28 Feb 2018

,

AKHIRNYA, syarikat pengeluar tudung jenama Naelofar, NH Prima International Sdn Bhd  membuat permohonan maaf berhubung kontroversi pemilihan lokasi majlis pelancaran koleksi tudung terbaru keluaran mereka di sebuah pusat hiburan terkenal di ibu kota Isnin lalu.

Menerusi sebuah kenyataan media yang diedarkan, Pengarah Urusannya, Noor Nabila Mohd Noor, membuat permohonan  maaf kepada semua pihak.

Berikut meupakan isi kandungan siaran media tersebut:
  • Kami memohon jutaan maaf, terutamanya kepada penyokong kuat jenama kami dan juga semua individu yang telah terjejas oleh insiden baru-baru ini.
  • Majlis pelancaran yang sepatutnya menjadi acara istimewa untuk jenama kami, telah menjadi isu perdebatan dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.
  • Sepanjang majlis pada malam itu, kami mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan apa-apa jenama dan botol minuman keras, gelas serta perkakas diasing dan dikeluarkan sepenuhnya daripada tempat tersebut sebelum berlangsungnya majlis.
  • Akses ke bar dan kelab lain juga ditutup serta merokok adalah dilarang sama sekali sepanjang majlis tersebut.
  • Kami juga mendapatkan katerer luar untuk menyajikan makanan halal. Semua perkakas termasuklah sudu, garfu, dan gelas yang digunakan oleh para tetamu juga disediakan oleh keterer tersebut.
  • Kami telah membuat keputusan untuk mengadakan majlis pelancaran ini ditempat berkenaan kerana kemudahan yang ditawarkan  dan mereka juga menawarkan ruang untuk disewa sebagai ruang acara pada setiap Ahad dan Isnin oleh kerana ruang ini tidak dibuka untuk kunjungan umum.
  • Sistem pencahayaan yang memberi efek neon, sistem bunyi, paparan LED dan sokongan teknikal adalah antara kemudahan yang diperlukan oleh kami untuk menjayakan majlis ini dan kesemuanya didatangkan dalam satu pakej yang ditawarkan oleh pihak ruang acara.
  • Kami telah mengambil langkah segera untuk membetulkan situasi ini. Tiada yang lebih penting dari mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan semua. 
  • Kami mengambil serius dan mendengar semua komen mengenai isu ini dan kami akan menggunakannya untuk membimbing kami secara positif bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.
  • Kami akan memastikan  isu keagamaan dan kebudayaan akan dititikberatkan dalam setiap keputusan yang dibuat pada masa depan dan kami amat berharap agar diberi peluang untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan keadaan.


Selain kecaman dan teguran daripada orang ramai, insiden itu juga mendapat perhatian daripada Mufti dan Pertubuhan Agama Islam yang turut menyuarakan pandangan mereka berhubunga apa yang berlaku.

Semoga apa yang berlaku ini dapat menjadi pengajaran kepada semua di masa depan. Bukan sahaja untuk selebriti tetapi juga kepada semua.
,

KEHILANGAN deria lihat tidak menghalang seorang detektif untuk menyelesaikan kes yang tidak dapat dirungkai oleh orang lain. 

Saksikan filem Blind Detective menemui penonton dalam slot Golden Dragon pada 1 Mac, pukul 9.30 malam di TV2. 

Filem garapan Johnnie To ini menampilkan gandingan mantap Andy Lau dan Sammi Cheng yang tidak asing lagi namanya dalam dunia perfileman Hong Kong. Andy Lau memegang watak sebagai seorang detektif bernama Johnston Chong See-tun yang sangat handal menyelesaikan kes-kes yang sudah menemui jalan buntu. 




Dengan kehandalannya dia dapat merungkai apa saja kes yang diberi kepadanya. Namun semua itu berubah apabila dia terpaksa bersara akibat kehilangan deria penglihatan. Dia terpaksa meninggalkan pekerjaan yang sudah sebati dengan dirinya. Bukan mudah untuk hidup dalam keadaan buta tetapi Johnston terus kuat menghadapi segala cabaran.  

Demi menyara hidupnya dia terus berusaha menyelesaikan pelbagai kes dan mendapat bayaran daripada pihak polis. Plot semakin berkembang apabila Johnston berjumpa dengan Ho Ka Tung, seorang inpektor yang cantik ketika menyelesaikan satu kes rompakan. 

Menyedari Johnston mempunyai kehebatan luar biasa walaupun buta, Ho meminta bantuan Johnston untuk menyelesaikan kes yang tidak dapat dirungkainya. Mereka berganding untuk memberkas seorang pembunuh bersiri. 



Blind Detective
Tarikh Siaran: 1 Mac 2018
Hari: Khamis
Masa: 9.30 Malam 
Saluran: TV2
Arahan: Johnnie To
Pelakon: Andy Lau, Sammy Cheng
,

18 PESERTA erbaik daripada empat program realiti pencarian bakat di Malaysia iaitu ‘Ceria Popstar’, ‘Ceria All Stars’, ‘Ceria i-Star’ dan ‘Bintang Kecil’, bakal bergabung dan beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat masing-masing dalam sebuah program realiti terbaru, Ceria Megastar, dengan membawa misi yang sama iaitu untuk merebut takhta terunggul, ‘MEGASTAR’. 

Program ini akan bersiaran pada setiap hari Jumaat, mulai 2 Mac 2018, jam 9.00 malam di Astro Ceria (saluran 611) serta siaran serentak di Astro Prima (saluran 105), Astro Maya HD 
(saluran 135) dan di platform digital, Astro GO.




FAKTA MENARIK 
  • Penerbitan ‘Ceria Megastar’ bertujuan untuk mencari peserta terhebat yang berjaya mempamerkan sepenuhnya bakat mereka di atas satu pentas utama. Mereka ini merupakan barisan pemenang dan peserta yang lahir menerusi empat program realiti pencarian bakat yang dianjurkan sebelum ini iaitu ‘Ceria Popstar’, ‘Ceria All Stars’, ‘Ceria i-Star’ (ketiga-tiga program adalah terbitan Astro) dan ‘Bintang Kecil’ (terbitan RTM). 
  • ‘Ceria Megastar’ turut menyuntik elemen Nusantara apabila menampilkan salah seorang peserta, Syifa, 8 tahun, yang berasal dari Jakarta, Indonesia. Beliau merupakan juara program ‘Ceria i-Star 2017’. 
  • Kesemua peserta yang terlibat adalah dalam lingkungan umur 10 hingga 20 tahun. 
  • ‘Ceria Megastar’ akan bersiaran sebanyak 10 episod, berdurasi selama 1 jam bagi setiap episod, dengan episod pertama dijangka bakal menemui peminat pada Jumaat, 2 Mac 2018, jam 9.00 malam. 
  • Episod pertama hingga separuh akhir (episod sembilan) merupakan episod rakaman, manakala episod akhir akan dipancarkan secara langsung. 
  • Kepelbagaian bakat yang hadir dalam ‘Ceria Megastar’ tidak terhad pada bakat nyanyian semata-mata tetapi juga bakat bercerita, bermain alat muzik, kebolehan menghasilkan lukisan menerusi semburan cat dan juga bakat dalam seni mempertahankan diri. 
  • Setiap persembahan peserta akan dinilai oleh dua orang Juri Tetap iaitu pengacara tersohor tanah air, Datuk Aznil Haji Nawawi dan juga pelawak, pelakon dan penyampai radio popular, Johan. Seorang selebriti akan diundang pada setiap persembahan mingguan sebagai Juri Jemputan. 
  • Pelawak, pengacara dan pelakon tersohor, Nabil Ahmad pula akan menggalas tugasan selaku pengacara program. 



FORMAT ‘CERIA MEGASTAR’ 

18 peserta ‘Ceria Megastar’ akan dibahagikan kepada tiga kumpulan (terdiri daripada enam peserta untuk setiap kumpulan), di mana setiap kumpulan akan bertanding pada setiap episod selama tiga episod berturut-turut. 

Hanya 8 peserta terbaik akan dipilih berdasarkan purata pemarkahan paling tinggi yang diberikan oleh barisan juri untuk layak ke peringkat seterusnya dan keputusan tersebut akan diumumkan pada episod empat. 

Daripada segi pemarkahan, peserta akan dinilai sepenuhnya oleh barisan juri bermula daripada episod satu hingga episod sembilan (episod separuh akhir). Manakala episod akhir pula, 50% pemarkahan diberi oleh barisan juri, 30% menerusi undian atas talian dan 20% menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) daripada penonton.


Marissa Hanafi, Penolong Naib Presiden Segmen Kanak-Kanak & Remaja berkata: 

“Buat julung kalinya, kami di Astro Ceria membuka pintu kepada bakat-bakat hebat yang lahir daripada empat program pencarian bakat cilik popular tanah air – ‘Ceria Popstar’, ‘Ceria All Stars’, ‘Ceria i-Star’ dan ‘Bintang Kecil’ untuk berada di satu pentas utama dan sekali lagi mempertaruhkan bakat masing-masing demi merebut gelaran ‘Megastar’. 
 
"Bagi menjayakan program ‘Ceria Megastar’ ini, kami telah menjemput semua peserta terbaik daripada setiap program tersebut untuk hadir ke sesi ujibakat tertutup yang telah di adakan di Astro baru-baru ini.  
Dari situ, kita menilai semula bakat yang dipersembahkan oleh setiap peserta dan mengambil kira faktor-faktor seorang ‘bintang’, terutamanya aura seni yang terbit dari dalam diri mereka. Justeru itu, barisan 18 peserta ‘Ceria Megastar’ ini merupakan mereka yang terbaik dalam kalangan terbaik.  
Menerusi program ini juga, kami yakin bahawa Astro Ceria khususnya dan Astro umumnya berada di landasan yang betul dalam membawa misi meraikan dan menghargai kepelbagaian bakat, seterusnya mengungguli usaha melahirkan nama-nama baru yang terulung lagi hebat untuk mengharumkan nama negara di persada seni. 



HADIAH KEMENANGAN 

• Juara - RM 20,000.00 dan sebuah trofi 
• Saguhati - RM 5,000.00 dan sebuah trofi (untuk 3 finalis akhir) 




Ceria Megastar
Episod: 10
Hari: Jumaat
Masa: 9.00 Malam
Saluran: Astro Ceria (saluran 611), Astro Prima (saluran 105), Astro Maya HD (saluran 135) dan Astro GO 
Pengacara: Nabil Ahmad 
,

TINDAKAN pengacara dan pelakon Neelofa mengadakan majlis pelancaran koleksi tudung terbarunya, #BeLofa di pusat hiburan Zouk semalam masih lagi menjadi bualan rakyat Malaysia.

Dalam banyak-banyak teguran dan respon yang diberikan kepada Neelofa atau Lofa, ramai yang tertarik dengan Surat Terbuka yang ditulis Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang ditujukan khas buat Hajjah Neelofa.

Jom kita renung-renungkan bersama.




QALAM MUFTI #2: SURAT TERBUKA KEPADA HAJJAH NEELOFA

Semoga Hajjah Neelofa dalam keaadan sihat sejahtera hendaknya.

Alhamdulillah kami merafa’kan setinggi kesyukuran ke atasnya, selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, para sahabat yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari akhirat. Kami telah menerima berita yang hangat melalui Facebook, Instagram dan media sosial lain berkaitan isu pelancaran produk Naelofar Hijab di Zouk, Kuala Lumpur. 

Kami mendapat pelbagai pandangan sama ada yang mengecam dan tidak kurang juga yang menyokong tindakan tersebut. Justeru kami terpangil untuk menulis surat terbuka kepada Hajjah Neelofa berkenaan hal ini. 

1. Tudung adalah lambang kehormatan wanita. Tudung adalah simbol kepatuhan seorang hamba kepada perintah Tuhannya. Tudung juga adalah salah satu bentuk kesempurnaan dalam beragama. Sebenarnya, tudung adalah simbol sifat malu seorang wanita, simbol akhlak Muslimah yang perlu dipelihara dan simbol kemegahan Islam yang wajar dibanggakan.

2. Pemakai tudung tidak semestinya sempurna, namun sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya. Indahnya pemakai tudung bukan hanya kerana memelihara auratnya, tetapi lebih daripada itu, mereka sebenarnya memelihara agama-Nya dan mematuhi Allah dan Rasul-Nya.

3. Sangat sukar sebenarnya untuk konsisten bertudung dengan memelihara perilaku dan adab kesopanan. Sehinggakan ada yang menolak untuk bertudung kerana tidak mahu hipokrit. Sedangkan perubahan daripada tidak bertudung, kepada bertudung bukanlah satu bentuk hipokrit kerana ia tidak hanya melibatkan penghijrahan diri tetapi juga penghijrahan hati dalam usaha menggapai redha Ilahi. Jika bukan redha-Nya yang kita impi, apa lagi yang hendak kita cari di dunia ini?

4. Tidak salah untuk kita mencari kelainan. Malah, kadangkala kelainan itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan. Namun, fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan. Satu kaedah yang masyhur di dalam Islam “Matlamat tidak menghalalkan cara”. Benar, perniagaan untuk mendapatkan keuntungan adalah matlamat yang murni. Namun begitu, kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya keberkatan.

5. Kami sangat khuatir, apa yang terjadi baru-baru ini bakal membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung. Apa sahaja boleh dan dibenarkan asalkan bertudung. Kekhuatiran ini bukan bermakna agama mengongkong wanita, tetapi agamalah yang sebenarnya membebaskan wanita daripada penjara keterbukaan tanpa had, kepada mendapat hak kebebasan yang bersyariat.

6. Kepada para ikhwah dan akhawat, masyarakat Muslim Malaysia yang memberi teguran dan saranan, kami merasakan banyak manfaat dan istifadah yang dapat dikutip. Dalam keadaan seperti ini, alangkah baiknya kita mempunyai nada yang sama, penuh rahmah dan hikmah dalam memperbaiki diri sesama kita. InsyaAllah itulah yang terbaik. Memalukan, mengaibkan dan memberi tohmahan dan fitnah kepada beliau, bukanlah akhlak seorang Muslim. Semoga amar ma’ruf dan nahi mungkar yang dijalankan dengan kaedah dakwah yang baik akan membekas dalam sanubari kita.

7. Kami mengenali Hajjah Neelofa sebagai simbol Muslimah yang berjaya. Tidak ramai yang mampu menggalas tugas sebagai “wanita besi” dan “gergasi” dalam perniagaan dan kerjaya. Tetapi anda sudah membuktikannya, malah membanggakan Malaysia dan dunia Islam. Akhir kalam, kami berpesan kepada Hajjah Neelofa untuk sama-sama menghayati syariat Islam yang sebenarnya. Kami noktahnya disini 3 perkara: (i) Tanyalah ulama’ sebelum bertindak (ii) Sentiasa memelihara imej wanita bertudung (iii) Carilah rezeki yang diberkati Allah SWT.

Kami berdoa semoga Hajjah Neelofa terus maju di dalam kehidupan dan kerjaya serta sentiasa memperoleh taufiq, hidayah dan rahmat-Nya. 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan




27 Feb 2018

,

SAKSIKAN kesinambungan filem Dhoom dalam Dhoom 2 pada 28 Februari, pukul 9.30 malam, mengisi slot Bollygood di TV2. 

Menampilkan sekali lagi gandingan mantap Abishek Bachchan dan Uday Chopra dalam usaha membanteras jenayah yang berlaku di sekeliling mereka. Turut menampilkan Bipasha Basu melengkapkan trio mantap yang bakal mengujakan penonton.

Watak antagonis bernama Aryan yang dibawa oleh pelakon bertubuh sasa Hritik Roshan menjadikan filem ini lebih menarik. Plot berkembang dengan watak Aryan, seorang pencuri handal antarabangsa yang sangat dikendaki oleh pihak polis India. Aksi pencuriannya yang selalu meninggalkan jejak berhuruf A meninggalkan gelaran MR. A kepada dirinya.

Kejayaan ACP Jai Dixit dan Ali Khan dalam kes menumpaskan geng motosikal sebelum ini membuatkan mereka ditugaskan untuk membanteras kegiatan jenayah yang dilakukan Aryan. Kali ini mereka tidak berdua. Mereka berdua digandingkan dengan Shonali Bose, seorang pegawai khas yang ditugaskan menyelesaikan kes Aryan, juga rakan Jai semasa belajar. 

Mumbai merupakan sasaran seterusnya. Di Mumbai, Aryan berjumpa dengan Sunehri, seorang pencuri yang pandai dan licik sepertinya. Sunehri menawarkan sesuatu kepada Aryan yang membuatkan dia susah untuk menolaknya. 




