Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Squid Game: Musim ketiga - Siapa yang akan bertahan?

| FOTO: Netflix

NETFLIX akhirnya melancarkan treler utama dan imej eksklusif untuk Squid Game musim ketiga menerusi acara global Tudum 2025 di Los Angeles, menampilkan kelibat bintang dari musim kedua dan ketiga serta ribuan peminat setia.

Sebagai musim terakhir, siri ini dijangka menjadi yang paling ganas dan emosional setakat ini. Dengan hadiah sebanyak 45.6 bilion won dipertaruhkan, pertanyaan paling besar masih kekal,  siapakah yang akan bertahan hingga ke akhir?

Treler dibuka dengan suasana suram dan bunyi lagu kanak-kanak yang menyeramkan, diiringi kemunculan semula patung gergasi Young-hee dalam versi lebih menggerunkan.

Visual peserta yang ketakutan bersembunyi di belakang patung itu segera mengingatkan penonton kepada trauma musim pertama, menggabungkan elemen nostalgia dengan ancaman maut.

Musim ini terus menyelami konflik dalaman watak-watak yang terselamat, terutamanya Gi-hun, yang masih dihantui kisah silam. Dia kini berada di ambang pertembungan akhir dengan Front Man, watak misteri yang akhirnya muncul tanpa topeng, membawa naratif ke tahap yang lebih gelap dan rumit.

Cabaran baharu turut diperkenalkan, termasuk permainan lompat tali versi maut yang menguji kekuatan fizikal dan mental para peserta.

Ketegangan terus memuncak apabila ramai watak mula hilang arah, merayu agar permainan dihentikan, manakala yang lain nekad untuk terus berjuang walau nyawa jadi taruhan.

Beberapa imej eksklusif menunjukkan watak-watak seperti Gi-hun, Myung-gi, Dae-ho dan Hyun-ju berada dalam situasi penuh risiko, dengan ekspresi wajah yang mencerminkan tekanan dan putus asa.

Front Man pula tampil misteri dengan tag nombor baharu, memberi bayangan akan kisah lampau yang bakal dibongkar.



Kejutan paling besar hadir menerusi kemunculan semula Gyeong-seok yang sebelum ini dipercayai mati akibat tembakan dalam pemberontakan, kini kembali dengan luka di perut, berhadapan dengan seorang Pink Guard.

Spekulasi pun tercetus tentang kemungkinan misi balas dendam atau rahsia lebih besar yang bakal terbongkar.

Di sisi lain, detektif Jun-ho kembali menyiasat simbol-simbol pelik dalam permainan, membawa penonton lebih dekat kepada kebenaran yang tersembunyi sejak awal siri ini.

Squid Game musim ketiga akan menemui penonton seluruh dunia pada 27 Jun 2025, sekali gus menutup lembaran akhir siri fenomena ciptaan Hwang Dong-hyuk yang menggegarkan budaya pop global dan memecahkan rekod tontonan termasuk menjadikan musim kedua sebagai antara tiga kandungan paling banyak ditonton dalam sejarah Netflix. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

إرسال تعليق

0 تعليقات