Hot Posts

6/recent/ticker-posts

KARNIVAL BERGANDA, RAI BANDAR BARU ISKANDAR PUTERI


ISKANDAR Investment Berhad (IIB), UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) dan Khazanah Nasional Berhad (KNB) akan bersama-sama menganjurkan Iskarnival 2017 untuk kali ke enam

Istimewanya pada kali ini, acara berkenaan turut diadakan bagi meraikan kejayaan Iskandar Puteri mencapai status sebagai sebuah bandar pada 22 November 2017. Iskarnival Kool akan diadakan di Puteri Harbour dari 25 hingga 26 November 2017, manakala Iskarnival Aktif pula akan diadakan dari 2 hingga 3 Disember 2017 di Kompleks Sukan EduCity. 

Pengarah Pelaburan Khazanah Nasional Berhad, Encik Selvendran Katheerayson berkata, 

“Iskarnival bertujuam untuk menggalakkan penyertaan dari kalangan komuniti tempatan di Iskandar Puteri. Iskarnival akan terus mengetengahkan peluang yang sedia ada untuk komuniti tempatan sambil mempromosikan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di Iskandar Puteri, sebagai salah satu usaha bersama ke arah mewujudkan persekitaran yang memberangsangkan di Iskandar Puteri.
 

"Tahun lalu kita telah menyambut ulang tahun ke-10 Iskandar Malaysia, tahun ini kita akan meraikan satu lagi pencapaian besar iaitu kejayaan Iskandar Puteri mencapai status bandar, yang memberikan satu dorongan serta momentum kepadanya untuk terus berkembang dan membangun.” 




Karnival kesenian dan kebudayaan Johor ini akan menyatukan seluruh anggota masyarakat  menerusi pelbagai aktiviti yang menyeronokkan, muzik dan hiburan yang bersesuaian dengan generasi muda serta keluarga, sambil menarik minat warga tempatan untuk mengalami sendiri tarikan serta apa yang ditawarkan di Iskandar Puteri. 

Iskarnival Kool, yang diterajui oleh UEM Sunrise, bakal mengetengahkan trend dan budaya pop Malaysia manakala Iskarnival Aktif, yang diterajui oleh IIB, akan memberi tumpuan terhadap aktiviti rekreasi luar dan sukan. 

Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Encik Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, 

“Iskarnival Kool dianjurkan bagi mengetengahkan peluang dalam ‘ekonomi kreatif’ yang serba baru untuk komuniti tempatan, terutama sekali warga Johor, dan mempamerkan bakat-bakat yang telah digilap di Iskandar Malaysia sejak penubuhannya 10 tahun yang lalu.  
"Kami berharap agar dapat menarik pengunjung dari segenap lapisan masyarakat untuk merasai sendiri gaya  hidup sebagaimana yang dialami oleh penduduk atau pemilik rumah, pekerja atau mereka yang sedang bercuti di Iskandar Puteri, dan berharap ia akan terus berkembang menjadi sebuah acara bertaraf antarabangsa.” 

Iskarnival Kool bakal menggalakkan lebih banyak percambahan idea dan menggalakkan penghayatan kekayaan budaya serta warisan Johor. Pengunjung-pengunjung pada masa sama akan dapat melihat kisah disebalik perkembangan Iskandar Puteri melalui pembentukan ciri-ciri serta identiti kawasan berkenaan, selaras dengan matlamatnya untuk menjadi hab kreativiti dan inovasi. 

Oleh kerana itu, karnival tersebut turut dijadikan platform untuk mempamerkan dan berkongsi idea mengenai pemerkasaan komuniti dan kehidupan yang lebih baik untuk bakat dan inisiatif tempatan. 

Dengan lebih 15 tapak acara, 1005 bakat tempatan dari seluruh Malaysia di mana sekurang-kurangnya 53 peratus adalah warga Johor; festival ini bakal menjadi tuan rumah untuk para penggiat dan penggerak pelbagai industri seperti muzik, seni tampak, makanan dan minuman, teknologi, warisan, sumber manusia dan pemeliharaan alam sekitar. 

Para pengunjung akan dihiburkan oleh Yuna, seorang penyanyi-penulis lagu bertaraf antarabangsa yang kini berpengkalan di Los Angelas dan penyanyi veteran tempatan, Sheila Majid. Persembahan muzik ini bakal disertai oleh pelbagai aktiviti luar seperti fly-boarding, giant board games dan Mini Spartan Race. Taste of Tiffin juga akan mempersembahkan sebuah bazar makanan gourmet di persiaran Puteri Harbour. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, 

“Iskarnival menyokong misi IIB untuk memacu pertumbuhan ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar di Iskandar Malaysia, serta meletakkan Iskandar Puteri di mata dunia sebagai salah sebuah destinasi pilihan bagi acara sukan, pendidikan, gaya hidup, pelaburan dan kerjaya.  
Kompleks Sukan EduCity menyediakan kemudahan sukan bertaraf dunia sesuai untuk penganjuran acara sukan antarabangsa serta konsert-konsert, dan menawarkan peluang perniagaan terbaik kepada para pemilik hak dan penganjur acara yang datang dari jauh atau dekat.  
Melalui penganjuran Iskarnival Aktif, kami turut meraikan hakikat bahawa kemudahan bertaraf dunia ini disediakan untuk kegunaan ramai.” 

Tambah Datuk Ir. Khairil lagi, 

“Iskarnival turut menyokong matlamat jangka panjang IIB iaitu memastikan pertumbuhan inklusif untuk warga Iskandar menerusi penyediaan peluang pendapatan dan pekerjaan dengan menarik lebih banyak pengunjung ke acara tempatan dan antarabangsa.  
Karnival ini menyokong misi kami dan kami telah menerima antara 80,000 hingga 100,000 pengunjung setiap tahun sejak ianya mula dianjurkan pada 2012.” 





Selain daripada Iskarnival Aktif, acara-acara sukan lain yang dianjurkan di kompleks sukan EduCity, termasuklah Sundown Marathon, The Major League Championed by Celcom, EduCity Swim Meet dan EduCity Duathlon yang akan diadakan tidak lama lagi. 

Iskarnival Aktif bakal mempersembahkan kejohanan ragbi tujuh sebelah ‘Iskandar Puteri Sevens’ yang pertama, sebuah kejohanan antarabangsa yang dianjurkan oleh Persatuan Ragbi Johor, yang akan menjadi acara tahunan dengan kategori veteran untuk peminat sukan berkenaan. 

Peminat kick-boxing juga akan dapat menikmati acara ‘Iskarnival K1 International’, sebuah pertandingan selama dua hari yang menampilkan peserta daripada Brazil, Amerika Syarikat,  Jepun, Thailand dan Malaysia. Kejohanan selama setengah hari seni mempertahankan diri campuran (MMA) juga akan diadakan di dalam stadium tertutup dengan 20 pertarungan. 

Antara acara utama lain ialah Academy of Esports (AOES) di mana rakan penganjur akan mengadakan aktiviti mendidik para peminat E-sukan dan membuka peluang kerjaya dalam industri E-sukan. 

Akhir sekali, konsert Aktif akan menampilkan persembahan artis-artis tempatan seperti Zainal Abidin, Joe Flizzow dan Alleycats. 

Masuk adalah percuma. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai ISKARNIVAL 2017, sila layari www.iskarnival.com. 

Post a Comment

0 Comments