Hot Posts

6/recent/ticker-posts

KERINGAT, KONGSI PEKERJAAN UNIK


RTM bakal membawakan sebuah dokumentari menarik buat tontonan penonton setia saluran TV1. Memaparkan coretan kehidupan individu yang kerja-kerjanya mungkin tidak digemari oleh generasi muda masa kini. 

Dokumentari 13 episod bertajuk Keringat ini menemui penonton setiap Isnin, mulai 26 Februari, pukul 11.05 pagi. 

Pembuat Patung Wayang.
Cik Aziz Bin Cik Isa atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nasir adalah seorang pembuat Patung Wayang Kulit dan alatan muzik untuk Wayang Kulit. Beliau berumur 44 tahun. 

Beliau telah berkecimpung dalam aktiviti pembuatan Patung Wayang Kulit selama 20 tahun sejak dari 1997. Kemahirannya adalah turun temurun dan beliau merupakan generasi keempat  dan berharap legasi ini akan berterusan. 

Jurumudi Bot Penambang
Menyediakan perkhidmatan membawa penumpang dari Seberang Takir ke Jeti di pinggir bandar Kuala Terengganu. Bersama En. Razali Ghani atau Pok Ali berumur 67 tahun yang masih kekal mengusahakan perkhidmatan tersebut. Pok Ali menjadi jurumudi sejak tahun 1969 hinggalah sekarang. 

Beliau mempunyai bot sendiri yang dibeli dengan harga RM120,000 melalui Persatuan Penambang Bot Seberang Takir, Kuala Terengganu. Sepanjang menjadi Jurumudi Bot Penambang, Pok Ali belum pernah menghadapi situasi cemas. Walau bagaimana pun bagi Pok Ali keselamatan penumpang lebih diutamakan.

Pembuat Wau 
Bersama En. Shafie Jusoh atau Pak Sapie yang tidak asing lagi namanya di Kelantan. Beliau juga adalah seorang Guru Kraf yang di iktiraf oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Malaysia pada tahun 2009. Hasil krafnya telah sampai keperingkat antarabangsa. Pak Sapie mempunyai Galeri Wau sendiri di mana semua hasil tangannya disimpan di galeri itu. 

Antara negara yang pernah mengundang Pak Sapie untuk bertanding dan mempamerkan hasil krafnya ialah Australia, New Zealand, German, Maldives, Peranchis, Denmark, Indonesia, China, Brazil dan Jepun. Jenis wau yang dipamerkan ialah Wau Bulan, Wau Puyuh, Wau Jala Budi, Wau Kuching dan Wau Sobek. Wau yang selalu mendapat perhatian ialah Wau Bulan dan Wau Puyuh.

Penenun Kain. 
Pn. Hajah Nortipah Binti Abd. Kadir lebih mesra dengan panggilan Kak Tipah atau Mak Teh merupakan usahawan kraf Syarikat Legar Warisan Enterprise di Kompleks Budaya, Kg. Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Mak Teh bersama tiga lagi saudara perempuannya merupakan generasi ke 13 yang menyambung perusahaan ini sejak berumur 13 tahun. 

Perusahan ini mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan orang tempatan malah juga dalam kalangan pembesar negeri dan istana. Buktinya ialah dengan nama-nama tenunan seperti "Corak Tengku Ampuan".

Penarik Beca
Dekati juga kegigihan Tuan Soh Bin Long Umar yang masih lagi menjadi seorang penarik beca di zaman serba moden ini. Beliau yang mesra disapa sebagai Pakcik Raja masih kuat mengayuh becanya sekitar Kota Bharu untuk membawa penumpang atau menghantar barang. 

Dengan teksi roda tiga itu beliau mencari rezeki untuk membesarkan sepuluh orang anak bersama pasangan hidupnya Salmah Binti Salleh. Beliau akan keluar rumah seawal pukul tujuh pagi dan mencari penumpang di sekitar Pasar Siti Khadijah. 

Pemetik Buah Kelapa
Masih di Kota Bharu mendekati Mat Rahid Bin Hussin, yang menyediakan perkhidmatan memetik buah kelapa dengan menggunakan seekor beruk. Setiap pagi Mat Rahid memberi beruk peliharaannya susu sebelum membawa haiwan itu bersama dengan motosikal ke kawasan kampung untuk memetik buah kelapa. 

Sebanyak dua ratus hingga tiga ratus buah kelapa dapat dipetik dalam sehari. Beliau pernah menghadapi situasi cemas apabila dicederakan oleh seekor beruk yang menerkam tangan kanannya. Namun beliau perlu sentiasa sabar dan berhati-hati semasa melakukan kerjanya.

Pembuat Bot
Berkenalan juga dengan Abdillah Ghani, seorang pembuat bot tradisional di Pulau Duyung. Beliau mempunyai tiga puluh tahun pengalaman dalam bidang pembuatan bot. Bengkel pembuatan bot Abdillah terletak di bawah jambatan berdekatan dengan Masjid Kristal. Beliau mengambil masa satu tahun untuk menghasilkan bot nelayan yang sederhana saiznya. 

Keunikan penghasilan bot tanpa menggunakan gam atau paku tetapi dengan menggunakan pasak dan kulit Gelam memang mencabar dan memerlukan kepakaran, bakat, kreativiti dan minat yang mendalam serta penelitian dalam setiap proses memotong kayu. Untuk menambah pendapatan bagi menyara keluarganya, beliau juga mengambil upah membaiki bot. Beliau pernah menghadapi situasi cemas atau kemalangan apabila tercedera tangan semasa bekerja.

Bidan Kampung
Perkhidmatan bidan kampung masih lagi digunakan pada masa kini walaupun terdapat ramai pakar perubatan. Menyingkap kehidupan Puan Mashitah Binti Mat Resat, seorang bidan kampung yang menyediakan perkhidmatan mengurut. Diwarisi turun termurun daripada neneknya. 

Bermula pada pukul 8 pagi sehingga lewat malam, Puan Mashitah menyediakan ubat bersalin serta ubat untuk bertungku daripada akar kayu dan daun, memberi perkhidmatan mengurut bayi dan ibu yang baru bersalin. Beliau juga mempunyai kepakaran menjamah perut wanita yang mengandung untuk mengetahui kedudukan bayi. Kepakarannya menjadi bidan adalah diiktirah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Saksikan kesemua 13 episod yang pastinya memberi pendedahan kepada kerjaya-kerjaya yang semakin dilupakan pada masa kini hanya di TV1.



Keringat
Episod: 13
Hari: Isnin
Masa: 11.05 pagi
Saluran: TV1 

Post a Comment

0 Comments