Aryan bersetuju untuk berganding dengan Sunehri. Bermulah bibit-bibit cinta antara Aryan dan Sunehri tanpa mengetahui sebenarnya Sunehri berkomplot dengan Jai. Aryan dan Sunehri berjaya mencuri berlian yang jarang ditemui dan pedang pahlawan kuno. 

Seterusnya pasangan duo Aryan dan Sunehri merancang satu lagi plot rompakan di Rio De Janeiro. Jai sudah dapat meneka sasaran Aryan selepas Mumbai hasil analisis yang mendalam. Dia dan Ali menuju ke sana dan berjumpa dengan Monali, saudara kembar Shonali. 

Hubungan Aryan semakin serius dengan Sunehri sehingga dia berani mendedahkan indentiti sebenarnya sebagai Aryan Singh. Sebelum ini Sunehri hanya mengenalinya dengan gelaran MR. A. Semakin menarik apabila Aryan ternampak Sunehri bersama dengan Jai dan dia menyedari selama ini Sunehri mempermainkannya.  Aryan memaksa Sunehri menembaknya namun Sunehri tidak sanggup melakukannya dan meluahkan rasa cintanya terhadap Aryan. 

Mereka meneruskan rencana mereka dan berjaya mencuri syiling Lydian yang mereka kehendaki. Sunehri tidak mahu lagi bekerjasama dengan Jai. Keputusannya memaksa Jai dan Ali untuk memberkas dia bersama Aryan. 

Berjayakah Jai dan Ali menangkap Aryan dan Sunehri? Saksikan kesudahan filem yang turut menampilkan Aishwarya Rai ini hanya di saluran TV2.



Dhoom 2
Tarikh Siaran: 27 Februari 2018
Hari: Selasa
Masa: 9.30 Malam 
Saluran: TV2
Arahan: 
Pelakon: Hrithik Roshan, Bipasha Basu, Abhishek Bachchan, Uday Chopra
,

HIDUP ini penuh dengan drama, ayuh hadapinya! Dalam menempuh kehidupan yang penuh pancaroba tanpa rujukan rasmi untuk kehidupan yang ideal; buat sesetengah masyarakat, bacaan ringan seringkali dijadikan panduan terbaik dalam menghadapi pelbagai masalah harian.

Sebuah kisah dengan jalan cerita dramatik, paparan setiap halaman episod diisi aksi senda tawa yang mengundang deraian air mata; menyapa gema dalam senario kehidupan sebenar.

Drama komedi Melayu baharu, Suamiku Mat Piun akan disiarkan eksklusif di tonton mulai 23 Februari ini dalam format definisi tinggi (HD), menampilkan sisi berbeza sebuah karangan novel yang lari dari plot kebiasaan. 




Bergelak-ketawa menerusi tontonan kesemua 19 episod drama komedi ini 2 bulan lebih awal dari tayangan TV, menerusi slot saluran di tonton ‘First’. 

“Kehidupan saya adalah drama. Cuma ianya tidak disiarkan di kaca TV” – Marc Wallice 

Suamiku Mat Piun mengisahkan Nieza dan Pojie sebagai pasangan suami isteri yang melalui pelbagai fasa cabaran. Nieza adalah seorang peminat novel Melayu yang sering membuat keputusan berdasarkan jalan cerita yang diadaptasi dari novel yang dibacanya. 

“Jangan mulakan drama jika tidak mahu terlibat dalam kancah” 

Halangan yang ditempuhi oleh merpati dua sejoli ini bermula dari perancangan perkahwinan mereka dan melarat sehingga mempunyai keluarga sendiri. Terpaksa menjalani kehidupan yang sederhana, Pojie seorang budak penghantar (Mat Piun) dan Nieza berdepan dengan bermacam konflik termasuk pelbagai masalah dari kisah lampau dan terkini membuatkan hidup mereka terumbang-ambing, menambah jenaka bersahaja dalam kitaran harian mereka.




Menampilkan barisan bintang antaranya Sharifah Sakinah sebagai Nieza dan Along Cham sebagai Pojie; selain turut disertai oleh Mark Adam, Mimi Lana serta Rania Humaira; drama komedi ini mampu membuatkan anda pecah perut dengan pelbagai aksi kelakar menerusi tayangan 2 bulan lebih awal dari TV.

Airin Zainul, Pengarah tonton, Pelesenan & Pembarangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad berkata,

"tonton sentiasa membawakan sajian drama berkualiti tinggi sejajar dengan 7.8 juta pelanggan keseluruhannya. Suamiku Mat Piun merupakan salah satu usaha tonton memaparkan drama terbaik bagi mengembangkan empayar penstriman di Malaysia,’’ tambahnya lagi, 
"Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama komedi yang menjanjikan anda dan para pengikut setia novel melayu bergelak tawa menerusi kesemua 19 episod, 2 bulan lebih awal dari tayangan di TV dalam format definisi tinggi (HD), eksklusif di tonton.’’


Suamiku Mat Piun
Episod: 19
Hari: Jumaat
Masa: 12.00 Tengahari
Saluran: Tonton 
Penulis Skrip: Tommy Loh
Pengarah: Amor Rizan
Pelakon: Sharifah Sakinah, Along Charm, Mark Adam, Mimi Lana serta Rania Humaira
,

RTM bakal membawakan sebuah dokumentari menarik buat tontonan penonton setia saluran TV1. Memaparkan coretan kehidupan individu yang kerja-kerjanya mungkin tidak digemari oleh generasi muda masa kini. 

Dokumentari 13 episod bertajuk Keringat ini menemui penonton setiap Isnin, mulai 26 Februari, pukul 11.05 pagi. 

Pembuat Patung Wayang.
Cik Aziz Bin Cik Isa atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nasir adalah seorang pembuat Patung Wayang Kulit dan alatan muzik untuk Wayang Kulit. Beliau berumur 44 tahun. 

Beliau telah berkecimpung dalam aktiviti pembuatan Patung Wayang Kulit selama 20 tahun sejak dari 1997. Kemahirannya adalah turun temurun dan beliau merupakan generasi keempat  dan berharap legasi ini akan berterusan. 

Jurumudi Bot Penambang
Menyediakan perkhidmatan membawa penumpang dari Seberang Takir ke Jeti di pinggir bandar Kuala Terengganu. Bersama En. Razali Ghani atau Pok Ali berumur 67 tahun yang masih kekal mengusahakan perkhidmatan tersebut. Pok Ali menjadi jurumudi sejak tahun 1969 hinggalah sekarang. 

Beliau mempunyai bot sendiri yang dibeli dengan harga RM120,000 melalui Persatuan Penambang Bot Seberang Takir, Kuala Terengganu. Sepanjang menjadi Jurumudi Bot Penambang, Pok Ali belum pernah menghadapi situasi cemas. Walau bagaimana pun bagi Pok Ali keselamatan penumpang lebih diutamakan.

Pembuat Wau 
Bersama En. Shafie Jusoh atau Pak Sapie yang tidak asing lagi namanya di Kelantan. Beliau juga adalah seorang Guru Kraf yang di iktiraf oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Malaysia pada tahun 2009. Hasil krafnya telah sampai keperingkat antarabangsa. Pak Sapie mempunyai Galeri Wau sendiri di mana semua hasil tangannya disimpan di galeri itu. 

Antara negara yang pernah mengundang Pak Sapie untuk bertanding dan mempamerkan hasil krafnya ialah Australia, New Zealand, German, Maldives, Peranchis, Denmark, Indonesia, China, Brazil dan Jepun. Jenis wau yang dipamerkan ialah Wau Bulan, Wau Puyuh, Wau Jala Budi, Wau Kuching dan Wau Sobek. Wau yang selalu mendapat perhatian ialah Wau Bulan dan Wau Puyuh.

Penenun Kain. 
Pn. Hajah Nortipah Binti Abd. Kadir lebih mesra dengan panggilan Kak Tipah atau Mak Teh merupakan usahawan kraf Syarikat Legar Warisan Enterprise di Kompleks Budaya, Kg. Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Mak Teh bersama tiga lagi saudara perempuannya merupakan generasi ke 13 yang menyambung perusahaan ini sejak berumur 13 tahun. 

Perusahan ini mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan orang tempatan malah juga dalam kalangan pembesar negeri dan istana. Buktinya ialah dengan nama-nama tenunan seperti "Corak Tengku Ampuan".

Penarik Beca
Dekati juga kegigihan Tuan Soh Bin Long Umar yang masih lagi menjadi seorang penarik beca di zaman serba moden ini. Beliau yang mesra disapa sebagai Pakcik Raja masih kuat mengayuh becanya sekitar Kota Bharu untuk membawa penumpang atau menghantar barang. 

Dengan teksi roda tiga itu beliau mencari rezeki untuk membesarkan sepuluh orang anak bersama pasangan hidupnya Salmah Binti Salleh. Beliau akan keluar rumah seawal pukul tujuh pagi dan mencari penumpang di sekitar Pasar Siti Khadijah. 

Pemetik Buah Kelapa
Masih di Kota Bharu mendekati Mat Rahid Bin Hussin, yang menyediakan perkhidmatan memetik buah kelapa dengan menggunakan seekor beruk. Setiap pagi Mat Rahid memberi beruk peliharaannya susu sebelum membawa haiwan itu bersama dengan motosikal ke kawasan kampung untuk memetik buah kelapa. 

Sebanyak dua ratus hingga tiga ratus buah kelapa dapat dipetik dalam sehari. Beliau pernah menghadapi situasi cemas apabila dicederakan oleh seekor beruk yang menerkam tangan kanannya. Namun beliau perlu sentiasa sabar dan berhati-hati semasa melakukan kerjanya.

Pembuat Bot
Berkenalan juga dengan Abdillah Ghani, seorang pembuat bot tradisional di Pulau Duyung. Beliau mempunyai tiga puluh tahun pengalaman dalam bidang pembuatan bot. Bengkel pembuatan bot Abdillah terletak di bawah jambatan berdekatan dengan Masjid Kristal. Beliau mengambil masa satu tahun untuk menghasilkan bot nelayan yang sederhana saiznya. 

Keunikan penghasilan bot tanpa menggunakan gam atau paku tetapi dengan menggunakan pasak dan kulit Gelam memang mencabar dan memerlukan kepakaran, bakat, kreativiti dan minat yang mendalam serta penelitian dalam setiap proses memotong kayu. Untuk menambah pendapatan bagi menyara keluarganya, beliau juga mengambil upah membaiki bot. Beliau pernah menghadapi situasi cemas atau kemalangan apabila tercedera tangan semasa bekerja.

Bidan Kampung
Perkhidmatan bidan kampung masih lagi digunakan pada masa kini walaupun terdapat ramai pakar perubatan. Menyingkap kehidupan Puan Mashitah Binti Mat Resat, seorang bidan kampung yang menyediakan perkhidmatan mengurut. Diwarisi turun termurun daripada neneknya. 

Bermula pada pukul 8 pagi sehingga lewat malam, Puan Mashitah menyediakan ubat bersalin serta ubat untuk bertungku daripada akar kayu dan daun, memberi perkhidmatan mengurut bayi dan ibu yang baru bersalin. Beliau juga mempunyai kepakaran menjamah perut wanita yang mengandung untuk mengetahui kedudukan bayi. Kepakarannya menjadi bidan adalah diiktirah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Saksikan kesemua 13 episod yang pastinya memberi pendedahan kepada kerjaya-kerjaya yang semakin dilupakan pada masa kini hanya di TV1.



Keringat
Episod: 13
Hari: Isnin
Masa: 11.05 pagi
Saluran: TV1 

26 Feb 2018

,

BAGI penggemar filem aksi, RTM menyajikan sebuah filem hebat bertajuk Malavita yang menonjolkan kisah keluarga mafia yang dilindungi FBI bersiaran pada 27 Februari, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV2.

Saksikan lakonan mantap Robert De Niro, Tommy Lee Jones, Michelle Pfeiffer, Diana Agron dan John D’Leo memaparkan kisah FBI yang bertanggung jawab penuh untuk melindungi saksi sekeluarga dengan memberi identiti baru dan memastikan mereka hidup aman. Mahu atau tidak keluarga yang cuba dilindungi itu hendaklah dipindahkan ke daerah lain untuk satu tempoh yang agak lama.

Filem arahan Luc Besson tahun 2013 ini bercerita tentang ketua mafia terkenal Fred Manzoni, diberikan perlindungan kerana mahu menjadi saksi serta akan memberikan bukti kejahatan yang dilakukan kumpulan dan organisasi lain yang diketahuinya. Oleh sebab itu, Fred Manzoni bersama keluarganya pindah ke sebuah daerah terpencil di Perancis. Di sana juga, dia mendapat perlindungan dari seorang Agen CIA bernama Robert Stansfield.




Fred yang memang merupakan mafia sukar untuk merubah sikapnya. Bersama keluarganya, isterinya Maggie dan anak-anak mereka, Belle dan Warren, Fred selalu menyelesaikan masalah dan sikapnya seperti seorang mafia. Kerana hal tersebut, situasi Fred sentiasa terancam oleh kumpulan penjahat yang mahu membunuhnya agar Fred tidak membocorkan banyak rahsia mereka.  

Fred terpaksa menukar identitinya menjadi Fred Blake. Ia satu-satunya jalan untuk menghindar dari ancaman Don Luchese, seorang ketua mafia yang kini sedang berada di penjara dan hendak membalaskan dendamnya kepada Gio.

Bahaya tersebut menjadikan keluarga Blake mendapatkan perlindungan dari Cicco dan Caputo, dua agent FBI yang diarahkan oleh Robert Stansfield. Keluarga Blake diminta untuk bergaul dengan masyarakat sekitar, namun tidak boleh menarik perhatian yang berlebihan. 

Sayangnya peraturan seperti itu membuatkan situasi itu kucar-kacir. Ia menimbulkan kesulitan bagi keluarga Blake yang sudah biasa membuat masalah apabila mereka cuba mengatasi masalah dengan ‘cara’ mereka sendiri. Namun sejahat-jahat mereka tetap saja mengutamakan keutuhan keluarga berbanding apa sahaja.



Malavita
Tarikh Siaran: 27 Februari 2018
Hari: Selasa
Masa: 9.30 Malam 
Saluran: TV2
Arahan: Luc Besson
Pelakon: Robert De Niro, Tommy Lee Jones, Michelle Pfeiffer, Diana Agron, John D’Leo

,



ANTARA aktiviti yang bakal berlangsung sepanjang minggu ini. Jika berkelapangan dan tidak tahu apa nak buat, jom meriahkan acara-acara ini.


(Kepada anda di luar sana yang mahu turut menghebahkan acara-acara yang bakal dianjurkan di ruang Chillax ini, bolehlah emelkan poster dan info lengkap berkaitan acara tersebut ke emel: 7klikseven@gmail.com) 




 [TEATER: ALANG RENTAK SERIBU]






                                                                        [XTVT: SAME OLD SONG]





[TALK: SEERAH ISLAM]




[SHOWCASE: ARENA GHAZAL]




[FORUM: BEDAH TELEFILEM CERITA RAKYAT]



[WACANA: PEMIKIRAN KETOKOHAN DAN KEPENGARANGAN KERIS MAS]




[TEATER TRADISIONAL: MAKYONG RAYA BESAR MAHA GADING]



[TEATER: ZOMBI FASA ENAM]





[TEATER: ZOMBI FASA ENAM]




[TEATER: ZOMBI FASA ENAM]




[TEATER: AKBAR]



 [XTVT: PC FAIR 2018]




 [XTVT: PESTA LELONG BUKU]




[PUISI: WAKTU KUALA LUMPUR HAMPIR LENA]




[KONSERT: KONSERT PESONA]




[SHOWCASE: HASHTAG LIVE]




[TEATER: SI BONGKOK TANJUNG PUTERI]



[TEATER: JALAN TEPI KUBUR]




[KONSERT: RUSSIAN BELLS AND EUGENE ONEGIN]




[KONSERT: MOH LEPAK JEMPOL]




 [XTVT: GEMPAK SELANGOR]




       [TEATER: KETIKA BUMIKU MENARI]




       [XTVT: SAME OLD SONG]



       [SHOWCASE: #LIVE LOKASI SESSION 6]




[XTVT: EXPLORACE SETIAWANGSA]




[SUKAN : DRAGON BACK RUN 2018]



       [SHOWWCASE: SANTAI  RAKYAT PULAU PINANG]