Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Shopee perkasa usahawan wanita Malaysia tembusi pasaran global di WiEX 2025

(Dari kiri) Shah Nizam Ahmad, Timbalan Pengarah MATRADE; Saovanee Chan-Somchit, Ketua Pembangunan Perniagaan di Shopee Malaysia; Mansor Shah Wahid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Pengeksport, MATRADE; Johan Norazman, Ketua Pegawai Strategi Nazsoft Tech; dan Carmen Chooi, Pengasas Bersama City Coin Chem | FOTO: Shopee

USAHAWAN wanita Malaysia terus mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa, hasil sokongan platform digital dan kerjasama erat dalam ekosistem perdagangan.

Pencapaian ini menjadi antara fokus utama Forum Women in Export (WiEX) 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada 10 Jun lalu di Menara MATRADE, Kuala Lumpur.

Acara ini menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri dan pemain utama e-dagang untuk membincangkan strategi praktikal membantu perniagaan milik wanita melangkah ke pasaran global.

Salah satu sesi tumpuan forum ialah perbincangan bertajuk 'Mengakses Pasaran Global melalui Platform Digital', yang menampilkan Shopee Malaysia sebagai panel jemputan.

Dalam sesi tersebut, Ketua Pembangunan Perniagaan Shopee Malaysia, Saovanee Chan-Somchit mendedahkan bagaimana e-dagang membuka ruang kepada lebih ramai wanita untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya, Shopee bekerjasama rapat dengan ratusan ribu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia, dan satu pertiga daripadanya diketuai oleh wanita.

“Kami menyaksikan sendiri bagaimana usahawan wanita menunjukkan semangat luar biasa dalam mengatasi kekangan seperti kurang akses kepada latihan digital, tanggungjawab penjagaan keluarga, serta risiko pasaran baharu. 

"Peranan kami ialah menyediakan alat, infrastruktur dan bimbingan yang sesuai agar mereka dapat berkembang mengikut keperluan mereka,” katanya.

Shopee memperkenalkan dua program eksport utama membantu penjual tempatan mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara.

🔹 Shopee International Platform (SIP)
Telah membantu lebih 30,000 penjual tempatan menembusi pasaran seperti Singapura, Filipina dan Thailand, dengan purata 20,000 pesanan eksport diproses setiap hari.

🔹 Malaysia-Singapore (MY-SG) Direct 
Memberikan kawalan penuh kepada penjual untuk mengurus kedai mereka di Shopee Singapura termasuk harga, produk dan promosi. Kini lebih 5,000 penjual aktif dengan 10,000 pesanan harian.

Kedua-dua program ini menawarkan logistik bersepadu, pemprosesan pembayaran, khidmat pelanggan dan akses kepada kempen eksklusif sekali gus membuka peluang baharu kepada jenama tempatan untuk berkembang melangkaui sempadan. 

Inspirasi wanita berjaya

Dalam pada itu, forum ini turut mengetengahkan beberapa kisah kejayaan wanita Malaysia yang berjaya membina jenama mereka di luar negara melalui Shopee.

🔹 Karen Ng Pei Voon (Audio King - Jenama elektronik tempatan, Mogad)
Selepas menyertai program MY-SG Direct, perniagaannya mencatat peningkatan hasil sebanyak sepuluh kali ganda dalam tempoh enam bulan, hasil penambahbaikan berterusan dalam senarai produk dan penyertaan dalam kempen bersasar.

🔹 Purani Selvaratnam (Jenama keperluan bayi, Joey & Mom)
Dengan memanfaatkan sistem logistik dan pemasaran Shopee, jenama ini berjaya menembusi pasaran Singapura walaupun beroperasi sepenuhnya dari Malaysia yang membuktikan bahawa e-dagang digital boleh melengkapi tanggungjawab keluarga dan aspirasi perniagaan.

🔹 Sheryn Chin (Makanan bayi)
Bermula dari rumah, kini perniagaan Sheryn mencatat ratusan pesanan eksport setiap bulan. Walaupun berdepan cabaran awal dengan prosedur kastam rentas sempadan dan kesukaran onboarding di platform lain, dia menemui solusi melalui program MY-SG Direct Shopee. Kini Sheryn berkongsi pengalamannya sebagai jurulatih bertauliah Shopee Xpert dan mentor kepada usahawan wanita yang lain. 

Lebih banyak peluang

Shopee terus komited menjadikan e-dagang inklusif untuk semua. Melalui kerjasama rapat dengan agensi seperti MATRADE, ia menyokong strategi pembangunan eksport yang lebih tersusun, berskala dan mampan, khususnya  untuk perniagaan wanita dan komuniti luar bandar.

Menurut Saovanee, gabungan pengalaman Shopee dan panduan strategik MATRADE membuka lebih banyak peluang berimpak tinggi kepada usahawan wanita Malaysia untuk bersaing secara global.

WiEX 2025 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz.

Turut hadir ialah Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz; dan Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Antara pengisian utama forum ialah pelancaran Women Exporters e‑Directory iaitu sebuah inisiatif nasional untuk meningkatkan keterlihatan perniagaan milik wanita kepada pengimport dan rakan kongsi antarabangsa.

Dengan landskap digital yang terus berkembang, Shopee menyatakan komitmennya untuk membina ekosistem yang menyokong semua, termasuk golongan wanita dan PMKS luar bandar.

Menerusi gabungan alat digital, latihan berstruktur dan platform eksport, Shopee terus membantu usahawan wanita Malaysia membina jenama yang mampan dan menembusi pasaran global. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

إرسال تعليق

0 تعليقات