| Bertemu cinta sejati, Sissy dan Dr Zamir kini suami isteri |
PENYANYI dan pengacara, Sissy Imann, melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya selepas selamat diijabkabulkan dengan pilihan hati, Dr. Zamir Hilman Hamzah, 41, dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung penuh makna di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, pada jam 9 pagi Jumaat.
Sissy, 30, telah dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohammad Kamil Mustaffa dengan sekali lafaz, menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas bernilai RM6,840. Sementara jumlah wang hantaran tidak didedahkan atas permintaan keluarga.
Majlis tersebut turut disempurnakan dengan pertukaran hantaran, di mana pihak pengantin lelaki menghadiahkan tiga dulang berbalas lima daripada pihak pengantin perempuan.
Antara yang paling mencuri tumpuan ialah nombor plat khas ‘SIS5795’, gabungan simbolik nama Sissy dan tahun kelahirannya, 1995. Namun, jenis kenderaan yang bakal menggunakan nombor plat tersebut masih dirahsiakan.
Sebelum upacara akad nikah, pasangan ini terlebih dahulu mengadakan majlis pertunangan yang menyaksikan Sissy menerima tiga bentuk cincin berlian sebagai tanda ikatan.
Pasangan pengantin baharu ini memilih Rome, Itali sebagai destinasi bulan madu, sebuah pilihan romantik yang seiring dengan momen baharu dalam kehidupan mereka.
Perjalanan cinta mereka bermula dengan cara yang tidak disangka. Dr. Zamir merupakan doktor yang merawat Sissy ketika penyanyi itu mendapatkan rawatan pada awal tahun ini.
Hubungan yang bermula sebagai interaksi profesional antara doktor dan pesakit akhirnya berkembang menjadi persahabatan mesra sebelum bertukar menjadi cinta yang matang dan bermakna. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات