Lisa BLACKPINK Jadi Wajah ‘Amazing Thailand’, Tumpuan Pelancongan Global 2026

Lisa

Oleh: AILEEN ADAM
BINTANG K-pop sensasi kelahiran Thailand, Lisa, diumumkan sebagai duta rasmi kempen pelancongan baharu Thailand yang dikenali sebagai Amazing Thailand, inisiatif global anjuran Tourism Authority of Thailand (TAT) yang bakal dilancarkan bermula Januari 2026.


Pelantikan ini dilihat sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan semula daya tarikan pelancongan negara itu di peringkat antarabangsa, khususnya dalam fasa pemulihan pascapandemik.

Kempen berkenaan dijangka mencetuskan fenomena yang digelar sebagai ‘Efek Lisa’, merujuk kepada pengaruh luar biasa artis tersebut dalam mencorakkan trend global dan minat pelancong, terutamanya dalam kalangan generasi muda serta peminat K-pop di seluruh dunia.

Menerusi kempen ini, imej Thailand akan dipersembahkan secara lebih segar dan relevan, dipacu oleh figura tempatan yang berjaya mencipta nama di persada antarabangsa.

Lisa atau Lalisa Manobal, bakal mengetengahkan pelbagai elemen budaya Thai yang menjadi identiti negara itu, termasuk gastronomi, fesyen, muzik serta seni persembahan tradisional dan kontemporari.

Pendekatan ini selari dengan aspirasi kerajaan Thailand untuk memperkukuh pengaruh budaya negara, sambil menampilkan sisi budaya tempatan yang autentik kepada khalayak global.

Destinasi Ikonik & Sentuhan Budaya Thai

Kempen Amazing Thailand ini akan memberi fokus kepada lima destinasi utama yang mempunyai nilai budaya dan warisan tersendiri, iaitu Bangkok, Chiang Mai, Phuket, Ayutthaya serta Buri Ram, kampung halaman Lisa.

Setiap lokasi akan diketengahkan melalui naratif visual dan penceritaan yang menghubungkan keunikan setempat dengan identiti moden Thailand.

Pelancaran kempen ini akan dimulakan dengan tayangan sebuah filem promosi istimewa yang menampilkan Lisa sebagai wajah utama. Filem berkenaan bertujuan memperkukuh penjenamaan pelancongan Thailand dan menarik minat pelancong antarabangsa melalui pengaruh global artis berusia 28 tahun itu.

Gabenor TAT, Thapanee Kiatphaibool, dalam satu kenyataan media yang dipetik oleh Bangkok Post, menyatakan keyakinannya bahawa penglibatan Lisa mampu memberi impak besar kepada industri pelancongan negara.

Menurutnya, setiap langkah dan pengaruh Lisa bukan sahaja memberi inspirasi kepada peminatnya, malah turut membantu mengangkat imej Thailand di mata dunia.


Sebelum ini, anggota kumpulan BLACKPINK itu turut mencuri perhatian global apabila merakam muzik video single solonya, Rockstar, di kawasan ikonik Yaowarat, Bangkok, sekali gus memperlihatkan potensi tarikan pelancongan negara itu melalui medium budaya pop.

Kejayaan tersebut mengukuhkan lagi jangkaan bahawa kempen ini mampu memperluas capaian promosi Thailand kepada pasaran antarabangsa yang lebih luas.

TAT memaklumkan bahawa kempen Amazing Thailand x Lisa akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari 2026, merangkumi pelbagai inisiatif termasuk tayangan filem pendek, kolaborasi bersama media antarabangsa serta kempen digital berskala besar.

Usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi berterusan Thailand untuk mengekalkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia, dengan memanfaatkan pengaruh selebriti tempatan yang berjaya mencipta nama di peringkat global. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments