Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kembali Bergelar Suami - Fattah Amin, Amira Othman Selamat Disatukan

Setulus Takdir, penyatuan cinta Fattah, Amira | FOTO: UniFi TV

HANYA dengan sekali lafaz, pelakon Fattah Amin sah bergelar suami kepada penyanyi Amira Othman, dalam majlis ijab dan kabul yang berlangsung di Golden Palm Tree Malaysia, Sepang, Selangor pada malam Ahad.

Pasangan itu dinikahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan disaksikan bapa pengantin perempuan, Othman Abdul Kadir dan keluarga.

Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berupa seutas gelang tangan emas kepada Amira atau nama penuhnya, Nadia Amira Othman, 32, beserta lima dulang hantaran, berbalas tujuh daripada pengantin perempuan sebagai simbolik penyatuan cinta mereka.

“Alhamdulillah, syukur kerana semuanya dipermudahkan. Terima kasih kepada keluarga, sahabat dan peminat yang sentiasa mendoakan kami,” ujar Fattah.

Amira kelihatan anggun dalam persalinan rona putih rekaan Teh Firdaus, manakala Fattah segak dengan baju Melayu rona serupa hasil sentuhan Rizman Ruzaini.

Momen bahagia pasangan sama cantik, sama padan ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran puteri kesayangan Fattah, Nur Fatima Aisya yang setia menemani bapanya sepanjang majlis berlangsung.

Setulus Takdir

Majlis pernikahan pasangan itu yang dinamakan Setulus Takdir: Fattah Amira disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Unifi TV 2.0, saluran Inspirasi secara percuma, membolehkan peminat mengikuti detik istimewa tersebut.

Terdahulu pada Selasa lalu ketika sidang media pelancaran single duet Rasa & Takdir nyanyian Amira bersama adiknya, Irfan Haris, pasangan selebriti itu mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinan pada 14 September, bersempena dengan ulang tahun kelahiran Fattah yang ke-35.

Untuk rekod, Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin sebelum ini pernah berkahwin dengan aktres Nur Fazura pada 27 November 2017 sebelum bercerai pada 7 Oktober tahun lalu. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


Post a Comment

0 Comments