Hot Posts

6/recent/ticker-posts

'Tanda Kasih’ - Sebuah OST Sarat Jiwa Untuk Penghukum: Nusantara Assassin


SELAIN sarat dengan mesej kemanusiaan di layar, filem Penghukum: Nusantara Assassin turut diperindah dengan lagu runut bunyi (OST) berjudul Tanda Kasih, sebuah karya yang menggabungkan spiritual, introspeksi dan sentuhan moden.

Dinyanyikan oleh Dr. Haji Halim Ikhsan bersama Kmy Kmo yang turut menggubah lagu itu bersama Luca Sickta, Tanda Kasih hadir sebagai karya istimewa yang mencerminkan perjalanan batin dan pencarian makna dalam kehidupan.

Menurut Kmy, lagu ini tercipta daripada renungan rohani tentang seorang insan yang kembali mencari ketenangan selepas melalui episod ujian yang mematahkan semangat. Lirik lagu itu disifatkan sebagai cerminan kasih dan rahmat Ilahi yang menjadi penyembuh segala resah.

"Antara bait paling menyentuh ialah 'Lekak-lekuk, kusut-murut, yang hanya singgah tuk sementara, tanda kasih-NYA,” ujar komposer dan penyanyi berbakat itu penuh teruja.

Jelas Kmy, mesej tersebut mengingatkan bahawa setiap ujian dan kehilangan bukanlah hukuman, tetapi tanda kasih sayang Tuhan kepada hamba-NYA.  Proses penulisan bersama Dr. Haji Halim Ikhsan pula melengkapkan dimensi spiritual yang ingin disampaikan.

Spiritual & Realiti Moden

Penghukum: Nusantara Assassin, terbitan Terang Films dan PMD Production, akan menemui penonton di pawagam bermula 20 November ini.

Ia mengisahkan Dzul, seorang datuk yang membesarkan cucunya Yasmin, sebelum hidupnya terhenti seketika apabila Yasmin diculik oleh Zahin. Dalam perjalanan menuntut semula keadilan, penonton akan mengetahui identiti sebenar Dzul sebagai Salahuddin, bekas anggota kumpulan pembunuh upahan rahsia bernama Bookmaker di bawah organisasi misteri Pustakalayah.


Tema keinsafan, dendam dan pengampunan dalam arahan Azlan Norani itu bergerak seiring dengan mesej Tanda Kasih, yang menjadi gema kepada perjalanan rohani watak utama, daripada kelam masa silam menuju sinar taubat dan rahmat Tuhan.

Dengan gabungan elemen spiritual dan bunyi moden yang introspektif, Tanda Kasih bukan sekadar sebuah OST, tetapi potret jujur tentang jiwa manusia yang mencari makna kasih dan kembali kepada asalnya. Keaslian emosi ini menjadikan lagu tersebut sebagai refleksi mendalam, bukan sekadar karya dakwah.

Dedikasi Buat Pendengar

Dalam perkongsian mereka, Dr. Haji Halim Ikhsan dan Kmy Kmo menzahirkan penghargaan kepada semua pendengar atas sokongan yang tidak pernah putus.

“Jika ALLAH masih memberi rasa untuk kembali kepada-NYA, itulah tanda kasih sebenar,” kata mereka dalam dedikasi penuh makna.

Tanda Kasih diedarkan secara rasmi oleh Luncai Emas, yang juga bertindak sebagai pentadbir hak cipta. Sementara itu, Kmy Kmo, Luca Sickta dan Dr. Haji Halim Ikhsan merupakan komposer serta penulis lirik eksklusif di bawah naungan label tersebut.

Lagu ini telah dilancarkan pada 7 November di saluran YouTube Luncai Emas, dan kini boleh distrim di semua platform digital utama. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments