13 Jan 2018

HELLO ASEAN, TRAVELOG CARI, LIHAT PROSES TENUNAN KAIN DI ASEAN


IKUTI pengembaraan bersama hos Vanessa Mering ke negara-negara Asean dalam rancangan majalah travelog bertajuk Hello Asean yang menemui penonton menerusi episod pertamanya mulai 11 Januari, setiap Khamis, pukul 4.05 petang di TV1.

Bertemakan pembelajaran mengenai pakaian tradisional dan kain tenunan yang terdapat di negara-negara Asean, pastinya ia menyuntik kelainan kepada penggemar program travelog yang pernah disiarkan sebelum ini  

Sepanjang 13 episod siarannya, penonton dapat berkongsi kisah penjelajahan seorang gadis ke tempat-tempat di negara-negara Asean untuk meninjau tentang pakaian dan kain tenunan orang tempatan yang sememangnya unik untuk didedahkan kepada umum.

Menerusi episod pengenalannya, travelog ini menonjolkan kisah tentang penjelajahan hos rancangan, Vanesa Mering ke tempat-tempat yang menarik terletak di Padang, Indonesia. 

Tempat pertama yang dikunjungi oleh Vanesa ialah Muzium Adiyatwarwan yang terletak 42 km dari bandar Padang. Muzium itu menyimpan dan melestarikan koleksi sejarah masyarakat Minangkabau. Vanesa tertarik dengan Busana Pengantin Minang yang mempunyai corak kain berunsur alam dan dipengaruhi oleh kebudayaan Cina, Arab dan Eropah. 

Selepas itu Vanesa menuju ke Pusat Kerajinan Tenunan Songket Bordiran di bandar Pandai Sikek untuk melihat perusahaan pembuatan kain songket. 

Tempat seterusnya yang dilawati Vanesa ialah Nenni Adli Minangkabau Craft Village untuk melihat pelbagai barang yang dibuat daripada kain songket.

Ia kemudiannya menyorot tumpuan penonton ke tempat-tempat yang menarik di Sulawesi Selatan, Indonesia. Tempat pertama yang dikunjungi oleh Vanesa ialah Kota Sutera, Sengkang yang terletak 250 km dari bandar Makassar. Terdapat banyak pusat penenunan sutera dan pengusaha ulat sutera di Kota Sutera. 

Dalam satu majlis perkahwinan kaum Bugis yang dihadirinya, Vanesa tertarik dengan Busana Pengantin Bugis yang mempunyai corak kain bunga sulaman benang emas. Selepas itu Vanesa menuju ke Pusat Kerajinan Tenunan Bugis Sengkang untuk meninjau perusahaan pembuatan kain sutera. 

Selepas belajar dan mencuba menenun kain sutera beliau menyedari betapa rumitnya proses itu dan menghargai nilai kain sutera. Tempat seterusnya yang dilawati Vanesa ialah Butik Losari Silk untuk melihat pelbagai kain sarung dan baju siap jahit yang dibuat daripada kain sutera.

Ikuti kunjungan ke negara-negara Asean yang lain dalam keseluruhan episod siri ini.



Hello Asean
Episod: 13
Hari: Khamis
Masa: 4.05 Petang
Saluran: TV1 
Pengacara: Vanesa Mering

Tiada ulasan:

Catat Ulasan