Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN
ARSHELA Abdullah, yang baru sahaja dinobatkan sebagai Miss Icon Malaysia 2025, kini bersedia mewakili negara di pentas Miss Icon International 2025 yang bakal berlangsung di Phnom Penh, Kemboja dari 18 hingga 26 Mei ini.
Gadis jelita ini meluahkan rasa syukur dan semangat membara untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat global.
“Saya berbesar hati diberi peluang ini. Ini masa untuk membuktikan bahawa bakat tempatan mampu bersinar di pentas antarabangsa. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya,” katanya.
Berketurunan Iban dan Bugis dari Sarawak, Arshela membawa identiti budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa, dan menjadi contoh gadis muda yang bangga dengan asal-usulnya.
Arshela bukan pendatang baharu dalam dunia ratu cantik, sebaliknya dia telah mencipta nama menerusi gelaran Miss Petite Sarawak 2019, Miss Petite Global Borneo 2022, dan menjadi 1st Runner-Up Miss Global Asian 2025, mewakili Borneo.
Namanya juga pernah tersenarai dalam Top 21 Miss Supranational 2021, dan dia pernah memenangi Anugerah Bakat Terbaik di Miss Global Asian 2025 melalui persembahan lagu My Heart Will Go On.
Lebih daripada sekadar pertandingan, Arshela melihat dunia ratu cantik sebagai peluang untuk menyebarkan mesej positif dan memberi inspirasi, khususnya kepada wanita muda.
Miss Icon International menilai bukan hanya rupa paras, tetapi juga intelek, bakat dan sumbangan sosial. Untuk itu, Arshela kini giat menjalani latihan intensif meliputi komunikasi, pengucapan awam, persembahan bakat, catwalk serta persiapan mental dan fizikal.
Penajaan
Bagi menjayakan misi tersebut, pasukan Arshela kini sedang mengumpul sokongan daripada pihak penaja bagi menampung kos keseluruhan yang dianggarkan sebanyak RM10,500, meliputi pakaian, latihan dan perjalanan ke Kemboja.
Penaja akan menerima pendedahan melalui penampilan logo pada pakaian rasmi, liputan media sosial, serta jemputan ke acara eksklusif berkaitan pertandingan dan sambutan selepas pulang ke tanah air.
Dengan semangat juang yang tinggi dan sokongan padu rakyat Malaysia, penyertaan Arshela bukan sekadar tentang mahkota tetapi ia adalah satu usaha meletakkan Malaysia di peta dunia, melalui kekuatan budaya, intelek dan keanggunan seorang wanita muda. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments