PEMPENGARUH, pelakon dan penyanyi Agy sekali lagi bersedia memikat hati peminat dengan pelancaran single terbaharu berjudul Buru-Buru.
Dikenali dengan personaliti yang dinamik di media sosial serta karier lakonan yang semakin meningkat, Agy kini melangkah lebih jauh ke dunia muzik dengan membawa sentuhan baharu yang lebih peribadi.
Lagu Buru-Buru hadir dengan gabungan emosi mendalam dan melodi yang memikat, mengisahkan tentang cinta serta kesabaran. Ia mengajak pendengar untuk tidak terburu-buru dalam hubungan, sebaliknya menghargai setiap detik bersama insan tersayang. Karya ini menjadi simbol bab baharu dalam perjalanan muzik Agy yang penuh cabaran dan warna.
Sebelum ini, Agy atau nama sebenarnya Muhammad Affizy Mohd Khairy, mencatat pelbagai kejayaan di platform media sosial. Antara pencapaian terbesarnya adalah kemenangan Malaysia TikTok Award 2024 untuk kategori Video of the Year, selain meraih jutaan tontonan di TikTok dan Instagram menerusi kempen viral yang menjadikannya salah seorang selebriti media sosial paling berpengaruh ketika ini.
Evolusi Muzikal, Sentuhan Peribadi
Bagi selebriti berusia 30 tahun ini, Buru-Buru bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya bukti kepada perkembangan citarasa muziknya dan kematangan sebagai seorang penyanyi.
Single ini memperlihatkan genre baharu yang begitu dekat dengan emosi serta pengalaman peribadi, digabungkan dengan vokal dan gaya unik yang sudah menjadi identitinya.
“Saya suka bereksperimen dengan bunyi dan genre yang berbeza. Lagu ini mewakili perkembangan peribadi saya, bukan sahaja sebagai artis tetapi juga sebagai manusia.
"Ia adalah gambaran tentang apa yang saya rasa dan apa yang saya percaya iaitu pentingnya kesabaran dan menikmati cinta serta setiap detik dalam hidup. Saya mahu peminat merasai hubungan itu apabila mendengar lagu ini,” jelasnya.
Buru-Buru turut menampilkan sisi peribadinya yang kuat melalui lirik penuh makna. Walaupun kelihatan ringkas, mesejnya menyentuh soal cinta, masa yang tepat dan erti kesabaran.
Agy memastikan setiap butiran lagu ini bukan sahaja kedengaran catchy, tetapi juga tulen dan dekat dengan jiwa.
Tambahnya lagi, mesej utama lagu ini adalah peringatan bahawa cinta wujud di sekeliling kita dalam pelbagai bentuk, sama ada dalam hubungan istimewa, persahabatan, atau bahkan dalam diri sendiri.
“Cinta itu layak untuk ditunggu dan tidak seharusnya tergesa-gesa. Lagu ini adalah untuk mereka yang pernah terburu-buru lalu menyesal, dan juga untuk mereka yang tahu bahawa cinta serta hidup lebih indah apabila dijalani dengan kesabaran,” katanya.
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات