Taylor Swift: ‘The Streaming Event of an Era’ Eksklusif di Disney+ Hari Ini


SELEPAS pelancaran album terbaharunya, The Life of a Showgirl,  yang mencatat sejarah dengan lebih 4 juta unit setara album di AS baru-baru ini, pemenang 14 kali GRAMMY, Taylor Swift kembali ke Disney+ dengan dua projek baharu yang memberikan akses eksklusif ke dunia di sebalik jelajah fenomena globalnya, The Eras Tour.

Disney+ bakal menayangkan dua judul utama iaitu Taylor Swift|The Eras Tour|The End of an Era, sebuah siri dokumentari enam episod yang merakam pembangunan, impak serta proses kreatif yang membentuk fenomena The Eras Tour; dan Taylor Swift|The Eras Tour|The Final Show, filem konsert penuh yang buat pertama kali menampilkan segmentasi The Tortured Poets Department. Kedua-duanya akan mula distrim pada 12 Disember secara eksklusif di Disney+.

Taylor Swift|The Eras Tour|The End of an Era membuka ruang pandang yang lebih intim terhadap kehidupan Taylor ketika jelajah ini mencetus sensasi dan menjadi tajuk utama di seluruh dunia.

Siri ini turut memberi tumpuan kepada barisan penari, ahli keluarga dan rakan-rakan rapat termasuk Gracie Abrams, Sabrina Carpenter, Ed Sheeran dan Florence Welch yang berkongsi perspektif baharu tentang apa yang diperlukan untuk melahirkan sebuah fenomena global. Dua episod akan ditayangkan setiap minggu bermula hari ini.

Selain itu, Taylor Swift|The Eras Tour|The Final Show, yang dirakam di Vancouver, B.C., turut ditayangkan pada hari sama. Filem konsert penuh ini merakam persembahan malam terakhir jelajah tersebut, termasuk keseluruhan segmen The Tortured Poets Department yang ditambah ke dalam 'setlist' selepas album itu dilancarkan pada 2024.

Taylor Swift|The Eras Tour|The End of an Era diarahkan oleh Don Argott, dengan Sheena M. Joyce sebagai pengarah bersama, dan diterbitkan oleh Object & Animal. Sementara Taylor Swift|The Eras Tour|The Final Show pula diarahkan oleh Glenn Weiss dan diterbitkan oleh Taylor Swift Productions bersama Silent House Productions.   

Tayangan eksklusif ini memberi peluang kepada peminat Taylor Swift untuk menyelami lebih dekat perjalanan The Eras Tour, menikmati detik-detik ikonik yang jarang didedahkan dan merasai sendiri pengalaman konsert epik tanpa perlu meninggalkan ruang tamu.

Dua projek ini bukan sekadar dokumentari dan filem konsert, tetapi juga sebuah penghargaan kepada dedikasi Taylor dan semua yang terlibat dalam menjadikan jelajahnya satu fenomena global yang tiada tandingan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

إرسال تعليق

0 تعليقات