dan di luar negara yang akan dimainkan sempena minggu Demam 90an di Suria.

Selama seminggu juga, pendengar boleh mendengarkan atau menonton temubual istimewa 'Memori 90 Suria’ bersama penyampai Suria dan artis popular 90an tanah air seperti Ziana Zain, Norman KRU, Ameng Spring, Nizam Laksamana and Joey BPR menerusi siaran langsung IG Suria Malaysia setiap hari pada jam 9 malam.

Selain daripada mendengar lagu popular yang menggamit memori, pendengar juga boleh berkongsi lagu 90an pilihan dan nostalgia disebalik lagu tersebut menerusi segmen khas Team Pagi Suria iaitu ‘Memori 90 Suria’ setiap hari pada jam 9.30 pagi dengan menghubungi talian Suria FM di 03-77242115.

Bulan Jun ini juga, Suria FM akan menayangkan pengisian istimewa sempena Hari Bapa melibatkan penyampai Suria iaitu Ajak, Issey, Fizi Ali dan Tyzo dan menyelusuri perasaan sebenar mereka sebagai seorang bapa.

Saksikan video temubual istimewa ‘Jannah Untuk Ayah’ sempena Hari Bapa pada 20 Jun ini jam 12.00 tengah hari di Facebook Suria FM dan YouTube SuriaTV, https://www.youtube.com/c/SuriaTV/featured

Fiesta Bola Eropah 2020 Suria FM – pengisian khas buat peminat bola sepak dunia yang tidak sempat untuk mengikuti perlawanan Euro 2020. Ikuti perkembangan perlawanan dan ketahui jadual perlawanan menerusi segmen khas Grandstand Suria di frekuensi Suria FM serta aplikasi dan media sosial Suria Malaysia. Dapatkan trivia menarik dan sertai kuiz mudah mengenai Euro 2020 dan negara yang bertanding di IG story Suria Malaysia.

Kekal dirumah dan tetap berhibur dengan Suria Malaysia dengan memuat turun dan melanggan aplikasi Suria Malaysia di App Store dan Google Playstore. Untuk maklumat lanjut, layari laman web suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia.




[KREDIT: Suria FM]

18 Jun 2021

,


SELEPAS mendapat sambutan hangat daripada penonton sepanjang 48 episod siarannya yang melabuhkan tirainya pada 14 June lalu, khabarnya Rindu Awak Separuh Nyawa bakal disambung untuk musim keduanya tidak lama lagi.

Sejauh mana kebenarannya? Kenalah tunggu kan.. Apa yang pasti, drama adaptasi daripada novel tulisan Siti Rosmizah yang menyaksikan gandingan pelakon Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose sebagai suami isteri itu memang awesome!

Sementara tunggu sekuel Rindu Awak Separuh Nyawa dibikin, apa kata kita throwback trivia menarik dan foto-foto behind the scene drama ini.


TRIVIA RINDU AWAK SEPARUH NYAWA

1. Drama Rindu Awak Separuh Nyawa merupakan drama pertama yang menggandingkan Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose selaku teraju utama. Kemampuan kedua-dua pelakon popular ini untuk menghidupkan watak Nazril Nazim dan Kasih Maisara sekali lagi membuktikan kredibiliti mereka sebagai pelakon versatil. Walaupun pertama kali disatukan, Shukri dan Uqasha mempunyai ‘chemistry’ yang baik sekaligus memudahkan lagi penggambaran.

2. Watak utama Kasih Maisara yang dilakonkan oleh Uqasha Senrose sarat dengan mainan emosi yang mendalam. Uqasha pernah menangis sehingga takut untuk ke set penggambaran kerana tertekan untuk menjiwai watak tersebut. Uqasha juga hanya mempunyai satu hari sahaja untuk membuat persediaan daripada segi fizikal dan mental selepas tamat penggambaran drama ‘Perempuan Tanpa Dosa’ dan kemudiannya terus disambung dengan penggambaran untuk drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’. Ini juga merupakan kali pertama Uqasha terlibat dengan penggambaran drama yang melibatkan naskah panjang sehingga 40 buah episod dan ditambah lapan episod lagi.

3. Menariknya, dalam salah satu babak sewaktu kereta yang dipandu laju oleh watak Maisara melanggar motosikal yang sedang ‘dinaiki’ oleh watak Nazril lakonan Shukri Yahaya, sebenarnya Shukri adalah pemandu sebenar kereta untuk adegan tersebut, dan bukan beliau yang membawa motosikal tetapi orang lain.

4. Keseluruhan penggambaran drama Rindu Awak Separuh Nyawa’ dijalankan di sekitar Lembah Klang. Pihak produksi juga turut menitik beratkan pengamalan SOP yang ketat sepanjang penggambaran berlangsung termasuklah daripada segi penjagaan kendiri dan jarak fizikal yang selamat serta pemakaian pelitup muka dan sarung tangan terutamanya sewaktu menata rias. Jadual penggambaran juga telah disusun agar tidak melebihi jam 10 malam pada setiap hari.


Penerbit dan penulis novel serta skrip Rindu Awak Separuh Nyawa, Siti Rosmizah berkata,

“Sebagai penulis dan penerbit, saya sentiasa meletakkan target yang tinggi untuk setiap drama terbitan produksi SR One Sdn Bhd terutama yang melibatkan karya nukilan saya sendiri. Saya amat berbesar hati dengan penerimaan positif para peminat fanatik novel Melayu yang sentiasa menyokong hasil kerja saya selama ini sehingga berjaya merekodkan jumlah jualan mencecah ratusan ribu ringgit.

"Untuk drama adaptasi terbaharu ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ ini, saya sudahpun meletakkan sasaran yang lebih tinggi daripada drama-drama saya sebelum ini.

"Drama ini juga bakal memberi kelainan kerana jalan ceritanya yang menarik untuk ditonton kerana ia tidak sekadar mengangkat watak utama iaitu hero dan heroin semata-mata tetapi juga turut memfokuskan kepada watak-watak lain yang sebenarnya mencerminkan kehidupan masyarakat yang berlaku di sekeliling kita.

"Banyak mesej tersirat dan pengajaran moral yang dapat dipelajari daripada drama ini. Antaranya seperti sikap manusia yang angkuh apabila berduit sehingga tidak mengambil peduli maruah orang lain dan sanggup menjadikan hidup orang lain sebagai pertaruhan. Saya berharap agar drama ini akan mendapat tempat di hati peminat drama Melayu,” katanya.


[KREDIT: Astro]