CANON Marketing Malaysia (Canon) memperkukuh komitmennya terhadap komuniti setempat menerusi inisiatif lestari yang bermakna di SIREH Park, Iskandar Puteri.
Bekerjasama dengan rakan perniagaan A.T. Plan Sdn. Bhd., serta sokongan daripada SIREH Park dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, program ini menghimpunkan 100 sukarelawan dalam satu usaha sehari penuh yang memfokus kepada aktiviti penanaman pokok dan pembelajaran eko inklusif.
Acara ini merupakan sebahagian daripada kempen nasional Canon, One Canon One Tree, yang telah menyaksikan lebih 10,000 pokok ditanam di seluruh Malaysia sejak tahun 2016.
Dengan memperluaskan inisiatif ini ke negeri Johor, Canon terus memperkayakan ruang hijau bandar sambil mengukuhkan hubungan komuniti yang bermakna.
Menurut Ketua Operasi Canon di Johor Bahru, Benny Tai, sebagai sebahagian daripada komuniti Johor, pihaknya berbangga dapat menyumbang dalam cara yang menyokong alam sekitar dan masyarakat sekeliling.
“Program ini bukan sekadar menanam pokok tetapi ia mencetuskan rasa ingin tahu dan menanam rasa cinta terhadap alam semula jadi. Dalam masa sama mengingatkan kita tentang peranan masing-masing dalam membina masa depan yang lebih lestari," ujarnya.
Alam Semula Jadi yang Inklusif
Canon juga membuka ruang untuk kanak-kanak berkeperluan khas menikmati pengalaman menjelajah taman dan mengenali alam semula jadi dengan cara yang santai dan menyeronokkan.
Lawatan ini turut merangkumi Edu Farm, zon pembelajaran eko interaktif yang menempatkan pelbagai jenis haiwan, tanaman dan hidupan akuatik.
Berbekalkan kamera Canon, mereka merakam detik-detik yang menarik mengikut perspektif masing-masing sebagai satu bentuk ekspresi diri melalui fotografi.
Seorang peserta cilik meneroka alam dengan kameranya sendiri, dibimbing sukarelawan - menjadikan rasa ingin tahu kepada kenangan yang bermakna di SIREH Park | FOTO: Canon Malaysia |
Pengalaman inklusif ini direka untuk menggalakkan pemerhatian, keterlibatan serta hubungan yang lebih mendalam dengan alam sekitar, selari dengan kepercayaan Canon bahawa alam semula jadi harus dapat diakses oleh semua.
Ruang Strategik
Meliputi kawasan seluas 343 ekar, SIREH Park merupakan taman rekreasi hijau komuniti bandar terbesar di Malaysia dan menjadi tunggak strategi negeri Johor dalam mengimbangi pembangunan dengan pemeliharaan biodiversiti.
Diuruskan oleh Nusajaya Natural Heritage Trust, taman ini menyasarkan penanaman 25,000 pokok dan menyerap lebih 300,000 kilogram karbon dioksida, di samping menyediakan ruang dinamik untuk aktiviti rekreasi, pembelajaran dan pemulihan habitat.
Ketua SIREH Park, Faisal Mohd Nor, berkata, penglibatan Canon membawa dimensi kreatif dan inklusif kepada misi pemuliharaan taman itu.
“Bersama-sama, kita bukan sekadar menanam pokok, tapi kita sedang menyemai sebuah komuniti yang menghargai dan melindungi persekitaran semula jadi,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Canon Malaysia akan terus memperluaskan kempen One Canon One Tree melalui kerjasama strategik yang menggabungkan kepakaran imejan dengan aktiviti pemuliharaan dan pembelajaran inklusif secara langsung.
Dipandu oleh falsafah Kyosei, hidup dan bekerja bersama demi kebaikan sejagat, Canon kekal komited untuk mencipta nilai jangka panjang buat komuniti dan alam sekitar di seluruh Malaysia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments