| Momen bersejarah Taylor Swift di Songwriters Hall of Fame |
BINTANG pop global Taylor Swift sekali lagi mencatat sejarah dalam industri muzik apabila diumumkan sebagai wanita termuda yang pernah disenaraikan dalam Songwriters Hall of Fame (SHOF) sempena Majlis Anugerah Tahunan ke-55 yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat pada Jumaat.
Penyertaan Swift dalam institusi berprestij itu bukan sekadar pengiktirafan biasa, sebaliknya menandakan satu pencapaian besar dalam perjalanan kerjayanya yang telah merentasi lebih dua dekad.
Pada usia 36 tahun, penyanyi kelahiran Pennsylvania, Amerika Syarikat itu mencipta sejarah apabila menjadi wanita termuda yang menerima pengiktirafan tersebut, sekali gus memintas rekod yang sebelum ini dipegang oleh Carole Bayer Sager.
Secara keseluruhan, pencapaian itu turut menjadikan Swift individu kedua termuda dalam sejarah Songwriters Hall of Fame, selepas legenda muzik Stevie Wonder.
Pengiktirafan ini hadir sebagai penghormatan terhadap sumbangan luar biasa Swift dalam dunia penulisan lagu dan lirik, yang telah membentuk landskap muzik pop moden melalui naratif lirik yang kuat dan penuh emosi.
Dari 'Tim McGraw' ke Legasi Global
Kelayakan Swift untuk disenaraikan dalam SHOF memenuhi syarat badan tersebut yang menetapkan bahawa seorang penulis lagu hanya boleh dicalonkan sekurang-kurangnya 20 tahun selepas karya komersial pertama mereka diterbitkan.
Perjalanan Swift dalam dunia penulisan lagu bermula dengan single debut ikoniknya, Tim McGraw, yang dilancarkan pada Jun 2006. Sejak itu, namanya terus berkembang sebagai antara penulis lagu paling berpengaruh dalam generasi moden.
Antara karyanya seperti Love Story, Blank Space, Anti-Hero, The Last Great American Dynasty serta versi panjang All Too Well (10 Minit) sering dijadikan rujukan utama dalam evolusi penceritaan muzik pop.
Bertempat di Hotel Marriott Marquis, New York, acara berprestij itu turut diserikan dengan persembahan tribute oleh penyanyi muda Sombr yang membawakan tribut khas menerusi lagu Cardigan dan Dear John. Momen tersebut menjadi pembuka sebelum Swift tampil menerima trofi penghormatan daripada produser ternama, Jimmy Jam.
Dalam ucapannya, Swift dilihat bergelut dengan emosi ketika mengenang perjalanan awal karier. Penyanyi ini turut berkongsi bagaimana sokongan keluarga menjadi tonggak penting dalam hidupnya, termasuk keputusan besar mereka berpindah dari Pennsylvania ke Nashville demi merealisasikan impian muzik yang diimpikan.
Majlis tersebut turut meraikan beberapa nama besar dalam industri penulisan lagu bagi kelas induksi SHOF 2026, antaranya Kenny Loggins, Alanis Morissette, serta Paul Stanley daripada kumpulan KISS yang mewakili Gene Simmons yang tidak dapat hadir pada acara berkenaan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments