Ancaman Baharu Menanti, 'Godzilla Minus Zero' Tiba Di Pawagam Malaysia November Ini


SELEPAS kejayaan besar Godzilla Minus One, Godzilla sekali lagi mengaum di layar lebar menerusi Godzilla Minus Zero, membawa penonton kembali ke Jepun pascaperang dengan sebuah kisah yang sarat misteri, emosi dan ancaman yang lebih dahsyat.

Filem terbaharu ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 5 November 2026, manakala peminat yang mahu merasai pengalaman lebih imersif boleh menyaksikannya dalam format IMAX sehari lebih awal, iaitu pada 4 November 2026.

Kehadiran Godzilla Minus Zero hadir dengan jangkaan yang tinggi selepas Godzilla Minus One mencipta impak besar di seluruh dunia menerusi visual yang mengagumkan, drama kemanusiaan yang kuat serta pendekatan baharu terhadap figura ikonik Godzilla.

Filem tersebut bukan sahaja menerima pujian sebagai antara karya paling kukuh dan menyentuh emosi dalam francais Godzilla, malah mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Akademi ke-96 bagi kategori Kesan Visual Terbaik.

Di sebalik karya terbaharu ini, Takashi Yamazaki kembali menerajui projek tersebut sebagai pengarah, penulis skrip serta peneraju kesan visual. Dengan visi sinematik yang menjadi identitinya, dia sekali lagi membawa kisah Raja Raksasa itu ke satu babak baharu.

Kembali ke Jepun Pascaperang

Berlatarbelakangkan tahun 1949, dua tahun selepas peristiwa dahsyat dalam Godzilla Minus One, kisah Godzilla Minus Zero kembali mengikuti keluarga Shikishima ketika Jepun masih bergelut untuk membina semula kehidupan dan mendapatkan semula rasa normal selepas kemusnahan perang.

Namun, ketika keamanan mula kelihatan semakin dekat, satu ancaman baharu muncul dan kali ini, sesuatu yang jauh lebih mengerikan sedang menanti.

Ryunosuke Kamiki dan Minami Hamabe kembali menghidupkan watak Koichi Shikishima dan Noriko Shikishima, bersama barisan pelakon terdahulu termasuk Hidetaka Yoshioka, Yuki Yamada, Kuranosuke Sasaki, Sakura Ando dan Miou Tanaka.

Turut menyertai barisan pelakon ialah Min Tanaka yang membawakan watak Kanji Murakami, seorang ahli biologi yang masih membawa parut psikologi mendalam akibat pengalaman perang.

Menggabungkan kisah kemanusiaan yang kuat dengan skala kemusnahan yang lebih besar, naskhah ini menjanjikan pengalaman layar lebar yang bukan sahaja menghidupkan semula salah satu raksasa paling ikonik dalam sejarah sinema, malah berpotensi memperkenalkannya kepada generasi baharu.

Lebih menarik, keseluruhan filem ini dirakam menggunakan kamera digital definisi tinggi yang diperakui IMAX, menjadikannya produksi Godzilla Jepun pertama yang menggunakan pendekatan Filmed For IMAX.

Dengan tagline yang cukup mengundang persoalan, “There is no third time. Everything ends here”, Godzilla Minus Zero bakal mengaum di pawagam Malaysia mulai 5 November 2026. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments