![]() |
Shida (kiri) dan Matsuyama bawa haluan masing-masing selepas Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Ogos ini. |
Oleh: SHAZAN ZAIDI
PASANGAN beregu wanita Jepun, Chiharu Shida dan Nami Matsuyama, yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024, mengumumkan perpisahan mereka selepas hampir sedekad berjuang bersama di pentas badminton dunia.
Mereka yang kini berada di ranking kedua dunia mengesahkan bahawa Kejohanan Dunia di Perancis pada Ogos ini akan menjadi pentas terakhir mereka sebelum membawa haluan masing-masing.
Perkara itu dimaklumkan Shida, 28, menerusi satu hantaran di Instagram pada Rabu.
“Memandangkan pertandingan terakhir kami adalah di Paris, yang merupakan tempat istimewa bagi kami, saya mahu menamatkan kerjasama ini dengan memenangi kejuaraan dunia di sana,” tulis Shida.
Selepas Kejohanan Dunia, Shida merancang untuk kekal dalam acara beregu wanita, kali ini bergandingan dengan Arisa Igarashi (Higashino), yang sebelum ini mencipta nama sebagai pemain beregu campuran bersama Yuta Watanabe.
Sementara itu, Matsuyama, 27, difahamkan sedang mempertimbangkan untuk beralih ke acara beregu campuran, namun belum mengumumkan keputusan rasmi.
Dalam kenyataan berasingan, pemain itu mengakui bahawa dia semakin sukar untuk mengekalkan prestasi di tahap tertinggi, dan tidak mahu menjadi penghalang kepada Shida untuk terus memburu impian yang lebih besar.
"Saya sudah bekerja keras demi Sukan Olimpik. Sekarang, saya tidak dapat membayangkan diri saya menjadi lebih kuat, dan saya tidak mahu menghalang pasangan saya untuk mencapai impiannya,” kata Matsuyama.
Masih Ada Dua Kejohanan Penting
Sebelum berpisah, Shida dan Matsuyama akan beraksi di Terbuka Jepun pada 15 hingga 20 Julai ini dan Terbuka China (22-27 Julai), sebelum menumpukan perhatian kepada perjuangan terakhir mereka di Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Paris (25-31 Ogos).
Sepanjang bersama, Shida dan Matsuyama berjaya merangkul 12 gelaran Siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), termasuk kejuaraan berprestij All England 2025.
Mereka juga dikenang sebagai antara pasangan beregu wanita Jepun paling konsisten sejak sedekad lalu. Perpisahan ini menandakan berakhirnya satu era penting dalam dunia badminton Jepun, namun membuka lembaran baharu buat kedua-dua pemain dalam perjalanan karier masing-masing. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- penyatuan-cinta-dan-budaya-ong-yew-sin
- diintip-peminat-fanatik-shida-luah-rasa
- atlet-badminton-ong-yew-sin-aya-ohori
0 Comments