PELAKON Amerika Syarikat, Hayden Panettiere, yang dikenali menerusi siri Heroes dan drama muzikal Nashville, meninggal dunia pada usia 36 tahun.
Pemergiannya disahkan wakil keluarga pada 16 Ogos 2026. Punca kematian masih belum didedahkan, manakala pihak berkuasa meneruskan siasatan dan proses lanjut bagi menentukan sebab serta keadaan sebenar kematiannya.
“Dengan penuh dukacita kami berkongsi berita pemergian tragis Hayden yang kami kasihi. Dia merupakan seorang yang membawa kegembiraan dan kasih sayang yang tidak terhingga kepada semua yang mengenalinya serta jutaan penonton yang menyaksikannya di layar,” menurut satu kenyataan.
Bapa mendiang, Alan ‘Skip’ Panettiere, turut memohon agar keluarga diberikan ruang dan privasi untuk melalui tempoh yang cukup menyedihkan itu.
Panettiere memulakan kerjaya dalam industri hiburan ketika masih kanak-kanak, termasuk muncul dalam iklan sebelum beralih kepada projek televisyen dan filem. Namanya kemudian melonjak menerusi
Heroes apabila dia membawakan watak Claire Bennet, seorang remaja yang memiliki kuasa luar biasa dan menjadi antara watak utama dalam siri fiksyen sains tersebut.
Peranan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai bintang televisyen sebelum dia meneruskan kejayaan menerusi
Nashville. Dalam siri drama muzikal tersebut, Panettiere memainkan watak Juliette Barnes, penyanyi muda yang melalui pelbagai konflik dalam kehidupan serta kerjayanya.
Di layar perak, Panettiere turut muncul dalam beberapa filem termasuk
Remember the Titans, Raising Helen, Ice Princess, Scream 4 dan
Scream VI. Mendiang turut meneruskan kerjaya lakonan pada tahun-tahun berikutnya, dengan antara projek terbaharunya ialah filem thriller psikologi
Sleepwalker pada 2026.
Kehidupan Peribadi
Namun, di sebalik kejayaan yang diraih sejak usia muda, Panettiere turut melalui tempoh sukar yang akhirnya dikongsikannya secara terbuka kepada umum. Ia termasuk perjuangan berdepan kemurungan selepas bersalin, ketagihan dan proses pemulihan. Pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada kisah hidup yang kemudiannya diceritakan dengan lebih terbuka menerusi memoirnya.
Antara pengalaman paling berat yang pernah dilaluinya berkait dengan anak tunggalnya, Kaya, hasil hubungannya Bersama Wladimir Klitschko, bekas juara tinju dunia dari Ukraine. Pada 2018, hak penjagaan penuh Kaya diberikan kepada Klitschko dan anak mereka kemudiannya tinggal bersama bapanya. Panettiere pada tahun-tahun berikutnya pernah bercakap mengenai keputusan tersebut serta kesan emosi yang dirasainya.
Kehidupan peribadi bintang kelahiran Palisades, New York itu turut diuji dengan kehilangan adiknya, pelakon Jansen Panettiere, yang meninggal dunia pada 2023 pada usia 28 tahun.
Kehilangan itu memberi kesan mendalam kepada Panettiere yang kemudiannya berkongsi mengenai kesedihan selepas kehilangan insan yang berada di sisinya melalui pelbagai fasa penting dalam kehidupan.
Dalam temu bual bersama program
Today terbitan NBC pada 2024, mendiang turut bercakap mengenai pemergian adiknya dan kesan kehilangan tersebut terhadap dirinya.
Pada 19 Mei 2026, Panettiere menerbitkan memoir
This Is Me: A Reckoning, yang membuka sisi peribadinya secara lebih mendalam, termasuk pengalaman membesar dalam perhatian umum, tekanan industri hiburan, kemurungan selepas bersalin, ketagihan dan pemulihan, trauma, penderaan domestik serta kehilangan.
Memoir tersebut turut menjadi ruang buat Panettiere menceritakan kehidupannya daripada perspektif sendiri selepas bertahun-tahun kisah peribadinya menjadi perhatian umum.
Pemergian Hayden Panettiere pada usia muda meninggalkan kesan kepada dunia hiburan, khususnya buat mereka yang mengikuti perjalanan hidup dan kerjayanya sejak awal. Walaupun kisahnya kini sampai ke penghujung, karya yang ditinggalkannya akan terus hidup dalam ingatan penonton.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments