Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[Trivia] Jins Shamsudin dalam kenangan


JASA dan sumbangan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin kepada industri hiburan tanah air sangat besar dan pemergiaannya merupakan satu kehilangan besar buat industri. 

Seniman lagenda, Jins atau nama sebenarnya Mohamed Jins bin Shamsuddin dilahirkan di Taiping, perak pada 5 November 1935 dan merupakan seorang pelakon, pengarah, penggiat seni serta pernah dilantik menjadi senator.

Allahyarham mula menceburi bidang seni selepas berjaya dalam uji bakat yang dilakukan oleh seniman agung Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1956 sebagai pelakon tambahan. 

Namanya mula dikenali ramai apabila membintangi filem Pancha Delima (1957), arahan P. Ramlee dan ia merupakan filem pertama Allahyarham memegang watak utama.

Allahyarham juga sinonim dengan gelaran James Bond Malaysia selepas membintangi filem Gerak Kilat (1966) yang menyaksikan beliau memegang watak sebagai ejen perisik, Jefri Zain.




Nama beliau semakin menyerlah sebagai hero menerusi filem-filem seterusnya seperti Kancha Permata (1966), Bayangan Ajal (1968), Jurang Bahaya (1968), Bukit Kepong (1981) dan lain-lain. 

Allahyarham kemudiannya munculd engan filem arahannya yang pertama, Bukan Salah Ibu Mengandung (1969) dan kemudiannya diikuti dengan filem Di Belakang Tabir (1970).

Sesuatu yang diingati tentang Allahyarham juga adalah ‘trademarknya’ yang gemar menggunakan perkataan ‘esok’ dalam filem arahannya seperti Menanti Hari Esok (1977), Esok Masih Ada (1979), Tiada Esok Bagimu (1980) dan Esok Untuk Siapa (1982).

Mungkin ramai yang tidak tahu, filem popular lakonan Fauziah Ahmad Daud dan Azmil Mustapha, Ali Setan (1985) juga merupakan sebuah filem arahannya.




Sepanjang aktif dalam kerjaya seninya, Allahyarham telah membintangi lebih 40 buah filem dan sempat mengarahkan sembilan buah filem pelbagai genre.

Selain bidang lakonan, Allahyarham juga berbakat dalam bidang penulisan lirik di mana salah sebuah lirik tulisannya merupakan lagu raya malar segar yang dinyanyikan oleh Fazidah Joned, Selamat Hari Raya.

Dalam bidang politik, Allahyarham pernah dilantik menjadi Senator dan merupakan anak seni pertama bergelar ahli Dewan Negara dan berkhidmat selama dua penggal (2004-2011).

Allahyarham kemudiannya berehat daripada dunia politik dan seni selepas keadaaan kesihatannya yang semakin merosot selepas disahkan mengidap Alzheimer sekitar tahun 2011.

Petang semalam, 1 Mac 2017, sekitar jam 5.45 petang, seniman lagenda ini telah pergi meninggalkan kita dan kembali ke pangkuan Ilahi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang yang beriman. - 7KLIK




BIODATA

NAMA: Mohamed Jins bin Shamsuddin
TARIKH LAHIR: 5 November 1935
ASAL: Taiping, Perak
TAHUN AKTIF DALAM SENI: 1951-2010
FILEM POPULAR: Pancha Delima, Lela Manja, Megat Terawis, Gerak Kilat, Jurang Bahaya, Bukit Kepong, Esok Masih Ada, Tiada Esok Bagimu, Esok Untuk Siapa 
PENCAPAIAN:
- Diploma in Motion Picture Technology dengan Kepujian Kelas Pertama di London Film School (1972).
- Pingat Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran ‘Datuk’ (1990)
- Kesatria Mangku Negara (KMN) daripada yang DYMM Yang DiPertuan Agong (1990)
- Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan dari Universiti Sains Malaysia (1999)
- Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri (2007)
- Anugerah Seniman Negara (2009)
- Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Utara Malaysia (2010) ketika berumur 75 tahun.
- Ahli Dewan Negara (2004-2011)

Post a Comment

1 Comments

  1. Apakah sumbangan Jins Shamsudin,boleh nyatakan Cthnya sumbangan beliau adalah mencipta buku dll

    ReplyDelete