PELANCARAN aplikasi OTT (over-the-top) TVS Inspire pada 25 Oktober lalu membuka lembaran baharu buat TVS dalam memperkukuh kedudukannya sebagai platform digital utama yang meraikan visi, kreativiti dan pencapaian Sarawak. Dibangunkan untuk penonton moden yang sentiasa bergerak ke depan, aplikasi ini memberikan pengalaman menonton yang lebih lancar, interaktif dan mudah diakses di mana sahaja.
Dengan paparan kandungan yang kemas dan intuitif, TVS Inspire menghimpunkan semua siaran TVS dalam satu ruang iaitu daripada siaran langsung, program on-demand, dokumentari, berita, hinggalah ke hiburan eksklusif.
Semuanya boleh dinikmati terus melalui Apple Store dan Google Play Store, menjadikannya pintu masuk utama kepada dunia TVS untuk penonton di seluruh dunia.
Pelancaran ini sekali lagi mengukuhkan peranan TVS sebagai penyiar terkemuka Sarawak yang menghubungkan komuniti global dengan cerita, bakat dan budaya Bumi Kenyalang.
Penonton hanya perlu memuat turun aplikasi TVS Inspire untuk menikmati hiburan tanpa had, terus di hujung jari.
Twins Championship 103, Malam Gala AIFFA 2025
Sebagai tanda komitmen TVS dalam menghadirkan pengalaman hiburan premium, TVS Inspire bakal menyiarkan dua acara eksklusif secara langsung pada 15 November 2025 (Sabtu).
Dua dunia berbeza, sukan tempur dan sinema Asia akan berlangsung serentak, semuanya boleh ditonton di platform yang sama.
Twins Championship 103 membuka tirai dengan aksi tinju amatur bermula jam 9 pagi, sebelum diteruskan dengan perlawanan profesional dari 7.30 malam hingga 11.30 malam.
Peminat sukan tempur pastinya menantikan pertarungan sengit antara Kilat Boy (Malaysia) dan Yenson Mustamu (Indonesia), yang dijangka menjadi kemuncak malam tersebut.
Siaran langsung boleh ditonton melalui aplikasi TVS Inspire atau di platform Facebook, YouTube dan TikTok TVS Entertainment.
Pada malam sama,
Malam Gala AIFFA 2025 akan bersiaran bermula 9 malam. Acara berprestij ini bakal menampilkan kemunculan ikon filem Hong Kong, Simon Yam, serta diva pop Indonesia, Ruth Sahanaya iaitu dua nama besar yang memeriahkan sebuah malam penuh glamor, penghargaan dan apresiasi sinema Asia.
Siaran juga boleh diikuti melalui aplikasi TVS Inspire, selain di Saluran 122 Astro, MYTV dan Unifi TV.
TVS Inspire Perluaskan Horizon Hiburan
Sebagai aplikasi yang terus berkembang, TVS Inspire menampilkan lebih banyak kandungan yang merentasi pelbagai genre dan sempadan, daripada produksi Sarawak hinggalah pilihan antarabangsa.
Dengan penawaran program menarik yang pelbagai, TVS memperkukuh kedudukannya sebagai platform penyiaran yang dinamik, relevan dan inklusif.
Bermula Disember nanti, penonton juga boleh menyaksikan siaran SEA Games Thailand 2025 secara langsung menerusi aplikasi ini, membawa pengalaman sukan serantau terus kepada jutaan penonton di seluruh Asia Tenggara.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments