KEMUNCULAN semula SUV kegemaran ramai ini bukan sekadar perubahan kosmetik. Ia hadir dengan penambahbaikan menyeluruh yang lebih bergaya, canggih, dan bersedia memberi saingan sengit kepada SUV kompak lain dalam kelas yang sama.
Sejak mula menemui jalan raya Malaysia pada tahun 2020, PROTON X50 telah berjaya memikat hati pengguna dengan reka bentuk 'sporty', prestasi mantap serta teknologi yang mesra pengguna.
Dalam tempoh lima tahun, lebih 140,000 unit telah terjual, menjadikannya SUV kompak paling laris di Malaysia secara konsisten. Malah, secara global, hasil kerjasama bersama Geely, model ini telah merekodkan jualan melebihi 1.2 juta unit di 51 negara.
Kini, PROTON memperkenalkan semula X50 dalam versi serba baharu yang tampil lebih matang, lengkap dengan pelbagai peningkatan dari segi reka bentuk, teknologi dan prestasi pemanduan.
Model ini dibangunkan untuk memenuhi keperluan pengguna moden yang bukan sekadar mahukan kenderaan bergaya, tetapi juga satu pengalaman memandu yang pintar dan intuitif.
Sambutan awal yang cukup positif sejak tempahan dibuka membuktikan bahawa peminat automotif tempatan benar-benar teruja menantikan transformasi model popular ini.
Bukan itu sahaja, kempen pelancaran kali ini turut menyaksikan kolaborasi unik bersama kumpulan pop wanita tempatan, De Fam, yang menyumbangkan lagu tema dinamik sebagai sebahagian daripada naratif gaya hidup X50.
Gabungan antara teknologi, hiburan dan keterlibatan aktif daripada pengguna serta media menjadikan kemunculan semula SUV ini sesuatu yang dinanti dan dirasai oleh semua.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong, PROTON X50 Serba-Baharu mencerminkan usaha berterusan dalam menghasilkan reka bentuk dan teknologi automotif terbaik.
"Dengan ciri-ciri terkini, diuji ketahanan secara menyeluruh dan ditawarkan bersama pakej nilai tambah, SUV ini melangkaui jangkaan pengguna.
"Kami berhasrat menetapkan penanda aras baharu dalam segmen B, dengan pengalaman memandu yang pintar, bertenaga dan generasi seterusnya, Dibuat untuk Malaysia, Kejuruteraan Bertaraf Dunia,” ujarnya.
Lebih Pintar, Lebih Berkuasa, Lebih Canggih
Antara pembaharuan paling ketara dalam X50 Serba Baharu termasuklah rekaan luaran yang diperbaharui, lampu hadapan yang lebih tajam, serta rekaan dalaman moden yang kini menampilkan skrin infotainmen bersaiz 14.6 inci.
Ciri keselamatan turut dipertingkatkan dengan teknologi Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) Tahap 2 yang kini lebih responsif dan menyeluruh.
Turut membanggakan, PROTON X50 kini hadir dengan sistem arahan suara dalam bahasa Melayu, menjadikannya sistem pertama seumpamanya di dunia. Ini menjadikan akses kepada kawalan fungsi dalam kereta jauh lebih mudah dan inklusif buat pemandu di Malaysia.
Dari aspek prestasi, model ini kini menggunakan enjin 1.5TD i-GT turbo baharu dengan transmisi 7-kelajuan DCT. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 133kW dan tork 290Nm, dengan pecutan 0–100 km/j hanya dalam masa 7.6 saat, 0.3 saat lebih pantas daripada versi terdahulu. Penggunaan bahan api juga lebih cekap, dengan penjimatan meningkat sehingga 4.7%.
Tiga varian ditawarkan iaitu Executive, Premium dan Flagship di mana setiap satunya dirangka untuk memenuhi keperluan gaya hidup yang berbeza, daripada pemandu kasual harian hinggalah ke peminat pemanduan berprestasi.
Di samping prestasi, aspek pemilikan juga diberi perhatian. Setiap pembelian hadir bersama pakej standard merangkumi jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan enam servis upah percuma. Pengguna turut menerima naik taraf data 5 tahun dengan 2GB sebulan, satu penambahan signifikan berbanding hanya 1GB sebelum ini.
Bagi pelanggan terawal, PROTON menawarkan Tawaran GEMPAK! Eksklusif kepada 10,000 pembeli pertama yang mendaftar sebelum 31 Oktober 2025.
Kesimpulannya, PROTON X50 Serba Baharu bukan sekadar pembaharuan luaran, ia adalah simbol evolusi bagaimana sebuah jenama tempatan boleh bersaing dengan standard global tanpa mengetepikan keperluan dan citarasa rakyat Malaysia.
Untuk mereka yang mencari SUV yang seimbang dari segi kuasa, gaya, keselamatan dan Harga, X50 Serba Baharu mungkin jawapannya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments