KEMELUT rumah tangga pasangan pelakon Kamal Adli dan Uqasha Senrose menemui noktah apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Isnin.Lafaz cerai dibuat oleh Kamal, nama penuhnya Ahmad Kamal Adli, 40, di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd. Ali dalam prosiding tertutup kira-kira pukul 12.56 tengah hari.
Prosiding ini dilakukan selepas mahkamah meluluskan permohonan cerai difailkan oleh Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Sebelum ini, pada 18 Disember lalu, Mahkamah Rendah Syariah menasihatkan Kamal supaya melafazkan cerai selepas Jawatankuasa Pendamai (JKP) gagal mencapai kata sepakat.
Namun, peguam mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian, menjelaskan lafaz cerai tidak dilaksanakan ketika itu kerana Kamal masih berharap rumah tangga mereka boleh diselamatkan.
Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun lapan bulan.
Menurut Kamal, apa yang berlaku itu bukanlah kemahuannya, namun akur dengan takdir yang tertulis.
“Saya tak mampu nak bercakap, apatah lagi nak lafazkan cerai. Hari ini adalah hari paling tidak menyeronokkan dalam hidup saya. Saya memang tak kuat, langsung tak kuat. Kalau ikut hati, saya tidak mahu perceraian ini,” luahnya ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah.
Sementara itu, Uqasha menegaskan bahawa dia mahu memulakan fasa kehidupan baharu dan terus melangkah ke hadapan tanpa membicarakan soal rujuk semula.
“Buat masa ini, memang tiada istilah mahu rujuk. Kita tidak boleh jangka masa depan, tetapi saya mahu fokus ke hadapan sahaja dan terus ‘move on’,” ujarnya.
Permohonan cerai terhadap Kamal difailkan oleh Uqasha pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman dan pergolakan rumah tangga berpanjangan.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments