Kate Middleton sahkan hidap kanser


PRINCESS of Wales, Kate Middleton, membuat pendedahan mengejutkan apabila memaklumkan dirinya menghidap kanser dan kini sedang menjalani rawatan kemoterapi.

Berita tersebut diumumkan Kate, 42, menerusi satu video yang dirakamkan di Windsor, United Kingdom.

Isteri kepada pewaris takhta, Putera William itu berkata, penemuan kanser itu sebagai satu kejutan besar buatnya dan keluarga.

Jelasnya, pada Januari lalu, beliau berada dua minggu di hospital selepas menjalani pembedahan di perut. Bagaimanapun, ujian berikutnya telah menunjukkan penemuan kanser.

Disebabkan itu, beliau kini berada dalam peringkat awal sesi kemoterapi pencegahan mengikut nasihat pasukan perubatan.

Kate yang kelihatan tenang mengakui beliau dan suami telah melakukan segala yang mampu untuk memproses dan menguruskan perkara itu secara peribadi demi keluarga mereka.

Beliau juga menegaskan mahukan privasi mengenai kanser sehingga anak-anak mereka, Putera George, 10, Puteri Charlotte, 8, dan Putera Louis, 5, memulakan cuti sekolah pada Jumaat.

Fokus rawatan

Tambah Kate, apa yang penting adalah untuk menjelaskan segala-galanya kepada anak-anak dan meyakinkan bahawa beliau dalam keadaan baik.

"Kami mengambil masa untuk menjelaskan segala-galanya kepada George, Charlotte dan Louis dengan cara yang sesuai untuk mereka, dan untuk meyakinkan mereka bahawa saya akan pulih.

"Seperti yang telah saya katakan kepada mereka, saya sihat dan semakin kuat setiap hari dengan memberi tumpuan kepada perkara yang akan membantu saya sembuh iaitu dalam fikiran, badan dan kerohanian saya.

"Mempunyai William di sisi saya juga merupakan sumber keselesaan dan jaminan yang hebat. Begitu juga kasih sayang, sokongan dan kebaikan yang ditunjukkan ramai dalam kalangan anda. Ia amat bermakna bagi kami berdua," ujarnya.

Kate dalam perkongsian sama, memohon orang awam untuk memahami dan memberikan masa, ruang dan privasi untuknya menjalani rawatan dan menangahi penyakit itu. Fokusnya kini adalah untuk memulihkan kesihatan.

Pengumuman Kate itu dibuat selepas beberapa hari dirinya dilihat bersama Putera William sewaktu berkunjung ke sebuah kedai berdekatan kediaman mereka di Windsor.

Terdahulu kehilangan Kate menjadi tanda tanya spekulasi umum apabila tidak pernah muncul di acara awam sejak beliau menyertai ahli keluarga diraja yang lain di gereja pada Hari Krismas tahun lalu.

Kate adalah rakyat biasa yang berkahwin dengan seorang putera raja, William pada 2011 dan sejak itu telah menjadi salah seorang kerabat diraja paling popular. - 7KLIK

Post a Comment

Previous Post Next Post