Milli Bawa Jelajah Asia 2026 ke Kuala Lumpur


SETELAH mencipta nama di pentas antarabangsa dan meraih pelbagai pengiktirafan berprestij, bintang rap wanita dari Thailand, Milli, bakal mengadakan konsert solo pertamanya di Malaysia.

Persembahan itu merupakan sebahagian daripada jelajah Milli Jaa Ehh! Asia Tour 2026, yang bakal memberi peluang kepada peminat tempatan menyaksikan sendiri aksi bertenaga serta identiti muzik unik yang menjadikan Milli antara figura paling menyerlah dalam industri hip-hop Asia.

Konsert tersebut dijadual berlangsung pada 4 September 2026, jam 8 malam di Jiospace, Petaling Jaya, manakala jualan tiket bermula pada 2 Julai lalu menerusi platform Trip.com dan BookMyShow Malaysia.

Jelajah ini merupakan siri konsert solo pertama Milli di peringkat Asia yang membawanya menjelajah beberapa bandar utama termasuk Jakarta, Taipei, Singapura, Hong Kong, Bangkok, Manila, Seoul dan Kuala Lumpur.

Tiket konsert Milli Jaa Ehh! Asia Tour 2026 di Kuala Lumpur boleh didapati dengan harga RM497 (Meet & Greet), RM247 dan RM197.

Mencipta Nama di Pentas Antarabangsa

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penyanyi rap, penulis lagu dan penghibur dari Thailand itu muncul sebagai antara nama paling menyerlah dalam landskap hip-hop Asia, malah semakin dikenali di peringkat antarabangsa.


Namanya mula mencipta sejarah apabila menjadi artis Thailand pertama membuat persembahan di pentas utama Festival Muzik Coachella pada 2022. Sejak itu, Milli terus mengukuhkan pengaruhnya menerusi gaya rap yang penuh tenaga, keunikan persembahan serta keberaniannya bereksperimen dengan muzik dan identiti seni.

Tahun ini menyaksikan kariernya terus berkembang apabila merangkul tiga anugerah utama di Sound of Thailand (SOT) Music Awards iaitu Artist of the Year, Best Female Solo Artist dan Best Hip-hop/Rap/R&B Song.

Milli turut mencipta sejarah sebagai peserta bukan warga Korea pertama mara ke peringkat akhir program pertandingan rap popular Show Me The Money 12, sekali gus membuktikan keupayaannya menembusi pasaran muzik antarabangsa.

Pengaruhnya di pentas global semakin terserlah apabila dipilih sebagai wajah kempen Spotify EQUAL, selain disenaraikan oleh BBC sebagai antara 100 Wanita Paling Berpengaruh di Dunia pada 2022.

Menerusi pelbagai pencapaian yang diraih sepanjang perjalanan kariernya, tidak hairanlah Milli Jaa Ehh! Asia Tour 2026 menjadi antara jelajah yang dinantikan peminat, termasuk persembahan sulungnya yang bakal menemui peminat Malaysia September ini. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments