Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN
KUMPULAN lelaki pertama di bawah Rocketfuel Entertainment, ALPHA, sedang menikmati detik kegemilangan mereka.
Sejak dilancarkan pada 18 Julai lalu, single baharu mereka berjudul P.Ramlee Saloma bukan sahaja mencuri perhatian sebagai OST drama popular, malah terus melonjakkan nama kumpulan ini sebagai antara pendatang baharu paling menyerlah dalam industri muzik tempatan.
ALPHA yang dianggotai oleh Rizal Rasid, Araff, Daniel Sher, Ray-D, Izat Ibrahim, Afiq Sky dan Ariel Fesol mula dikenali menerusi program realiti Big Stage Alpha.
Selepas kejayaan Monalisa (Bang Bang), mereka membuktikan bahawa momentum itu bukan sekadar kebetulan apabila tampil dengan single kedua berkonsep balada moden yang cukup menyentuh hati pendengar.
“P.Ramlee Saloma diinspirasikan kisah cinta agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma. Saya sangat bangga kerana lagu ini berjaya meraih jutaan strim. Sokongan peminat buat saya benar-benar terharu,” ujar Rizal Rasid.
Hanya dalam tempoh dua bulan, lagu ini telah mencatat lebih 22 juta capaian digital di pelbagai platform. Angka tersebut jelas membuktikan bahawa muzik ALPHA bukan sekadar hadir untuk memeriahkan, tetapi benar-benar meninggalkan impak.
“Bila nampak lagu trending, semangat saya naik. Kami akan terus hasilkan karya lebih baik,” tambah Araff.
Hadiah Istimewa Buat Peminat
Bagi menghargai sokongan yang tidak putus, ALPHA melancarkan muzik video (MV) rasmi P.Ramlee Saloma pada 19 September 2025 di saluran YouTube Rocketfuel Network.
MV tersebut hadir dengan sentuhan romantik, visual moden dan sinematografi yang indah, seakan simbol cinta mereka kepada peminat yang sentiasa berdiri di belakang perjalanan muzik ini.
“MV ini lahir dari hati kami untuk peminat. Ia pemangkin untuk hasilkan visual lebih mantap selepas ini. Paling best bila baca komen kata lagu ini menyentuh hati mereka. Itu motivasi kami terus berkarya,” kata Daniel Sher & Ray-D.
Sementara itu, Izat, Afiq Sky dan Ariel Fesol pula menyampaikan ucapan terima kasih buat semua yang menonton, menstrim dan berkongsi lagu tersebut. Mereka menyifatkan kejayaan ini sebagai milik peminat sepenuhnya.
“Baru dua single, kami sudah capai tahap ini. Sokongan peminat jadi kekuatan utama ALPHA dan menjadikan langkah kami bermakna. Jangan berhenti strim dan terus sebarkan muzik kami,” ujar mereka.
Dengan pencapaian luar biasa hanya melalui dua single, ALPHA bukan sekadar membuktikan kemampuan mereka dalam menyanyi, tetapi juga memberi isyarat bahawa mereka sudah bersedia untuk mewarnai industri dengan muzik yang lebih segar dan berani. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات