12 Dis 2017

SESI RAMAH MESRA EJEN ALI BERSAMA TONTON & BIG BAD WOLF


TONTON dan Big Bad Wolf (BBW) tampil bersama hari ini untuk menganjurkan sesi ramah mesra bersama Ejen Ali. Anjuran ini dilakukan bagi kerja-kerja amal untuk memberi sumbangan kepada kanak-kanak di Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang. 

Sesi tersebut diadakan di The Big Bad Wolf Book Fair 2017, yang juga dikenali sebagai pesta buku terbesar di dunia. Ianya berlangsung di MIECC, The Mines, dari 8 hingga 18 Disember. 

Sesi Ramah Mesra adalah sebahagian daripada program Misi: Big Bad Wolf, yang bertujuan untuk menggalakkan hobi membaca di kalangan kanak-kanak dan memberi mereka peluang untuk bersiar-siar sambil menjalani aktiviti interaktif semasa musim cuti sekolah bersama Ejen Ali. 

Kanak–kanak daripada Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang juga akan diberikan pelbagai bahan bacaan yang baru, ihsan dari pihak BBW – antaranya adalah pemilihan khas daripada 4.5 juta buku dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. 

Juga, sebuah sumbangan barangan 'Kembali ke Sekolah' daripada pihak Ejen Ali untuk memenuhi persiapan barangan sekolah sebelum pembukaan hari bersekolah kelak. 

"Produk 'Kembali ke Sekolah' daripada Ejen Ali telah dilancarkan pada bulan November 2017 dengan niat untuk menyumbang kepada pengurusan persekolahan pada tahun 2018 nanti.  
Kami harap sumbangan ini dapat mengurangkan beban yang dihadapi oleh kanak-kanak Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang. 
 
Sekali lagi, kami ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak BBW yang sangat bermurah hati untuk menyumbang dan menyokong acara amal ini.
“Dua musim siri animasi Ejen Ali boleh didapati secara PERCUMA di aplikasi Tonton. Pengguna yang telah mendaftar dialu-alukan untuk menonton siri animasi ini kerana ianya sesuai untuk tontonan umum, disukai kanak-kanak dan juga orang dewasa!”  Kata Airin Zainul, Pengarah Tonton dan Perlesenan & Perdagangan. 


Musim pertama Ejen Ali pada tahun 2016 telah memberi suntikan baru kepada industri animasi Malaysia dan juga peminat-Peminat siri animasi sekalian. Sejak itu, Ejen Ali membuka langkah baru dan mendapat tempat di pasaran, serta membina sebuah aplikasi permainan Ejen Ali yang diterajui oleh Media Prima Digital Labs. 

Ejen Ali musim pertama juga telah dinobatkan untuk Best 3D Animated Programme di Asian Television Awards 2017 baru-baru ini. 

“Ejen Ali semakin hangat terperkatakan sejak sirinya yang pertama pada tahun 2016, yang telah berjaya menarik perhatian penonton dari setiap lapisan umur dan mencipta nama hingga ke luar negara.  
Ianya sebuah langkah yang sangat memuaskan bagi kami untuk memberi semula kepada peminat Ejen Ali.” kata Usamah Zaid, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, para pencipta kartun animasi popular Ejen Ali. 



Antara aktiviti yang terdapat di pesta buku Big Bad Wolf tahun ini menampilkan misi menarik dan cabaran dari MATA HQ, Ejen Ali, sebuah acara bacaan langsung oleh para pelakon-suara Ejen Ali, sesi ramah mesra bersama Mascot Ejen Ali, pertandingan mewarna dan kuiz Ejen Ali dan juga promosi ‘Bonus Hour’ bagi barangan produk Ejen Ali, iaitu, barangan alat tulis dan permainan. 

“Sebagai peruncit penjualan buku di Malaysia, misi kami adalah untuk memberikan tawaran hebat dan mampu milik demi mengalakkan tabiat membaca dikalangan rakyat Malaysia.” Kata Andrew Yap, Pengarah Pengurusan BookXcess, penganjur acara BBW.  
“Ianya amat memuaskan untuk melihat kejayaan misi kami setiap tahun, apabila lebih ramai pengunjung yang datang ke acara BBW ini. 
“Acara BBW tahun ini menjanjikan bukan sahaja variasi dalam pelbagai aktiviti, bahkan juga pemilihan makanan yang bermacam-macam. Dengan ini, ia menjadi sebuah acara yang sesuai untuk khayalak ramai datang dan membeli bahan bacaan dengan tawaran harga yang berpatutan dan menikmati masa yang terluang. 
“Kami yakin bahawa semua bakal berseronok di acara BBW ini.”

Misi: Big Bad Wolf merupakan kolaborasi pertama Ejen Ali bersama Big Bad Wolf Book Fair. Ejen Ali adalah milik bersama Primeworks Studios dan Wau Animation. Ia disiarkan di TV3 setiap hari Jumaat, jam 5.30pm dan juga boleh ditontoni di www.tonton.com.my. 

Mengenai Ejen Ali 
Ejen Ali merupakan sebuah siri animasi dan harta intelek pertama hasil usaha sama Primeworks Studios Sdn. Bhd. dan Wau Animation Sdn. Bhd.  
Siri yang bijak, menghiburkan dan sarat dengan stail tersendiri, Ejen Ali adalah siri aksi yang ditujukan bagi penonton berumur 7 hingga 14 tahun. 
Nilai-nilai yang diterapkan di dalam siri animasi ini merangkumi sifat tanggungjawab tanpa mementingkan diri sendiri, penentuan dan kepercayaan diri, keluarga dan persahabatan, imaginasi dan mimpi.  
Di bandaraya Cyberaya yang futuristik, keadaan semuanya tampil aman setelah dalang jahat Uno dikalahkan oleh Ejen Ali dalam pertempuran epik di dalam bunker rahsia MATA. 
Setelah membuktikan komitmennya terhadap MATA, Ali teruja untuk menyertai Akademi Latihan MATA secara rasmi, di mana ejen muda terpilih dilatih untuk menguasai seni pengintipan. 

Ketika Ali berjuang untuk membuktikan dirinya, jauh di sisi gelap bandar Cyberaya, sebuah ancaman semakin membina apabila Uno giat merancang pembalasan dendamnya ke atas MATA. Bolehkan Ali mengatasi cabaran baru ini? 


Mengenai Big Bad Wolf 
The Big Bad Wolf Book Sale adalah pesta jualan buku yang terbesar di dunia yang bernaung dibawah peruncit buku yang tunggal. Ia menawarkan buku-buku terbaharu dengan diskaun sehingga 95%, pelbagai aktiviti dan permainan, dan juga pilihan makanan dan minuman yang bervariasi. 
 
Misi pesta jualan buku ini adalah untuk mengalakkan khayalak ramai dari setiap lapisan umur untuk menikmati pelbagai tawaran hebat dengan harga yang berpatutan.  
Ia menampilkan buku-buku pelbagai genre termasuklah fiksyen dan bukan fiksyen. The Big Bad Wolf Book Sale kini telah menjadi acara berulang di Kuala Lumpur sejak tahun 2009. Ianya telahpun berkembang ke serata Malaysia, Indonesia Thailand dan Sri Lanka.  

Mengenai Wau Animation 
Wau Animation merupakan studio animasi kesan khas (CG) yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan bakat kreatif yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam menghasilkan pelbagai siri animasi dan filem kesan khas yang pernah merangkul pelbagai anugerah. 
 
Misi utama Wau Animation adalah keazaman untuk menghasilkan animasi yang mampu memberi impak kepada para penonton. Kami juga bermatlamat untuk menghasilkan cerita-cerita yang menghiburkan dan mampu memberi inspirasi, pada masa yang sama menerapkan intipati tempatan.  
Ini adalah kerana kami meletakkan harapan yang tinggi dalam mengetengahkan identiti Malaysia yang unik.

Tiada ulasan:

Catat Komen