TAYLOR’s University mengumumkan pelantikan empat tokoh terkemuka seni persembahan sebagai Profesor Adjung bagi program Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian).
Langkah ini menegaskan komitmen universiti dalam merapatkan dunia akademik dengan dunia profesional, sambil membuka ruang kepada mahasiswa untuk belajar terus daripada penggiat seni terkemuka dalam bidang persembahan, muzik dan tari.
Bagi pengkhususan lakonan dan seni persembahan, universiti menyambut kehadiran dua nama berpengaruh yang sinonim dengan industri seni tanah air iaitu Siti Saleha Mohd Baharum dan Datin Marlia Musa.
Siti Saleha, pelakon berbakat yang menonjol dalam televisyen, filem dan teater, terkenal dengan versatiliti serta lakonan penuh karakter.
Kehadirannya bakal membuka jalan baharu bagi mahasiswa bukan hanya di pentas teater, tetapi juga dunia lakonan skrin, penjenamaan peribadi serta pembangunan jaringan profesional merentasi televisyen, filem dan komersial.
Melalui bimbingannya, pelajar berpeluang mengasah kemahiran untuk menyesuaikan bakat mereka ke medium visual sekali gus membina keyakinan untuk kerjaya jangka panjang dalam industri hiburan.
Sementara Datin Marlia Musa pula merupakan pelakon berpengalaman luas serta pendidik seni, akan membimbing pelajar memahami lebih mendalam landskap seni persembahan tanah air.
Dengan kepakarannya dalam bidang lakonan dan pendidikan seni, Marlia akan membantu melatih kreativiti, disiplin, serta identiti artistik pelajar, memastikan mereka bersedia menghadapi tuntutan industri sebenar.
Tokoh legenda muzik tanah air, Datuk Mohamad Nasir Mohamed Sam atau M.Nasir turut menyertai universiti bagi bidang Muzik. Komposer, penulis lagu dan penerbit ikonik ini telah mewarnai industri muzik Malaysia selama lebih empat dekad.
Bimbingannya akan membuka peluang kepada pelajar memahami proses kreatif di sebalik penulisan lagu, komposisi dan produksi, sambil memberikan panduan bernilai dalam membina kerjaya dalam bidang muzik.
Turut menyertai barisan tenaga pengajar ialah ballerina, Maria Sascha Khan, bekas Principal Ballerina dan kini Pengarah Pembangunan Artistik Ballet Nights di Asia Tenggara, yang akan memimpin laluan Tari.
Pengalaman globalnya dalam persembahan, koreografi dan kolaborasi seni rentas budaya bakal memperkayakan pemahaman pelajar terhadap tari sebagai bahasa seni sejagat yang menghubungkan masyarakat dari pelbagai latar budaya.
Pembelajaran Bertaraf Industri
Pengarah Program Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian), Raziman Sarbini berkata, pelantikan ini bukan sahaja mengukuhkan jaringan industri universiti, tetapi turut memastikan pelajar menerima pendedahan yang relevan dan selari dengan keperluan semasa dunia seni kreatif.
“Kami amat berbesar hati menyambut pemimpin industri berwibawa ini sebagai Profesor Adjung dalam program Seni Persembahan kami.
“Pandangan serta bimbingan mereka akan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar secara menyeluruh, memberikan perspektif industri yang autentik dan menginspirasikan mereka untuk melangkaui batas kreativiti dalam bidang pilihan masing-masing,” katanya.
Program Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian) di Taylor’s University menawarkan tiga pengkhususan iaitu Persembahan, Muzik dan Tari yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan pendedahan industri sebenar.
Melalui bimbingan langsung daripada tokoh profesional, pelajar akan membina keyakinan kreatif, daya adaptasi dan kemahiran teknikal diperlukan untuk cemerlang dalam industri seni dan hiburan yang sentiasa berkembang.
Pelantikan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara akademia dan industri, malah menandakan komitmen universiti untuk memupuk bakat seni tempatan agar terus berkembang selari dengan keperluan pasaran kreatif masa kini.
Dengan pengliatan figura berkaliber dalam industri sebenar sebagai barisan penasihat akademik, program ini dijangka terus melahirkan graduan berkualiti tinggi yang mampu mencorak landskap seni negara pada masa hadapan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments