HOLLWOOD kehilangan salah seorang bintang legendanya apabila Robert Redford dilaporkan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Sundance, Utah, Amerika Syarikat pada Selasa (waktu tempatan).
Berita tersebut disahkan oleh firma publisiti Rogers & Cowan PMK melalui kenyataan Cindi Berger.
"Robert Redford meninggal dunia pada 16 September di kediaman yang menjadi tempat yang paling dicintai dan dikelilingi insan-insan tersayang," ujarnya dalam satu kenyataan.
Sepanjang hayatnya, Redford, 89, membimbing dunia filem dengan gabungan bakat lakonan, pengarahan dan semangat memperjuangkan perkara-perkara yang lebih besar dari dirinya sendiri.
Kerjaya mendiang berkembang menerusi, filem-filem ikonik seperti
Butch Cassidy and the Sundance Kid (1969),
The Sting (1973),
All the President’s Men (1976) dan
Out of Africa (1985). Malah pada era 1970-an dan 1980-an, mendiang disebut sebagai antara pelakon lelaki paling terkenal di Hollywood dengan kejayaan filem-filem lakonannya.
Legasi Filem dan Aktvisme Kekal Abadi
Dalam bidang pengarahan pula, Redford meraih kejayaan terbesar menerusi
Ordinary People (1980) yang meraih empat Oscar, termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.
Lebih daripada itu, mendiang adalah pengasas bersama Sundance Institute dan Festival Filem Sundance yang ditubuhkan pada 1981, sebuah platform yang membuka laluan untuk pembikin filem bebas serta karya-karya luar
mainstream mendapat pengiktirafan global.
Melalui usaha tersebut, Redford berjaya membantu melahirkan generasi pengarah era moden seperti Quentin Tarantino, Darren Aronofsky dan Ava DuVernay, selain memperkasa suara yang mungkin tidak mendapat peluang jika bergantung hanya pada studio besar.
Tidak hanya itu, mendiang juga aktif dalam isu alam sekitar dan sosial menjadikannya bukan sekadar bintang filem, tetapi juga seorang aktivis berpengaruh.
Walaupun sudah bersara daripada dunia lakonan sejak beberapa tahun lalu, impaknya terus hidup baik dalam filem, festival, aktivisme dan dalam hati peminat serta pejuang seni dan alam sekitar di seluruh dunia.
Redford meninggalkan seorang isteri, Sibylle Szaggars, dua anak perempuan iaitu Shauna dan Amy serta tujuh cucu.
Kehilangannya dirasai bukan saja oleh mereka yang mengenali mendiang secara peribadi, tetapi juga seluruh masyarakat antarabangsa yang terinspirasi oleh keberanian, integriti dan keindahan karya-karyanya.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments