Maximillian Lancar Album ‘I’m Fine’, Luah Perjalanan Emosi Paling Peribadi

Maximillian kembali dengan karya paling peribadi yang menyelami emosi dan pengalaman hidup melalui muzik | FOTO: Jannick Børlum 

SELEPAS mencatat lebih 800 juta penstriman global serta mengukuhkan kedudukannya sebagai artis dengan pengikut setia di Asia Tenggara, China, Eropah dan pelbagai pasaran antarabangsa lain, penyanyi pop asal Denmark, Maximillian, kini kembali dengan album ketiganya, I’m Fine.

Menampilkan 13 lagu, album ini menyelami pelbagai perasaan yang sering sukar diluahkan secara terbuka termasuk keresahan, patah hati, tekanan, cinta dan keletihan emosi. Ia turut memperlihatkan sisi Maximillian dalam menterjemahkan pengalaman hidup yang kompleks melalui muzik.

Bersempena pelancarannya, penyanyi ini turut memperkenalkan video muzik rasmi untuk lagu utama I’m Fine yang dihasilkan dalam format satu rakaman berterusan (one-take) yang minimalis dan intim. Pendekatan visual ini menonjolkan sisi rapuh serta ketegangan emosi yang menjadi nadi utama kepada karya tersebut.

Melalui rakaman berterusan dan pergerakan visual yang teliti, video tersebut menggambarkan bagaimana tekanan dalaman diterjemahkan ke dalam bahasa visual yang lebih sinematik.

Berteraskan pengalaman peribadi, album ini menjadi antara karya paling jujur dalam katalog muzik Maximillian. Ia lahir daripada pengalaman berdepan serangan panik dan keletihan emosi, di samping refleksi terhadap bagaimana seseorang sering menyembunyikan keresahan di sebalik senyuman.

“Saya selalu berkata ‘saya okay’ ketika berdepan kebimbangan dan serangan panik. Saya cuba menyembunyikannya dan terus tersenyum supaya orang lain tidak terlalu risau,” katanya.

Album ini ditulis di Copenhagen dan Los Angeles bersama penerbit Karl-Frederik serta pasukan kreatif rapatnya. Hasilnya, ia bergerak merentasi pelbagai spektrum emosi daripada balada intim, pop bertenaga hingga produksi sinematik yang menyatukan keseluruhan naratif muziknya.

Sebelum pelancaran penuh album, Maximillian terlebih dahulu memperkenalkan beberapa single termasuk Day & Night, Paramour, She’s Missing, Best Of Me dan Lifetimes Away yang membuka lapisan berbeza dalam dunia emosi projek ini.

Setiap Lagu Mewakili Sebuah Kisah

Dalam album ini, Maximillian menyusun perjalanan emosi yang berlapis, dengan setiap lagu mewakili momen, memori atau perasaan berbeza.

Lagu pembukaan Talking About Us mengangkat kisah patah hati dan keraguan selepas perpisahan, manakala Honest Too menyentuh kesukaran memahami emosi dalam hubungan moden. Day & Night dan Paramour pula membawa sisi lebih ringan dan romantik, memberi keseimbangan kepada nada keseluruhan album.

Beberapa lagu turut lahir daripada pengalaman orang sekelilingnya. She’s Missing diinspirasikan daripada kisah kehilangan hubungan selama 11 tahun, manakala Home berakar daripada pengalaman seorang rakan yang kehilangan ibu akibat kanser.

Dalam masa sama, Good Life dan Worth The Wait membawa elemen harapan, persahabatan dan kelegaan emosi, sementara Hate To Say, Best Of Me dan Where Do We Go From This menyentuh hubungan yang semakin renggang serta emosi yang tidak selesai.

Salah satu sorotan utama album ini ialah Lifetimes Away yang menampilkan ikon pop Denmark, Medina. Duet sinematik itu mengangkat kisah cinta yang mustahil, tentang dua insan yang bertemu pada waktu tidak tepat.


Album ini kemudian ditutup dengan lagu I’m Fine, yang menjadi kemuncak emosi keseluruhan projek. Diilhamkan daripada sensasi fizikal ketika mengalami serangan panik, lagu ini dibina dengan lapisan bunyi yang semakin memuncak serta tekstur yang sengaja dibiarkan tidak selesa bagi menyampaikan keresahan itu secara terus kepada pendengar.

“Saya mahu pendengar benar-benar merasai ketidakselesaan itu, terutamanya mereka yang tidak pernah mengalami kebimbangan sebelum ini,” ujarnya.

Lebih daripada sekadar album, I’m Fine juga menjadi ruang untuk Maximillian memproses perjalanan hidupnya sendiri.

“Album ini mencerminkan satu tempoh dalam hidup saya apabila penulisan lagu menjadi cara untuk memproses emosi, hubungan dan pengalaman yang sedang saya lalui. Setiap lagu terasa seperti sesuatu yang perlu saya luahkan atau lepaskan daripada diri saya,” jelasnya.

Dengan gabungan kisah peribadi, produksi pop sinematik dan tema yang dekat dengan realiti kehidupan moden, I’m Fine memperlihatkan sisi Maximillian paling jujur setakat ini. Ia bukan sekadar album pop, tetapi catatan emosi yang mengingatkan bahawa di sebalik ungkapan ringkas "I’m fine”, sering tersembunyi cerita yang tidak pernah diluahkan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments