FENOMENA budaya pop global Stranger Things terus meninggalkan jejaknya tersendiri, bukan sahaja di layar kaca tetapi juga dalam dunia fesyen dan gaya hidup. Terbaharu, CASIO Malaysia memperkenalkan kolaborasi kedua bersama siri Netflix popular itu menerusi dua jam tangan edisi khas yang diinspirasikan oleh konsep dunia selari, realiti Hawkins dan dimensi gelap Upside Down.
Pelancaran ini hadir tepat pada masanya ketika musim kelima
Stranger Things bakal menutup tirai perjalanan epik ciptaan Duffer Brothers. Sejak debut pada 2016, siri ini bukan sahaja menghidupkan semula nostalgia era 1980-an, malah membentuk satu fenomena budaya yang terus relevan sehingga kini.
Kolaborasi terbaharu ini dilihat sebagai penghormatan kepada legasi tersebut, dengan rekaan jam tangan yang mencerminkan dua sisi dunia yang menjadi nadi penceritaan siri berkenaan.
Jam G-SHOCK DW-5600STT-1 diterjemahkan sebagai simbol ketahanan dan keberanian, selari dengan sifat lasak yang diperlukan untuk berdepan ancaman antara dimensi.
Sementara itu, CASIO AQ-800EST-1A pula menangkap semangat optimisme teknologi era 1980-an, seolah-olah dibawa terus dari pengembaraan kumpulan Party di sekitar Starcourt Mall.
Rekaan yang Menghidupkan Dunia Hawkins dan Upside Down
DW-5600STT-1 tampil dengan sentuhan visual yang lebih gelap dan dramatik, diinspirasikan oleh Vecna, antagonis utama yang menghantui Hawkins.
Elemen sulur menyerupai vine Vecna menghiasi dial, manakala satu perincian halus namun signifikan turut diselitkan pada paparan ‘Led Back Light’, di mana huruf ‘A’ dipaparkan secara terbalik sebagai simbol refleksi dunia Upside Down.
Apabila diaktifkan dalam keadaan gelap, cahaya latar merah menyala menerangi muka jam, mengingatkan kepada aura mengancam yang sinonim dengan momen-momen paling tegang dalam siri tersebut.
Logo
Stranger Things diukir pada bahagian belakang, manakala cetakan ‘011’ pada band loop merujuk kepada Eleven, watak utama yang menjadi teras penceritaan.
Dari segi spesifikasi, jam ini mengekalkan ciri ketahanan ikonik G-SHOCK dengan rintangan hentakan, ketahanan air sehingga 200 meter, fungsi stopwatch 1/100 saat, pemasa, penggera pelbagai fungsi serta sistem flash alert. Saiz casing berukuran 48.9 × 42.8 × 13.4mm dengan berat 52 gram menjadikannya sesuai untuk peminat jam lasak dan penggemar estetik
Stranger Things.
Berbeza dengan aura gelap DW-5600STT-1, AQ-800EST-1A tampil lebih retro dan klasik dengan rekaan analog-digital yang jelas berakar pada gaya 1980-an. Dial jam dihiasi motif vine dengan kesan dimensi, sementara penanda jam menggunakan tipografi ikonik
Stranger Things dalam kemasan logam timbul.
Logo siri ini turut diukir pada bahagian belakang jam, manakala ukiran ‘001’ pada penutup clasp merujuk kepada tanda yang sinonim dengan Vecna. Jam ini dilengkapi fungsi asas seperti stopwatch 1/100 saat, penggera harian dan isyarat jam, dengan ukuran casing 40.7 × 32.1 × 8.7mm serta berat 52 gram.
Sebagai pelengkap, kedua-dua jam tangan ini disertakan dengan kotak khas edisi pengumpul yang menampilkan visual Demogorgon dan motif vine Vecna, dua simbol paling dikenali dalam dunia
Stranger Things. Pembungkusan ini bukan sekadar pelindung, tetapi menjadi sebahagian daripada pengalaman koleksi yang meraikan status kultus siri tersebut.
Di Malaysia, G-SHOCK DW-5600STT-1 dan CASIO AQ-800EST-1A kini boleh didapati menerusi laman rasmi CASIO, dan akan mula dijual di butik G-SHOCK serta pengedar terpilih bermula 22 Januari 2026.
Kedua-dua model ditawarkan pada harga RM649 setiap satu, menjadikannya pilihan menarik buat peminat
Stranger Things dan penggemar jam tangan edisi khas.
Untuk rekod,
Stranger Things mengisahkan misteri kehilangan seorang kanak-kanak bernama Will di bandar kecil Hawkins, Indiana, serta kemunculan Eleven, seorang gadis misteri dengan kebolehan luar biasa.
Didorong oleh persahabatan, keberanian dan semangat ingin tahu, sekumpulan remaja berusaha merungkai kejadian aneh yang mengancam dunia mereka. Gabungan elemen suspens, emosi dan penghormatan kepada filem klasik 1980-an menjadikan siri ini antara karya televisyen paling berpengaruh dalam dekad terakhir.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments