PELAKON dan penyanyi Erra Fazira, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan Ezwan Zain, 44, selepas pasangan itu dinikahkan dengan sekali lafaz sekitar jam 9.20 pagi Jumaat.
Majlis ijab kabul berlangsung dalam suasana tenang dan penuh harmoni, disaksikan kira-kira 300 tetamu merangkumi ahli keluarga serta rakan terdekat di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, Shah Alam.
Pada majlis bersejarah itu, Erra atau Fazira Wan Chek, 51, menerima mas kahwin sebanyak 24 dinar yang dihadiahkan dalam bentuk pohon bunga emas seberat 102 gram, melambangkan ikatan cinta dan penghargaan mendalam pasangan ini.
Keunikan majlis turut terserlah apabila kedua-dua pengantin memilih talam untuk membawa barangan hantaran yang terdiri daripada barangan peribadi seperti beg tangan, jam tangan, wangian dan barang kemas termasuk sebentuk cincin Cartier dianggarkan bernilai RM80,000 yang mencuri tumpuan ramai.
Erra tampil anggun dalam persalinan tradisional biru muda rekaan Rizman Ruzaini, sementara Ezwan menyerlahkan gaya serasi di sisinya. Kedua-duanya ditemani anak gadis masing-masing daripada perkahwinan terdahulu, yang turut menjadi saksi momen bermakna ini.
Ini merupakan perkahwinan kali ketiga Erra di mana sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan anggota kumpulan KRU, Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, sebelum bercerai pada 2006.
Erra kemudiannya berkahwin sekali lagi dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007, namun jodoh mereka tidak Panjang dan sah bercerai pada 18 Februari 2014. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Engku Aleesya, 16.
Sementara Ezwan atau Mohamad Ezwan Mohamad Zain pula sudah lapan tahun bergelar bapa tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan, Dania Sofia, yang seusia dengan Engku Aleesya.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 تعليقات