‘Don't Be Dumb’: A$AP Rocky Kembali Dengan Album Bharu Selepas 8 Tahun


SELEPAS lapan tahun dinantikan, A$AP Rocky akhirnya kembali dengan album studio keempat berjudul Don't Be Dumb, yang kini rasmi dilancarkan menerusi A$AP Worldwide bersama RCA Records.

Pelancaran ini menandakan kemunculan semula Rocky dalam landskap muzik global, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai figura pelbagai disiplin merangkumi muzik, fesyen, filem dan keusahawanan kreatif.

Tempoh penantian yang panjang itu nyata membuahkan hasil apabila Don't Be Dumb mencatat permintaan luar biasa sejak sebelum tarikh pelancarannya.

Album ini merekodkan jualan lebih 130,000 unit vinyl sebelum tarikh pelancaran dan muncul sebagai album hip-hop dengan jumlah 'pre-save' tertinggi di Spotify, mencecah lebih satu juta simpanan oleh peminat di seluruh dunia.

Dari segi kandungan, Don't Be Dumb tampil sebagai sebuah projek berlapis dengan senarai kolaborator yang merentasi genre dan generasi.  Album ini menghimpunkan nama-nama seperti BossMan Dlow, Brent Faiyaz, Danny Elfman, Doechii, Gorillaz, Jon Batiste, Jessica Pratt, Slay Squad, Thundercat, Tyler, The Creator, Westside Gunn dan will.i.am, menjadikannya sebuah karya yang kaya dengan variasi bunyi serta perspektif artistik.

Danny Elfman dan Thundercat turut muncul dalam video muzik Punk Rocky, di mana mereka ditampilkan sebagai ahli kumpulan bersama barisan karakter unik yang memperkukuh elemen visual dan naratif lagu tersebut.

Dua lagu terdahulu, Punk Rocky dan Helicopter, berfungsi sebagai pemanas badan kepada album ini, mencetuskan gelombang perbualan dan jangkaan tinggi dalam kalangan peminat serta pengkritik.

Dunia Alter-Ego & Identiti Visual Don't Be Dumb

Identiti visual album ini turut mencuri perhatian apabila Rocky bekerjasama dengan pengarah filem tersohor, Tim Burton, bagi menghasilkan karya seni kulit album.

Visual tersebut menampilkan enam persona ikonik Rocky yang dihidupkan menerusi gaya estetika Burton yang gelap, imaginatif dan mudah dikenali. Setiap karakter dalam ensemble enam figura ini melambangkan detik-detik penting sepanjang karier Rocky, sekali gus membuka jendela kepada evolusi artistiknya.

Senarai alter-ego tersebut merangkumi GR1M, Mr. Mayers, Rugahand, Babushka Boi, Dummy dan Shirthead, yang bersama-sama membentuk asas kepada alam naratif berterusan Don't Be Dumb.

Dalam memperluaskan pengalaman album ini, Rocky turut bekerjasama dengan Quince dan Bilt untuk menghasilkan edisi vinyl eksklusif Don't Be Dumb.

Kolaborasi ini menjadi sebahagian daripada strategi pelancaran kreatif yang memperkukuh keterujaan terhadap album tersebut, sambil menonjolkan pendekatan inovatif Rocky dalam menggabungkan muzik dengan reka bentuk dan budaya.

Koleksi vinyl ini bukan sekadar medium fizikal, tetapi berfungsi sebagai manifestasi dunia Don't Be Dumb itu sendiri, dengan pendekatan minimalis, bersifat disruptif dan direka untuk kekal relevan merentasi masa. Ia mengaburkan garis antara muzik, rekaan dan artifak budaya kontemporari.

Album Don't Be Dumb menampilkan senarai lagu seperti Order Of Protection, Helicopter, Interrogation (Skit), Stole Ya Flow, Stay Here 4 Life, Playa, No Trespassing, Stop Snitching dan Stfu.

Diikuti Punk Rocky, Air Force (Black Demarco), Whiskey (Release Me), Robbery, Don’t Be Dumb/Trip Baby, The End, Swat Team dan Fish N Steak (What It Is), melengkapkan sebuah projek yang bukan sahaja menandakan kepulangan Rocky, tetapi juga fasa baharu dalam naratif kreatifnya.

Pelancaran album ini hadir selepas tahun yang cukup signifikan buat Rocky. Sepanjang 2025, dia dilantik sebagai pengerusi bersama Met Gala, membintangi dua filem terbitan A24 iaitu Highest 2 Lowest arahan Spike Lee dan If I Had Legs I’d Kick You oleh Mary Bronstein yang memenangi Anugerah Golden Globe.

Selain itu, Rocky juga diumumkan sebagai pengarah kreatif Ray-Ban dan turut dilantik sebagai duta baharu rumah fesyen Chanel. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments