ADOR Tamatkan Kontrak, Danielle Bukan Lagi Anggota NewJeans


Oleh: AILEEN ADAM
KEMELUT yang melanda kumpulan K-Pop sensasi, NewJeans sejak setahun lalu akhirnya memasuki fasa baharu apabila ADOR secara rasmi mengesahkan penamatan kontrak eksklusif bersama salah seorang anggotanya, Danielle Marsh.


Keputusan tersebut menandakan perubahan besar dalam hubungan antara agensi dan Danielle, 20, selepas pelbagai isu dalaman gagal menemui jalan penyelesaian.

Pihak agensi menjelaskan langkah itu dibuat selepas pertimbangan menyeluruh terhadap situasi semasa, yang menurut mereka menyukarkan sebarang bentuk kerjasama profesional untuk diteruskan.

Dalam keadaan tersebut, Danielle dilihat tidak lagi dapat meneruskan kerjaya sebagai anggota NewJeans mahupun sebagai artis di bawah pengurusan syarikat berkenaan.

“Kami berpendapat bahawa adalah sukar bagi Danielle untuk meneruskan kerjayanya sebagai anggota NewJeans serta artis di bawah ADOR, dan kami telah memaklumkan bahawa kontraknya telah ditamatkan,” kata agensi itu dalam kenyataan yang dipetik daripada Korea JoongAng Daily pada Isnin.

Keputusan penamatan kontrak itu turut disusuli dengan pengumuman bahawa ADOR merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli keluarga Danielle serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif agensi tersebut, Min Hee-jin.

Menurut agensi itu, kedua-dua pihak berkenaan didakwa mempunyai pengaruh besar dalam mencetuskan provokasi yang membawa kepada siri konflik serta pertikaian undang-undang melibatkan kumpulan tersebut.

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli keluarga Danielle dan bekas CEO Min Hee-jin, yang memikul tanggungjawab besar bukan sahaja dalam konflik bersama NewJeans, tetapi juga terhadap kelewatan kembalinya para anggota ke agensi,” jelas kenyataan sama.

Konflik Dalaman dan Hala Tuju Anggota NewJeans

Dedah agensi itu lagi, hasil siasatan dalaman mendapati tuduhan provokasi itu berpunca daripada salah faham di mana anggota NewJeans telah menerima maklumat mengenai syarikat yang diputarbelitkan secara berterusan dalam tempoh masa yang panjang.

ADOR percaya perkara itu menjadi punca utama ketegangan dan konflik yang tercetus antara pihak agensi dan para anggota kumpulan itu.

Walaupun konflik tersebut telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan perdebatan, agensi itu menegaskan bahawa mereka masih melihat keperluan untuk memperbetulkan keadaan demi masa depan kumpulan dan hubungan dengan peminat.

“Kami bersetuju bahawa kami perlu mengambil peluang untuk menyelesaikan semua salah faham ini, walaupun ia memerlukan masa yang lama, bagi memulihkan sepenuhnya kepercayaan dan kasih sayang daripada peminat serta masyarakat umum,” katanya.

Pengumuman mengenai penamatan kontrak bintang berdarah Korea-Australia itu dibuat selepas hampir dua bulan ADOR mengesahkan Haerin dan Hyein telah mengakhiri perselisihan mereka dengan agensi dan kembali berada di bawah pengurusan agensi itu.

Susulan pengumuman tersebut, tiga anggota lain iaitu Minji, Hanni dan Danielle sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk kembali bersama agensi itu.


Perkembangan tersebut berlaku selepas agensi berkenaan mencatat beberapa kemenangan di mahkamah, sekali gus mengukuhkan kedudukan bahawa kontrak eksklusif NewJeans masih sah dan berkuat kuasa sehingga tahun 2029.

Namun begitu, syarikat itu memaklumkan bahawa rundingan dengan anggota yang lain masih belum dimuktamadkan dan perbincangan terus dijalankan.

Dalam kenyataan sama, ADOR menjelaskan bahawa Hanni telah bersetuju untuk kembali ke syarikat, manakala perbincangan dengan Minji masih diteruskan dalam suasana yang positif, dengan matlamat untuk memperluaskan pemahaman bersama antara kedua-dua pihak.

Sebagai anak syarikat HYBE, agensi itu turut memaklumkan bahawa penjelasan terperinci mengenai keseluruhan konflik yang berlaku akan diumumkan melalui kenyataan berasingan pada masa akan datang. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments