Hot Posts

6/recent/ticker-posts

'Tiga Abdul La!' – 3 Pelawak Popular Cabar Selebriti Dalam Program Realiti Ikhtiar Hidup


TIGA pelawak popular bersedia meninggalkan zon selesa dan menyahut cabaran ikhtiar hidup dalam program realiti terbaharu, Tiga Abdul La!, yang bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Okey dan RTMKlik.

Trio yang menjadi taruhan iaitu Atu (Zero), Joe Aziz dan Dewa (Arteh) bakal bergandingan dengan artis jemputan berbeza setiap episod untuk menempuh pelbagai tugasan mencabar.

Sepanjang 13 episod, penonton akan menyaksikan kemunculan nama-nama seperti Amerul Affendi, Saiful (Zero), Mek Yun, Amy Dangin, John Bear, Dayana Roza, Apiz Paschya, Kween Keela, Ebi Kornelis, Kimberly Chuah, Shamsul Danish dan Michelle Lungan.

Program ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan di RTM.

Setiap episod membawa penonton menjelajah lokasi menarik di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, sambil memperkenalkan aktiviti tradisi masyarakat setempat.

Konsepnya mudah, tetapi mencabar di mana dalam setiap episod, peserta dibahagikan kepada dua kumpulan melalui cabutan undi, dengan setiap kumpulan dianggotai dua orang.

Mereka perlu menghasilkan sendiri peralatan menangkap ikan atau belut, sama ada menggunakan pancing atau bubu buatan tangan. Apa yang berjaya ditangkap, perlu dimasak mengikut menu khas dengan bajet minimum. Kreativiti adalah kunci Utama.

Cabaran Penuh Gelak Tawa dan Drama

Mek Yun, pempengaruh berketurunan Cina dari Kelantan, muncul dalam episod kedua. Tugasan mereka? Memancing ikan sasaran di parit sawah sambil mencari umpan dengan cara sendiri. Tanpa pengalaman, persoalannya mampukah mereka berjaya?

Cabaran lain pula menyaksikan John Bear, penyanyi band Budak Nakal Hujung Simpang, cuba menyiapkan pancing lengkap menggunakan batang joran dan dawai. Sasarannya ialah ikan Baung, menggunakan umpan Ikan Tapa yang sudah diperam dan berbau menusuk hidung.

Bila tiba giliran pelakon Dayana Roza, cabarannya berlangsung di tengah lautan. Ombak yang sedikit kuat menyebabkan salah seorang ahli pasukan mabuk laut hingga muntah tetapi misi memancing tetap diteruskan.

Tidak ketinggalan, pelakon versatil Amerul Affendi yang bersama hos cuba menaikkan udang sebagai tangkapan sasaran. Kali ini, batang pancing juga perlu dibuat sendiri menggunakan peralatan ringkas, dengan kedua-dua pasukan berkongsi sebuah bot.

Episod bersama pelakon muda Kimberly Chuah pula membawa cabaran memancing dan memasak di Sungai Rompin, Pahang.

Sudah mula bersiaran sejak episod pengenalan pada 3 Ogos lalu, Tiga Abdul La! menjanjikan gelak tawa, drama dan kehangatan cabaran ikhtiar hidup setiap minggu. Jangan ketinggalan menonton setiap Ahad di saluran Okey dan RTMKlik! - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments