Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Alice in Borderland Musim 3: Trailer Utama Bongkar Permainan Maut Terbaharu


TERPISAH antara satu sama lain, mampukah Arisu dan Usagi meloloskan diri dari Borderland sekali lagi? Bermula 25 September ini, musim ketiga Alice in Borderland hadir di Netflix dengan taruhan yang jauh lebih tinggi dan permainan yang lebih menguji jiwa.

Trailer utama yang baru dilancarkan memberikan bayangan ancaman berbahaya yang bakal mereka hadapi ketika keduanya ditarik kembali ke dunia liminal yang sebelum ini berjaya mereka tinggalkan.

Dalam Musim 3, Usagi diculik dan dibawa ke Borderland, manakala Arisu nekad mengikutinya untuk menyelamatkan. Namun, mereka dipisahkan dan masing-masing terpaksa bergabung dengan peserta lain demi mengharungi siri permainan maut.

Bersama pemain baharu, mereka berdepan pentas ‘Joker’ yang belum pernah dilihat sebelum ini, dalam usaha terdesak untuk mencari jalan pulang ke dunia asal mereka.

Menjelang tayangan Alice in Borderland: Musim 3, para pelakon turut berkongsi pengalaman mereka di set.

Kento Yamazaki, yang membawakan watak utama Arisu, mengungkapkan perasaan dan pandangannya tentang perjalanan karakter yang semakin berkembang sejak musim pertama.

“Oleh sebab Arisu dan Usagi berada dalam pasukan berasingan, saya rasa menarik melihat perbezaan suasana serta dinamika karakter dalam setiap kumpulan.

"Dari musim pertama lagi, watak-watak ini semakin disayangi penonton, dan saya percaya itulah sebabnya audiens begitu mudah berempati dengan mereka sewaktu berdepan detik hidup dan mati,” katanya.

Sementara Tao Tsuchiya, yang sekali lagi membawakan watak Usagi pula berkongsi tentang bagaimana perjalanan karakter itu berkembang dari musim ke musim.

“Semua yang Usagi lalui dalam musim-musim terdahulu kini membentuk kisahnya. Jadi bila perlu, saya akan kembali menonton semula Musim 1 dan 2.

"Dengan Musim 3 membawa jalan cerita asal, saya rasa penting untuk mendukung watak ini dengan segala pengalaman lepas sebagai asasnya,” kata Tsuchiya.

Permainan Baharu yang Lebih Intens

Musim ini menjanjikan permainan paling dahsyat setakat ini, malah mengatasi cabaran dalam musim-musim sebelumnya.


Yamazaki menyorot salah satu babak paling mengesankan iaitu permainan di sebuah kuil pada waktu malam, di mana ribuan anak panah berapi menghujani langit.

Adegan epik yang pernah memukau pembaca manga ini kini dihidupkan dengan teknologi VFX Jepun untuk impak visual maksimum.

“Masa saya baca manga, saya benar-benar terpegun dengan adegan anak panah berapi tu. Jadi bila tengok skrip adegan ni, saya terus fikir, ‘Inilah dia!’” katanya teruja.

Tsuchiya pula mengajak penonton memberi perhatian pada satu permainan dalam trailer yang menampilkan dadu berwarna-warni.

“Apabila pemain semakin terdesak, lakonan semua orang jadi lebih intens dan dramatik. Saya rasa permainan ini betul-betul menggambarkan jiwa Alice in Borderland, ia tentang hidup dan mati, dan tentang bagaimana kita benar-benar mahu menjalani hidup,” jelasnya.

Seiring permainan yang makin mencabar, para pemain didesak hingga ke batas, menjadikan ketegangan semakin menebal dan emosi kian mencengkam.


Selain itu, key art turut didedahkan, menampilkan Arisu dan Usagi yang saling cuba menggapai antara satu sama lain, sementara kad Joker dengan senyuman penuh misteri menghantui di belakang mereka.

Di bawahnya, pusaran gelap seperti lohong hitam bersedia menarik mereka ke kegelapan. Sekelilingnya pula dihiasi para peserta permainan terbaru, termasuk Ryuji yang menggenggam tangan Usagi dan Banda yang terpancar dengan aura mengancam.

Setiap karakter memandang ke arah Arisu dan Usagi, ada yang putus asa, ada pula dengan tekad menandakan skala epik dan ketegangan besar yang bakal mewarnai jalan cerita.

Filem ini diarahkan oleh Shinsuke Sato dan menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Kento Yamazaki, Tao Tsuchiya, Hayato Isomura, Ayaka Miyoshi, Katsuya Maiguma, Koji Ohkura, Risa Sudou, Hiroyuki Ikeuchi, Tina Tamashiro, Kotaro Daigo, Hyunri, Sakura Kiryu, Yugo Mikawa, Joey Iwanaga, Akana Ikeda serta Kento Kaku.

Adaptasi ini diilhamkan daripada manga popular Alice in Borderland karya Haro Aso, yang asalnya diterbitkan oleh Shogakukan.

Alice in Borderland: Musim 3 mula distrim di seluruh dunia pada 25 September, hanya di Netflix. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments