Perkahwinan Berakhir, Dayana Roza Akui Sudah Bercerai


SELEPAS lima tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Dayana Roza mengesahkan telah bercerai dengan suami, A’dale Adham Ayahudin, seorang usahawan, pada 18 Disember lalu.

Keputusan itu menandakan berakhirnya satu babak penting dalam hidupnya, selepas pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan hubungan.

Dayana atau nama sebenarnya Nur Dayana Kamsun Baharin, 34, berkata, kehadirannya ke Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak pada tarikh berkenaan adalah untuk menyelesaikan urusan perceraian tersebut.

“Ya memang saya hadir ke mahkamah tersebut untuk proses cerai. Saya kini sah bercerai talak satu. Kini saya sedang menjalani tempoh idah,” katanya sebagaimana dilaporkan media.

Menurutnya lagi, penceraian berlaku kerana sudah tiada persefahaman antara mereka. Tahun lalu, dia dan suami pernah hampir berpisah, namun masing-masing memberi peluang kedua untuk memulihkan keadaan.

Walau bagaimanapun, hubungan tersebut akhirnya menemui noktahnya, mengakhiri lima tahun ikatan perkahwinan. Ibu kepada dua cahaya mata itu juga memaklumkan akan kembali aktif dalam bidang lakonan.

Kata Dayana, sebelum ini banyak tawaran lakonan ditolak demi menumpukan perhatian kepada keluarga, namun kini dia perlu meneruskan kerjaya untuk membesarkan anak-anak, sekali gus menampung kehidupan mereka.

Dayana dan A’dale berkahwin pada 25 Disember 2020 dan dikurniakan dua anak, iaitu Astrid Raheeya, 4, dan Aryan Andika, 2. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments