Pepsi Satukan Semangat Kaamatan dan Gawai Menerusi PEPSI.FM

(Dari kiri) Pengurus Jenama ERA Sabah dan ERA Sarawak, Azah Sahri; Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan; Ketua Jenama FM Astro Audio, Dhan Andreas; serta Opera mewakili KupiKupiFM | FOTO: Astro Audio News

MUSIM Pesta Menuai tahun ini diraikan dengan cara yang sedikit berbeza apabila Pepsi Malaysia memperkenalkan PEPSI.FM, sebuah inisiatif radio khas yang menghubungkan pendengar di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia menerusi sambutan Kaamatan dan Gawai.

Dibawakan oleh Etika bersama ERA Sabah & Sarawak, Cats FM dan Kupi-Kupi FM, siaran khas bertemakan 'Dari Frekuensi ke Hati, Happy Gawai Kaamatan' itu menyatukan empat stesen radio Borneo dalam satu platform selama sehari, sekali gus mewujudkan pengalaman penyiaran yang meraikan budaya, muzik dan kisah komuniti setempat.

Sepanjang siaran berlangsung, pendengar disajikan dengan pelbagai segmen yang mengetengahkan keunikan tradisi Gawai Kaamatan, termasuk penceritaan budaya, perkongsian komuniti, bual bicara serta lagu-lagu popular tempatan.

Program tersebut turut memberi ruang kepada pelbagai dialek dan bahasa yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Sabah dan Sarawak.

Antara pengisian menarik ialah penampilan artis budaya, Alena Murang, yang berkongsi usaha memelihara warisan Borneo menerusi muzik bahasa Kenyah dan Kelabit. Barisan penyanyi lagu tema Pepsi iaitu Mary Grace, Rezza Shah, Ramless Walter dan Dabra Sia turut berkongsi pengalaman mereka sepanjang pembikinan lagu dan video muzik kempen perayaan berkenaan.

Menurut Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan, sambutan Pesta Menuai yang dianjurkan Pepsi kini berkembang menjadi lebih daripada sekadar kempen bermusim.

“Di Pepsi, kami amat berbangga dapat bersama-sama meraikan kekayaan warisan budaya Malaysia Timur. Sambutan ini bukan lagi sekadar kempen perayaan, malah menjadi platform untuk mengangkat identiti, memperkukuh hubungan dan berkongsi kisah-kisah yang menjadikan Sabah dan Sarawak begitu istimewa,” katanya.

Dari Radio ke Skrin Digital

Selain siaran radio, Pepsi turut memperluaskan sambutan menerusi siri drama mini tiga episod berjudul Dua Budaya, Satu Nadi yang ditayangkan di platform digital rasmi TV Sabah bermula 14 Mei lalu.

Siri tersebut mengisahkan pertemuan Sunduan dari Sabah dan Dayu dari Sarawak ketika musim Kaamatan, sebelum mereka melalui satu perjalanan yang memperlihatkan persamaan serta keindahan dua budaya yang berbeza.

Melalui pendekatan penceritaan moden, drama itu mengangkat nilai perpaduan, persahabatan dan warisan budaya yang menjadi teras kedua-dua perayaan.


Bagi melengkapkan kempen, Pepsi turut memperkenalkan tin edisi terhad Pesta Menuai 2026 yang dihasilkan bersama artis tempatan, Mohamad Faizullah Ermi Herman dan Shirly Wong, serta pencerita budaya Charles Mawan dan Daphne Siaw.

Mengambil inspirasi daripada motif tradisional Dayak dan Murut, reka bentuk khas tersebut menampilkan elemen yang mencerminkan semangat kekeluargaan, perpaduan dan warisan masyarakat Borneo.

“Kami mahu menghasilkan sesuatu yang mencerminkan tanah air dan menunjukkan bagaimana budaya boleh disatukan,” kata Shirly Wong.

Sambutan itu turut diperluaskan ke lapangan menerusi pelbagai aktiviti komuniti dan festival di Sabah, Sarawak serta Semenanjung Malaysia. Antaranya termasuk Jelajah Kaamatan di beberapa daerah di Sabah, penyertaan dalam Borneo Native Festival di Kuala Lumpur serta acara sambutan Gawai di Sarawak sepanjang Jun.

Pepsi juga bekerjasama dengan beberapa rangkaian restoran termasuk The Chicken Rice Shop, Domino's Pizza, Uncle Bob dan Jollibee bagi menawarkan barangan eksklusif edisi terhad kepada pelanggan terpilih sepanjang musim perayaan.

Melalui gabungan siaran radio, kandungan digital dan aktiviti komuniti, kempen ini bukan sahaja meraikan Kaamatan dan Gawai, malah menjadi platform untuk memperkenalkan kekayaan budaya Malaysia Timur kepada khalayak yang lebih luas.


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments