TAHUN, muzik baharu! Konsert LOKALOKO 2026 bakal membuka tirai pada 24 Januari 2026 di Zepp Kuala Lumpur, membawa gabungan rentak Malaysia dan Indonesia pada satu pentas.
Acara ini bukan sekadar konsert, tetapi ia adalah manifestasi yang menyatukan genre, generasi, dan sempadan, mencipta ruang di mana muzik menjadi bahasa universal.
Konsert ini dibahagikan kepada dua sesi yang masing-masing menawarkan vibe tersendiri. Segmen petang pada jam 3, menampilkan Butterfingers bersama Amir Jahari, manakala segmen malam dijadualkan dengan persembahan The Lantis dan FUGŌ yang bermula pada jam 8 malam.
Segmen pertama bakal menampilkan Butterfingers, kumpulan yang berpaksikan irama grunge dan tidak perlu diperkenalkan lagi, kini kembali menggegarkan pentas.
Terkenal dengan lagu-lagu ikonik seperti The Chemistry (Between Us), Epitome, dan Faculties of the Mind, Butterfingers terus dikenang sebagai simbol zaman keemasan muzik alternatif 90-an tempatan.
Lebih menarik, konsert ini juga menampilkan persembahan khas Amir Jahari, penyanyi dan komposer berbakat kelahiran Kuching yang terkenal dengan suara merdu dan lagu-lagu beremosi seperti Hasrat dan Tanpamu (Re-Imagine feat. Nana Sheme).
Gabungan dua pemuzik ini dijangka menghadirkan pengalaman muzik luar biasa, di mana semangat rock Butterfingers berpadu dengan kelembutan jiwa akustik Amir Jahari, membawa penonton menelusuri perjalanan emosi dan nostalgia.
Pop Retro & Indie Bertemu
Bagi segmen malam pula, penonton boleh menantikan getaran lebih segar dengan kemunculan The Lantis, kumpulan pop retro dari Indonesia yang kini mencuri perhatian peminat muzik serantau.
Dikenali menerusi lagu viral mereka Lampu Merah dan Bunga Maaf, The Lantis membawa elemen nostalgia 70-an dan 80-an ke dalam pop kontemporari yang mesra telinga generasi muda.
Mereka akan berkongsi pentas dengan FUGŌ, band indie tempatan yang kian menyerlah dengan identiti unik serta nuansa nu-vintage menerusi lagu seperti Pentas Sandiwara dan 99 yang membuktikan kemampuan mereka mempersembahkan muzik kreatif, segar, dan berjiwa global.
Menurut Milestone Entertainment selaku penganjur, konsert LOKALOKO menjadi ruang untuk artis lama dan bakat baharu berkongsi pentas, mencipta kenangan baharu buat penonton dari pelbagai generasi.
Harga tiket dijual bermula dari RM148, dan pakej bundle untuk tiket Standing memberikan akses ke kedua-dua sesi dengan harga istimewa. Pembelian boleh dibuat menerusi laman web ticketmelon.com/lokaloko/MY . - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments