Oleh: SORAYA AFNAN
W Kuala Lumpur bakal mengubah rentak Julai ini dengan penganjuran Leading Voices, sebuah residensi kreatif seratus peratus wanita yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Julai 2025.
Inisiatif ini bukan sahaja yang pertama di Malaysia, malah mencipta sejarah sebagai program pertama seumpamanya di dunia di bawah jenama W Hotels.
Didorong oleh semangat keberanian dan kreativiti tanpa sempadan, Leading Voices mengetengahkan suara-suara wanita yang mendefinisikan semula maksud ekspresi dalam dunia seni, muzik, tatu dan mixologi.
Dengan tema 'Art, Ink, Mixology & Music - A Weekend of Bold Expression', program dua hari ini menjadikan setiap ruang di W Kuala Lumpur sebagai kanvas untuk wanita berkarya, berkongsi inspirasi dan membentuk komuniti.
Bukan sekadar acara, Leading Voices merupakan pernyataan budaya yang meraikan kuasa wanita yang berani untuk mencipta dengan cara mereka sendiri. Di sini, tiada formula tetap, tiada batasan, dan setiap karya dipersembahkan dengan penuh keyakinan dan keaslian.
Program ini menghimpunkan gabungan artis, pemuzik, seniman tatu dan mixologist wanita yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga sedang memacu perubahan dalam bidang masing-masing.
Daripada seni tatu secara langsung, muzik genre-bending yang membangkitkan emosi, sehinggalah koktel inovatif yang dicipta khas oleh mixologist wanita, setiap momen dalam Leading Voices menjanjikan pengalaman yang menyentuh jiwa dan membuka mata.
Turut diselitkan sesi perkongsian berkonsepkan confidence talks, di mana para peserta dan pengunjung dapat mendengar sendiri cerita-cerita sebenar di sebalik semangat mereka yang luar biasa.
Kolaborasi cetus inspirasi
W Kuala Lumpur kini tidak sekadar menjadi destinasi percutian mewah, tetapi berubah menjadi pusat budaya yang meraikan keterangkuman, kreativiti dan identiti.
Dalam dunia hospitaliti hari ini, kemewahan tidak lagi hanya tentang bilik hotel yang selesa atau servis bertaraf lima bintang, tetapi juga tentang mencipta pengalaman yang bermakna dan berani.
Leading Voices memperlihatkan bagaimana hotel boleh menjadi ruang untuk komuniti berkumpul, berkarya dan memberi inspirasi antara satu sama lain.
Menurut Pengurus Besar W Kuala Lumpur, Volker Burth, Leading Voices bukan sekadar acara, tetapi ia adalah permulaan kepada gerakan baharu yang mencabar norma dan membangkitkan rasa.
Dengan memfokuskan kepada wanita-wanita yang membawa naratif unik dan suara yang tulen, W Kuala Lumpur menyampaikan mesej bahawa hospitaliti hari ini perlu lebih terbuka, ekspresif dan penuh semangat.

Antara bakat yang akan mewarnai Leading Voices termasuklah Hannah Bhatt dari The Uncanny Valley Studios, Venice Foo, dan Carelyn Chow mewakili House of Oma. Turut serta ialah Bowie Heng, Zoe Salwynn, Abby Lycc, serta dua bakat baharu Caden Chua dan Janelle Carissa.
Arena muzik pula bakal digegarkan oleh DJ Dora (Aryzeadora Rahim Dé Luz) dan DJ Lzzy (Melissa L), manakala Eliana Efendieva dan Nadia Heng membawa perspektif tersendiri dalam pengisian program.
Kesemua nama ini hadir bukan secara kebetulan, tetapi hasil kolaborasi dengan dua rakan strategik utama, House of Oma dan The Uncanny Valley Studios yang turut berkongsi visi untuk menjadikan Leading Voices sebagai platform penting untuk suara-suara baharu yang berani.
Julai ini, Leading Voices bukan sekadar akan didengari, tetapi akan dirasai dengan sepenuh hati dan jiwa. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments