Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Gandingan Fesyen & Aroma: Hatta Dolmat Lancar Koleksi ‘Hopes’ di KLFW

Hatta dan Opai berharap agar kolaborasi kreatif mereka mampu membuat lembaran baharu  dalam industri seni dan gaya hidup | FOTO: Monolabs Studio

Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN

KUALA Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 di KLCC sekali lagi menjadi medan glamor yang memukau, tetapi kali ini aura pentas terasa lebih segar dan beraroma istimewa.

Pereka fesyen tersohor tanah air, Hatta Dolmat, bergabung tenaga dengan usahawan wangian tempatan, Opai, untuk melancarkan koleksi minyak wangi eksklusif, Hopes.

Tahun ini bukan sekadar rutin buat Hatta. Genap dua dekad mengemudi layar dalam industri fesyen, dia tampil dengan tema penuh makna peribadi, Perahu Kertas.

“Tahun ini agak istimewa. Tema Perahu Kertas sinonim dengan memori kanak-kanak, lambang perjalanan hidup yang kadang indah, kadang ribut, tetapi tetap menuju destinasi,” ujar Hatta, pereka fesyen Malaysia pertama yang diiktiraf Malaysian Book of Records.

Koleksi ini bukan sekadar rekaan di pentas peragaan, tetapi ia turut diserikan dengan pelancaran minyak wangi Hopes dalam tiga variasi eksklusif iaitu Hope, Kindness dan Courage.

Berbeza dengan koleksi terdahulu yang sarat motif warna terang, kali ini Hatta memilih sentuhan sentimental dan simbolik, berani keluar daripada kebiasaan rekaannya sebelum ini.

“Saya terbuka untuk bekerjasama. Bila jumpa Opai, saya kagum. Dia berkembang cepat dan hasilkan parfum tempatan dengan kualiti mantap,” katanya tentang detik awal kolaborasi ini.

Fesyen dan Dunia Wangian

Bagi Opai, kerjasama ini membawa erti besar kerana Malaysia jarang menyaksikan pereka fesyen bergabung dengan usahawan wangian tempatan di pentas berprestij seperti KLFW.

“Konsep macam ini sudah biasa di luar negara, tapi di Malaysia belum lagi. Rezeki kami berjaya siapkan dalam masa kurang dua bulan,” ujarnya penuh teruja.

Walaupun tempoh penghasilan singkat, Hatta dan Opai yakin Hopes mampu membuka peluang pasaran lebih luas, termasuk potensi menembusi pasaran antarabangsa dengan gabungan fesyen dan aroma.

Sekitar pertunjukan fesyen rekaan Hatta di KLFW 2025FOTO: Monolabs Studio

Menurut Hatta, koleksi ini adalah simbol kekuatan dan ketabahan dirinya selepas sedekad menyertai KLFW dan melalui 20 tahun penuh jatuh bangun dalam industri fesyen tempatan.

“Sebab itu saya selalu 'hope', fikir positif. Harap semua orang, sama ada kenal saya atau baru kenal, dapat sokong Hopes,” katanya penuh harapan.

Minyak wangi uniseks ini direka versatile, sesuai untuk siang atau malam, majlis santai mahupun rasmi dan boleh didapati di semua platform e-dagang popular di Malaysia.

Dalam pada itu, Opai menegaskan projek ini bukan gimik, tetapi strategi jangka panjang untuk mengangkat jenama tempatan setanding jenama antarabangsa dari segi kualiti dan impak.

“Kami mahu buktikan kolaborasi ini bukan sekadar ‘cantik di mata’, tetapi ada nilai jualan. Harap jenama lain berani ikut langkah kami untuk cipta peluang baharu,” katanya penuh keyakinan.

KLFW 2025 membuktikan fesyen tempatan terus bernafas segar. Gandingan Hatta Dolmat dan Opai bukan sahaja memeriahkan pentas, malah mengukuhkan keyakinan bahawa kolaborasi kreatif mampu membuka lembaran baharu dalam industri seni dan gaya hidup Malaysia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments