THE Kid Laroi kini kembali dengan album penuh terbaharunya berjudul Before I Forget, yang boleh didengari di semua platform digital menerusi Columbia Records, sekali gus menamatkan penantian peminat di seluruh dunia.
Album ini menandakan kemunculan semula artis global yang dicalonkan Anugerah GRAMMY itu selepas dua tahun sejak pelancaran album studio terdahulunya.
Diperkenalkan menerusi tiga single utama iaitu A Cold Play, A Perfect World dan Back When You Were Mine, Before I Forget menjadi titik perubahan penting dalam perjalanan seni Laroi yang kini berusia 22 tahun.
Album ini mengetengahkan sisi dirinya yang lebih terbuka, jujur dan matang, dengan fokus terhadap emosi serta refleksi peribadi yang lebih mendalam.
Setiap trek dalam album ini sarat dengan elemen introspektif, sekali gus memperlihatkan kebolehan penulisan lagu Laroi yang semakin berkembang serta keberaniannya meneroka gabungan genre pada tahap baharu.
Pendekatan ini memberikan gambaran yang lebih intim tentang dunia dan pemikiran penyanyi tersebut, menjadikan Before I Forget sebagai karya yang dekat dengan perasaan dan pengalaman peribadi.
Mengulas tentang album ini, Laroi menegaskan fokus utama adalah sepenuhnya terhadap muzik itu sendiri.
“Before I Forget adalah tentang muzik. Tiada perkara lain. Itulah yang saya mahu orang dengar,” katanya, sekali gus mencerminkan kejujuran dan niat sebenar di sebalik pembikinan album ini.
Before I Forget hadir selepas kejayaan album The First Time yang dilancarkan pada tahun 2023, diikuti edisi deluxe setahun kemudian dengan penambahan lima lagu baharu.
Antara yang mencuri perhatian ketika itu termasuk Night Like This Part 2, sambungan kepada lagu popular Night Like This, serta lagu kegemaran peminat, Girls.
Terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu suara paling berpengaruh dalam landskap muzik masa kini, Laroi sekali lagi membuktikan keberaniannya untuk menolak sempadan kreatif menerusi projek terbaharu ini.
Album Before I Forget menampilkan barisan lagu seperti Me + You, July, Private, Come Down, Rather Be yang menampilkan Lithe, A Perfect World, 5:21am bersama Andrew Aged, A Cold Play, The Moment menampilkan Clara La San, Never Came Back, Thank God, I’m So In Love With You, Maybe I’m Wrong, Her Interlude dan Back When You Were Mine.
Dengan pendekatan yang lebih matang dan jujur, Before I Forget bukan sekadar album baharu, malah menjadi refleksi fasa baharu dalam kerjaya The Kid Laroi sebagai seorang artis yang semakin berani menampilkan dirinya yang sebenar melalui muzik. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments