Pantai Cantik dan Terpencil Western Australia: Panduan Untuk Pelancong Malaysia

Keindahan pantai Western AustraliaKREDIT FOTO: Tourism Western Australia

Oleh: SORAYA AFNAN

DENGAN garis pantai sepanjang lebih 12,000 kilometer, Western Australia antara pantai paling bersih di dunia serta habitat marin yang masih terpelihara.

Di sebalik populariti pantai ikonik seperti Cable Beach dan Cottesloe, wilayah ini turut menempatkan deretan pantai terpencil dan teluk tersembunyi yang menawarkan ketenangan, pengembaraan dan keindahan alam semula jadi yang luar biasa.

Bagi pelancong dari Malaysia yang menginginkan pengalaman pantai di luar kebiasaan, berikut ialah beberapa lokasi pesisir paling memukau di Western Australia yang wajar diterokai.

Point Ann, Fitzgerald River National Park

Terletak di sepanjang pesisir semula jadi Fitzgerald River National Park, Point Ann terkenal sebagai lokasi pemerhatian ikan paus yang dramatik.

Dari Jun hingga Oktober, pengunjung berpeluang menyaksikan ikan paus southern right bersama anaknya berenang berhampiran pantai, menjadikannya antara pengalaman hidupan liar paling mengagumkan di Western Australia.

Taman negara ini merangkumi bukit pantai berbatu, tebing batu kapur dan teluk luas, selain diiktiraf sebagai salah satu kawasan dengan kepelbagaian botani tertinggi di dunia dengan lebih 1,800 spesies tumbuhan berbunga. Pada musim bunga, landskapnya dihiasi Banksia, Hakea, Bottlebrush dan bunga Qualup bell.

Hanya dua jam pemanduan dari Albany, kawasan ini menawarkan aktiviti seperti bushwalking, berkayak, memancing dan perkhemahan di lokasi indah seperti St. Mary Inlet dan Four Mile Campground, menjadikannya destinasi ideal untuk pencinta alam dan ketenangan.

Little Beach, Two Peoples Bay Nature Reserve

Terletak berhampiran Albany, Little Beach sering tersenarai antara pantai tercantik di Western Australia. Pantai ini menampilkan pasir putih halus, air laut jernih berwarna turquoise serta formasi batu granit yang memantulkan cahaya matahari.

Walaupun keindahannya menawan, Little Beach kekal tenang dan tidak sesak. Ia terletak dalam Two Peoples Bay Nature Reserve, kawasan perlindungan yang kaya dengan biodiversiti, termasuk noisy scrub bird yang pernah disangka pupus sebelum ditemui semula di sini pada 1960-an.

Laluan Two Peoples Bay Heritage Trail menawarkan pemandangan pesisir yang panoramik, manakala Waterfall Beach di teluk berdekatan menyediakan suasana lebih terpencil dengan aliran air lembut yang mengalir ke pantai.

Lucky Bay, Cape Le Grand National Park

Di sepanjang pesisir Esperance, Lucky Bay dikenali sebagai pantai dengan pasir paling putih di Australia. Terletak dalam Cape Le Grand National Park, teluknya yang melengkung indah dipadankan dengan air laut biru kehijauan serta pemandangan kangaroo yang sering berehat di tepi pantai.

Pengunjung boleh berenang di perairan tenang, menyusuri laluan pantai ke sudut pandang tersembunyi atau menikmati suasana alam yang damai.

Dikelilingi puncak granit lasak dan tapak perkhemahan yang tenang, Lucky Bay terletak kira-kira 45 minit dari Esperance atau boleh diakses melalui penerbangan singkat dari Perth.

Gnarabup Beach, Margaret River

Gnarabup Beach mencerminkan gaya hidup santai pesisir Margaret River. Terletak di sepanjang Prevelly coastline, pantai ini digemari kerana perairannya yang tenang, jeti ikonik serta White Elephant Cafe, lokasi popular bagi pengunjung yang menikmati kopi pagi sambil menghadap laut.

Dilindungi oleh terumbu luar, Gnarabup sesuai untuk berenang, snorkelling dan paddleboarding. Pada musim panas, pantai ini meriah dengan aktiviti keluarga, manakala pada musim sejuk, laluan tebing menjadi lokasi ideal untuk menikmati pemandangan laut.

Bagi pengalaman lebih eksklusif, Walk into Luxury menawarkan perjalanan berpandu berbilang hari di sepanjang pesisir termasuk laluan terkenal Cape to Cape Track, menggabungkan pantai terpencil, laluan tebing dan penginapan butik gourmet.

Meelup Beach & Bunker Bay, Dunsborough

Berhampiran Dunsborough, Meelup Beach terkenal sebagai destinasi kegemaran keluarga dengan teluk terlindung, pasir putih bersih dan air jernih yang selamat untuk berenang dan belayar.

Kawasan berkelah, barbeku serta laluan pesisir di Meelup Park menawarkan pemandangan laut, bunga liar dan sesekali kelibat ikan paus.

Bersebelahan Meelup Beach, Bunker Bay terletak di bawah lindungan Cape Naturaliste dan merupakan antara pantai menghadap utara yang jarang ditemui di Western Australia. Ombaknya lembut, sesuai untuk berenang dan snorkelling.

Pengunjung boleh menyertai Cape to Cape Explorer Tours untuk pendakian berpandu separuh atau sehari penuh di sepanjang pesisir.

Untuk pengalaman gastronomi, Ilma Beach House menawarkan sajian bermusim dengan pemandangan laut, manakala Meelup Farmhouse menyediakan suasana santai mesra keluarga dengan hidangan segar dan kopi bancuhan sendiri.

Jetty di Jurien Bay | KREDIT FOTO: Tourism Western Australia

Singa laut di Jurien Bay | KREDIT FOTO: Tourism Western Australia

Boullanger Island, Jurien Bay Marine Park

Terletak kira-kira dua setengah jam dari Perth, Jurien Bay merupakan pintu masuk ke Jurien Bay Marine Park, salah satu habitat marin paling pelbagai di Western Australia. Di perairannya terdapat terumbu karang, gua batu kapur dan singa laut yang aktif.

Boullanger Island, yang boleh diakses melalui kayak atau bot, menawarkan teluk tenang dan kehidupan marin yang subur. Untuk pengalaman menyeluruh, Jurien Bay Oceanic Experience menyediakan lawatan berpandu termasuk berenang bersama singa laut, meneroka terumbu dan aktiviti menangkap lobster batu, sambil menekankan pemuliharaan laut dan pelancongan lestari.

Terokai Kisah Pantai Anda Sendiri

Daripada pemerhatian ikan paus di Point Ann hingga pasir putih mempesonakan di Lucky Bay, Western Australia menawarkan pengalaman pantai yang unik dan tidak terusik.

Sama ada meneroka teluk tersembunyi, menyusuri laluan pesisir dramatik atau menikmati keindahan hidupan liar, setiap lokasi menawarkan kisah tersendiri. Rancang pengembaraan pantai anda dan terokai lebih banyak keajaiban pesisir di westernaustralia.com- 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments